Ada keperluan mengambil langkah campur tangan awal bagi memupuk tabiat digital yang baik serta menjaga kesejahteraan mental anak muda, kata Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung. Sebagai tambahan kepada garis panduan masa skrin untuk kanak-kanak 12 tahun ke bawah yang telah diperkenalkan, pemerintah sedang meninjau cara melindungi remaja berusia 13 tahun dan ke atas juga.
“Garis panduan sedia ada tidak mencukupi dan kita harus melakukan sesuatu untuk membantu anak-anak kita,” kata Encik Ong. “MOH harus mengeluarkan peraturan dan dasar pada masa akan datang,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam satu panel perbincangan di pelancaran inisiatif terbaru TikTok, ‘Perjalanan Digital Kita’, yang bertujuan meningkatkan keselamatan digital bagi keluarga, pada 23 Februari.
Pada 21 Januari, pemerintah mengumumkan strategi kesihatan baru, Sihat Membesar SG, untuk menggalak kanak-kanak mengamalkan gaya hidup lebih sihat, termasuk mengurangkan masa skrin bagi yang berusia 12 tahun dan ke bawah.
“Garis panduan yang kita telah keluarkan bukan untuk penguatkuasaan tetapi ia garis panduan baik untuk ibu bapa. Kita harus fikirkan apa yang kita dapat lakukan untuk remaja 13 tahun ke atas serta berunding bersama syarikat teknologi tentang apa yang ibu bapa boleh lakukan untuk membantu anak-anak mereka,” kata Encik Ong.
Inisiatif ‘Perjalanan Digital Kita’ TikTok adalah satu kerjasama dengan TOUCH Cyber Wellness dan bertujuan memupuk kewargaan digital bertanggungjawab, meningkatkan kesediaan media sosial, dan mewujudkan persekitaran dalam talian lebih selamat bagi pengguna muda.
Pada 23 Februari, lebih 113 pasangan ibu bapa dan anak mereka berkumpul di pejabat TikTok untuk belajar cara mengharungi dunia digital dengan selamat dan bertanggungjawab melalui beberapa bengkel yang adalah sebahagian gerakan Digital Sepanjang Hayat. Siri bengkel itu akan dijalankan pada Mac di seluruh Singapura bermula di GRC Sembawang dan dijangka memberi manfaat kepada 250 pasangan ibu bapa dan anak. Ia akan menyarankan cara menguruskan masa skrin, mengenali risiko dalam talian, dan berinteraksi secara positif dalam ruang digital.
Maklum balas daripada sesi itu akan membantu TikTok menyesuaikan dan memperbaiki program itu sebelum pelaksanaannya yang lebih luas. Sebagai sebahagian acara pelancaran itu, satu sesi perbincangan panel bertajuk ‘Memulai Perjalanan Digital Bersama: Peranan Keluarga, Masyarakat dan Teknologi’ diadakan untuk membincangkan cabaran dan huraian bagi ibu bapa dan anak muda mengharungi alam digital.
Ia menampilkan pakar dalam industri, termasuk Ketua Jabatan di TOUCH Cyber Wellness, Encik Shem Yao; Pengurus Jangkauan dan Perkongsian di TikTok, Cik KahnJi Weerachaising; Profesor Madya di Universiti Nasional Singapura (NUS) yang juga ahli Majlis Penasihat Keselamatan TikTok, Dr Natalie Pang; dan pencipta kandungan belia di TikTok, Cik Denise Teo.
Panel itu membincangkan strategi keselamatan dalam talian, peranan teknologi dalam memupuk tabiat digital yang sihat, serta cara ibu bapa boleh membimbing anak mereka dalam penggunaan media sosial secara aktif dan bertanggungjawab.
Ketua Pegawai Eksekutif TOUCH Community Services, Encik James Tan, berkata tabiat digital bertanggungjawab bermula di rumah.
“Jika ibu bapa sentiasa mempunyai maklumat terkini, ia dapat membantu kita membimbing anak kita dengan yakin melalui perjalanan digital mereka. Bersama-sama, kita boleh membina asas literasi digital yang membolehkan kanak-kanak meneroka ruang dalam talian dengan selamat sambil menggalak perbualan terbuka tentang perkara yang mereka alami dalam talian,” ujarnya.
Cik Weerachaising berkata usaha TikTok itu sebahagian daripada komitmen mereka untuk menyokong keluarga dalam era digital.
“Inisiatif ini, dengan kerjasama pakar di TOUCH Cyber Wellness, adalah tentang mempromosikan kewargaan digital bertanggungjawab, membina kesediaan media sosial bagi keluarga dan meningkatkan keselamatan dalam talian. Ini juga peluang mengadakan perbualan terbuka, memahami setiap perspektif orang lain, dan mempelajari cara menggunakan teknologi secara positif,” ujarnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg