Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemerintah tubuh kumpulan kerja baru untuk pelihara warisan orang pulau

Desmond: Inisiatif demi perkukuh warisan bekas penduduk pulau, bina komuniti secara berterusan
Jun 14, 2025 | 7:57 PM
Orang Laut SG, warisan orang pulau, Desmond
Pengasas Orang Laut SG, Encik Firdaus Sani, di reruai kendalian keluarganya yang menjual masakan orang Pulau Semakau, termasuk bubur ikan tenggiri. Bergambar bersama (dari kiri) ialah Cik Rozita Amat Rani, Cik Rosminah Ramlan dan Cik Norlia Rahmat. - Foto BM oleh NUR DIYANA TAHA

Pemerintah akan menubuhkan kumpulan kerja warisan baru dengan kerjasama kumpulan Orang Laut SG bagi memelihara warisan serta kisah bekas penduduk pulau.

Ini diumumkan Menteri Pendidikan, Encik Desmond Lee, di acara Hari Orang Pulau yang diadakan buat julung-julung kalinya pada 14 Jun di Taman West Coast bagi meraikan warisan masyarakat orang pulau.

“Sebagai sebahagian daripada komitmen kami untuk menyokong usaha masyarakat seperti Orang Laut SG, kami akan menubuhkan sebuah kumpulan kerja yang melibatkan wakil-wakil daripada masyarakat pulau.

“Kumpulan ini akan bekerjasama dengan agensi-agensi berkaitan untuk memperkukuh inisiatif warisan dan membina komuniti secara berterusan,” kata Encik Lee semasa berucap di acara itu.

Kumpulan kerja tersebut akan melibatkan wakil daripada masyarakat orang pulau serta agensi pemerintah, dan akan bekerjasama dalam inisiatif akar umbi untuk meneruskan pemuliharaan budaya dan pembangunan masyarakat dalam jangka panjang.

“Tempat ini (Taman West Coast) dipilih dengan sengaja kerana ia merupakan lokasi di mana penduduk pulau dahulu memulakan perjalanan mereka.

“Warisan bukan di muzium sahaja – ia hidup apabila diturunkan dari satu generasi ke generasi seterusnya. Apabila kita kenal asal usul kita, kita lebih yakin dengan identiti sendiri. Itulah kekuatan kepelbagaian dalam naratif Singapura,” ujar Encik Lee.

Pengasas Orang Laut SG, Encik Firdaus Sani, yang juga merupakan keturunan penduduk Pulau Semakau, memberitahu Berita Minggu acara tersebut ialah hasil perancangan selama lima tahun.

“Ini adalah kali pertama kami meraikan Hari Orang Pulau dan ia penting kerana kami mahu raikan masyarakat yang selalu terpinggir dan menghidupkan semula cerita lama mereka,” kata Encik Firdaus, 36 tahun.

Menurut Encik Firdaus, Orang Laut ialah masyarakat asli yang hidup rapat dengan laut dan budaya maritim, manakala Orang Pulau merangkumi pelbagai masyarakat pesisir pelbagai etnik – termasuk keturunan Orang Laut seperti Orang Selat – yang menetap di pulau-pulau selatan seperti Pulau Semakau, Pulau Sekijang Bendera (St John’s Island) dan Sentosa, antara 77 pulau yang dahulunya membentuk Singapura.

Encik Firdaus turut berkongsi cabaran yang dihadapi orang laut apabila mula berpindah ke Singapura.

“Asalnya ramai yang malu berkongsi kisah mereka kerana rasa dipandang rendah dan tidak mahu menceritakan pengalaman mereka hidup di pulau.

“Persepsi masyarakat dulu tidak menyokong, dan ramai yang dipindahkan ke kawasan dengan keadaan serba kekurangan. Tapi sekarang, bila kita mula kongsi cerita-cerita ini, masyarakat mula faham dan mereka lebih terbuka,” katanya.

Pengurus besar Taman Warisan Melayu, Encik Mohamed Hafiz Mohamed Shariff, berkata Hari Orang Pulau adalah permulaan kepada usaha yang lebih luas.

“Inisiatif ini benar-benar mencetuskan hubungan yang bermakna dalam kalangan masyarakat orang pulau. Dengan penubuhan kumpulan kerja ini, kita akan melangkah ke arah penyepaduan kisah-kisah mereka dalam naratif warisan negara,” katanya.

Bengkel mempelajari membuat peralatan menangkap ikan seperti jaring dan ‘bubu’ - alat perangkap ikan tradisional yang diperbuat daripada buluh.
Bengkel mempelajari membuat peralatan menangkap ikan seperti jaring dan ‘bubu’ - alat perangkap ikan tradisional yang diperbuat daripada buluh. - Foto BM oleh NUR DIYANA TAHA

Hari Orang Pulau dianjurkan oleh Orang Laut SG, sebuah inisiatif akar umbi yang diketuai oleh keturunan orang pulau, dengan sokongan rakan masyarakat, serta Geran Warisan oleh Lembaga Warisan Negara (NHB).

Acara sehari itu menarik sekitar 5,000 pengunjung, terdiri daripada bekas penduduk pulau, keturunan mereka dan masyarakat umum.

Antara sorotan acara termasuk persembahan Silat Gayong, seni bela diri tradisional Melayu yang dipercayai diajarkan di Pulau Sudong semasa Perang Dunia Kedua sebagai cara mempertahankan diri; dan Joget Dangkung, tarian beramai-ramai yang rancak dan berasal dari Kepulauan Riau, lazimnya dipersembahkan semasa majlis keramaian dan perayaan masyarakat pulau.

Selain itu terdapat bengkel kraftangan dan masakan, perbincangan panel, tayangan dokumentari, serta jelajah warisan.

Pengunjung juga boleh ke antara 14 reruai yang bertemakan warisan, merangkumi juadah dan minuman tradisional, maklumat mengenai orang kepulauan serta peralatan menangkap ikan seperti bubu – alat perangkap ikan tradisional yang diperbuat daripada buluh. 

Pengasas produk kraf tangan Forest Child, Cik Addynna Azlinor (kiri), yang juga merupakan keturunan orang Pulau Sekijang Bendera.
Pengasas produk kraf tangan Forest Child, Cik Addynna Azlinor (kiri), yang juga merupakan keturunan orang Pulau Sekijang Bendera. - Foto BM oleh NUR DIYANA TAHA

Antara pengunjung acara itu ialah Cik Syakirah Nasir, 28 tahun, yang hadir bersama suaminya, siap berpakaian baju kurung.

“Tujuan saya ke acara ini adalah kerana ingin mempelajari lebih mengenai sejarah Orang Pulau, dengan harapan mungkin saya juga boleh menjejak asal usul warisan keluarga saya,” ujar pendidik itu.

Antara pengendali reruai di acara itu ialah pengasas perniagaan kraf tangan Forest Child, Cik Addynna Azlinor, 39 tahun, yang berketurunan penduduk Pulau Sekijang Bendera.

“Saya rasa acara ini baik kerana ia penting untuk memastikan kisah-kisah orang pulau dipelihara dan dapat disampaikan kepada generasi seterusnya,” ujar beliau.

Encik Firdaus juga meluahkan harapan untuk masa depan: “Harapan kami ialah Hari Orang Pulau ini menjadi titik mula kepada sesuatu yang kekal – seperti pusat budaya atau pusat orang asal Singapura, yang menjadi tempat di mana identiti, seni dan kisah kami terus hidup.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg