Dalam menangani kesihatan dan kesejahteraan kanak-kanak dalam era digital, jururawat terlatih dan jurulatih gaya hidup daripada Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) akan menjalankan interaksi secara langsung dengan pelajar mengenai tabiat penggunaan skrin mereka.
Usaha itu akan dilaksanakan semasa saringan kesihatan di sekolah, kongsi Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, di Parlimen pada 5 Februari.
Beliau menjawab soalan daripada Cik He Ting Ru (GRC Sengkang) dan Encik Yip Hon Weng (Yio Chu Kang), mengenai strategi kesihatan negara terbaru yang dipanggil Sihat Membesar SG, atau Grow Well SG.
Pada 21 Januari, pemerintah mengumumkan strategi kesihatan baru yang dipanggil Sihat Membesar SG untuk menggalakkan kanak-kanak mengamalkan gaya hidup lebih sihat, antaranya, mengurangkan masa skrin bagi mereka yang berusia 12 tahun dan ke bawah.
Ia telah dilancarkan tiga kementerian – Kementerian Kesihatan (MOH), Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) dan Kementerian Pendidikan (MOE).
Mengulas lanjut mengenai saringan kesihatan itu, Encik Ong berkata ia akan membenarkan ibu bapa mengetahui garis panduan kesihatan anak mereka.
“Selain memanfaatkan media massa, garis panduan kesihatan termasuk penggunaan skrin dalam kalangan kanak-kanak akan disampaikan kepada ibu bapa melalui program pemeriksaan kesihatan tahunan di sekolah sebagai menyediakan pelan kesihatan kanak-kanak,” ujarnya.
Ibu bapa murid Darjah 1 hingga 3 akan memulakan pemeriksaan itu dengan mengisi borang yang dinamakan Child Lifestyle Questionnare (Soal Selidik Gaya Hidup), mengenai tabiat gaya hidup anak mereka.
Dapatan daripada soal selidik itu akan dinilai jururawat terlatih dan jurulatih gaya hidup di saringan kesihatan sekolah.
Mereka kemudian akan berjumpa dengan pelajar dan memberikan cadangan untuk mengamalkan gaya hidup lebih sihat.
Di sidang Parlimen tersebut, Cik He turut mengutarakan soalan mengenai tempoh program untuk kanak-kanak dan keluarga, serta langkah yang diambil untuk memastikan kakitangan tidak terbeban dengan peranan tambahan dalam pelaksanaannya.
Menjelaskan, Encik Ong berkata setakat ini proses saringan dan konsultasi bagi setiap kanak-kanak boleh mengambil masa sekitar 30 minit.
Namun, tempoh yang akan diluangkan kanak-kanak atau keluarga setiap tahun untuk membincangkan pelan kesihatan bergantung kepada keadaan.
Beliau juga menambah bahawa HPB mempunyai 100 kakitangan berdedikasi untuk berinteraksi dengan sekolah mengenai kesihatan kanak-kanak.
Melalui Sihat Membesar SG, terdapat perubahan tumpuan serta pembinaan sistem untuk pembangunan pelan kesihatan kanak-kanak.
“Selama bertahun-tahun, mereka telah pergi ke sekolah, menjalankan saringan kesihatan serta berinteraksi dengan kanak-kanak mengenai tabiat gaya hidup.
“Tetapi kini, kita ingin membangunkan pelan kesihatan bagi kanak-kanak dengan garis panduan lebih jelas, terutamanya mengenai masa skrin, menerusi sekolah dan melibatkan ibu bapa,” kata Encik Ong.
Menurutnya, ia akan membuat usaha itu lebih sistematik serta diharapkan lebih berkesan.
Encik Ong turut berkongsi ramai ibu bapa mengalami cabaran dalam memenuhi garis panduan terkini mengenai penggunaan skrin, lantas ketiga-tiga kementerian yang terlibat akan terus berbincang untuk membaiki program itu.
“Mereka tahu mereka perlu mengurangkan penggunaan gadget anak, terutama semasa waktu makan. Mereka tertanya-tanya bagaimana caranya.
“Saya rasa (program kesihatan) ini adalah permulaan. Dari sini, kami perlu mengembangkannya lagi, termasuk sumber dalam talian,” ujar beliau.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg