Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemerintah tolak usulan AP WP beri diskaun COE bagi keluarga, penjaga

Sep 23, 2025 | 3:43 PM
Anggota Parlimen (AP) GRC Sengkang, Profesor Madya Jamus Lim, telah mengemukakan usul untuk meningkatkan keadilan sistem dengan memberi diskaun kepada penjaga atau keluarga dengan anak kecil.
Anggota Parlimen (AP) GRC Sengkang, Profesor Madya Jamus Lim, telah mengemukakan usul untuk meningkatkan keadilan sistem dengan memberi diskaun kepada penjaga atau keluarga dengan anak kecil. - Foto MDDI

Pemangku Menteri Pengangkutan, Encik Jeffrey Siow, di Parlimen pada 22 September menolak usulan subsidi Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE) bagi keluarga dan penjaga dengan menyatakan bahawa sumber yang diperlukan itu boleh digunakan untuk membantu lebih banyak keluarga.

Anggota Parlimen (AP) dari Parti Pekerja (WP), Profesor Madya Jamus Lim, telah mengemukakan usul untuk meningkatkan keadilan sistem dengan memberi diskaun kepada penjaga atau keluarga dengan anak-anak kecil, lapor The Business Times (BT).

Bagi sesetengah kumpulan, akses kepada kereta lebih dianggap sebagai “keperluan berbanding kemewahan,” katanya, merujuk kepada ibu bapa dengan ramai anak kecil, penjaga kepada ibu bapa tua, dan individu kurang upaya.

Bagi keluarga yang mempunyai sekurang-kurangnya dua anak di bawah usia 14 tahun, Dr Lim mencadangkan agar harga COE diberikan diskaun sebanyak 10 peratus untuk setiap anak selepas anak pertama.

Beliau turut mencadangkan diskaun 10 peratus untuk penjaga utama kepada dua ibu bapa berusia lebih 80 tahun, atau satu orang tua dengan penyakit kronik yang memerlukan pemeriksaan berkala dan tinggal bersama.

Dr Lim akui bahawa pemandu kurang upaya telah pun dikecualikan daripada membayar COE, menunjukkan sokongan bersasar daripada pemerintah.

Encik Siow berkata walaupun beliau memahami cadangan untuk memberi subsidi kepada kumpulan tertentu, “ia idea yang sukar dipertahankan”.

“Daripada memberi satu keluarga subsidi COE yang besar – seperti $10,000, $30,000, atau $40,000 – jumlah subsidi yang sama boleh diagihkan kepada lebih ramai keluarga, termasuk yang tidak mahu atau tidak mampu memiliki kereta,” katanya.

“Contohnya, kita boleh beri kredit pengangkutan kepada lebih banyak keluarga, seperti dalam Skim Keluarga Besar, atau untuk perbelanjaan lain.”

Skim Keluarga Besar memberi geran dan kredit untuk penjagaan kesihatan, pendidikan dan lain-lain kepada keluarga yang mempunyai tiga orang anak atau lebih.

Encik Siow menegaskan bahawa mengagihkan COE berdasarkan keperluan adalah mencabar kerana standard keadilan yang berbeza-beza, di mana apa yang wajar bagi seseorang mungkin tidak adil bagi orang lain.

Sebagai contoh, sukar untuk memutuskan bagaimana peraturan harus ditetapkan mengikut bilangan dan umur anak-anak; sama ada untuk mempertimbangkan pendapatan isi rumah atau individu; dan sama ada keluarga besar lebih layak daripada keluarga kecil.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Encik Jeffrey Siow, berkata adalah sukar untuk mengagihkan Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE) berdasarkan keperluan kerana standard keadilan berbeza-beza.
Pemangku Menteri Pengangkutan, Encik Jeffrey Siow, berkata adalah sukar untuk mengagihkan Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE) berdasarkan keperluan kerana standard keadilan berbeza-beza. - Foto BT

“Sistem COE berasaskan keperluan mungkin kedengaran menarik, tetapi ia bersifat subjektif, memecahbelahkan, dan memberi manfaat kepada terlalu sedikit orang,” kata Encik Siow.

Beliau juga menyatakan bahawa pendapatan COE – antara $4 bilion dengan $6 bilion setahun secara purata – digunakan untuk menampung subsidi pengangkutan awam dan perbelanjaan lain seperti penjagaan kesihatan, pendidikan dan pertahanan.

“Dengan pendapatan COE, kita boleh menyediakan pengangkutan awam yang bermutu tinggi dan dimampui untuk setiap warga Singapura. Dengan cara ini, kita dapat memberi sebanyak mungkin manfaat kepada sebanyak mungkin orang,” tambahnya.

Encik Siow turut mengulas kebimbangan mengenai kenaikan harga COE baru-baru ini. Premium COE telah meningkat dengan stabil pada 2025, dengan kategori utama mencatatkan harga tertinggi pada September.

Beliau berkata ini disebabkan oleh permintaan yang semakin meningkat, dipacu oleh kenderaan elektrik (EV) yang dibawa ke sini dengan harga yang terlalu murah – terutamanya dari China. 

Namun pemerintah telah mengambil langkah untuk menstabilkan bekalan COE, seperti mempercepatkan pendaftaran keluar dan menambah 20,000 COE tambahan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg