Apabila Encik Nasrul Md Suhud diberitahu tentang khidmat pemasangan mikrocip percuma bagi kucing peliharaan di sebuah acara di Taman East Coast pada 11 Mei lalu, beliau memutuskan berbuat demikian bagi dua kucing kesayangannya bernama Smokey dan Oreo, yang dimiliki sejak tiga tahun lalu.
Kebetulan pada hari itu, Perkhidmatan Haiwan dan Veterinar (AVS) mengumumkan satu rangka kerja baru yang menetapkan penduduk flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dibenarkan memelihara hingga dua kucing dengan mematuhi syarat pelesenan yang berkuat kuasa pada September.
Antara syarat lesen adalah perlu memasang mikrocip pada kucing yang dipelihara.
Lantaran itu, penghuni flat di Ang Mo Kio itu berkata beliau berasa lega kerana sekali gus telah memenuhi syarat tersebut.
“Selain memenuhi syarat lesen, adalah penting memasang mikrocip supaya dapat menjejak kucing kami sekiranya kecemasan berlaku,” kata Encik Nasrul, 53 tahun, seorang pemandu kereta sewa privet.
“Kucing kami pernah hilang, jadi kami alu-alukan langkah ini yang mendorong pemilik supaya lebih bertanggungjawab,” kata beliau.
Cik Nasrul merupakan antara beberapa pemilik kucing dihubungi Berita Minggu (BM) yang sedang membuat persediaan awal bagi memenuhi syarat lesen itu.
Veterinar yang dihubungi BM serta persatuan kebajikan haiwan turut melihat peningkatan dari segi permohonan untuk memasang mikrocip dan kembiri.
Di bawah Rangka Kerja Pengurusan Kucing, mulai September 2024, penduduk Singapura dibenarkan memelihara hingga dua kucing di rumah HDB dan hingga tiga kucing di rumah privet.
Pemilik perlu mendapatkan lesen bagi setiap kucing sebelum September 2026.
Syarat lesen termasuk menyertai kursus dalam talian mengenai cara menjaga haiwan peliharaan dengan baik serta memasang mikrocip.
Permohonan hanya bermula pada September 2024.
Demi memudahkan urusan pemilik, AVS menyediakan tempoh peralihan hingga 31 Ogos 2026, dengan permohonan lesen disediakan secara percuma.
Selepas tarikh itu, pemilik kucing dijangka membayar sekurang-kurangnya $15 atau $90 seekor, masing-masing bagi lesen kucing kembiri dan tidak kembiri.
Menyimpan kucing tanpa lesen dari 1 September 2026 adalah satu kesalahan.
AVS juga menggalakkan pemilik mengembirikan kucing mereka, namun tidak menetapkannya sebagai satu kewajipan.
Dr Teo Boon Han, veterinar daripada Canopy Veterinary Centre di Jurong West, berkata sejak pengumuman rangka kerja itu dibuat, pihaknya melihat kenaikan 10-15 peratus permintaan bagi khidmat kembiri dan pemasangan mikrocip kucing.
Pengarah Eksekutif, Persatuan Cegah Kekejaman Ke Atas Binatang (SPCA), Cik Aarthi Sankar, juga berkata beliau memerhatikan kenaikan dari segi pertanyaan mengenai khidmat mikrocip dan kembiri kucing sejak Disember lalu, apabila rangka kerja itu diumumkan Menteri Negara Kanan (Perhubungan dan Penerangan merangkap Pembangunan Negara), Encik Tan Kiat How.
Presiden Persatuan Kucing Singapura (CWS), Cik Thenuga Vijakumar, berkata pihaknya juga melihat permintaan meningkat bagi kedua-dua khidmat itu.
“CWS sedang bekerjasama dengan rakan veterinar di sini untuk memenuhi permintaan itu secepat mungkin,” katanya.
Namun menurut Cik Thenuga, isu pengabaian kucing kekal menjadi keprihatinan, lebih-lebih lagi dalam kalangan pemelihara yang melebihi had ditetapkan AVS.
Menurut AVS, pemilik yang melebihi had bilangan kucing itu boleh memelihara semua kucing sedia ada sekiranya berjaya mendapatkan lesen sebelum September 2026 serta dapat menjamin kebajikan dan kesihatan kucing mereka.
Penduduk yang mahu melebihi had itu selepas tarikh tersebut perlu membuat permohonan menerusi AVS dan juga HDB bagi mereka yang tinggal di rumah awam.
Pemilik dinasihatkan supaya tidak mengabaikan kucing mereka. Perbuatan itu satu kesalahan yang boleh membabitkan denda sehingga $10,000 dan hukuman penjara hingga 12 bulan atau kedua-duanya.
Cik Thenuga berkata CWS menerima lebih banyak pertanyaan daripada pemilik yang mempunyai banyak kucing yang berhasrat menderma atau menempatkan kucing mereka di rumah baru kerana khuatir tidak berjaya mendapatkan lesen.
Perkara yang sama juga diperhatikan Cik Aarthi di SPCA.
“Tetapi apabila kami memberi penjelasan bahawa mereka tetap boleh menyimpan kucing mereka itu dengan mematuhi syarat pelesenan, mereka rasa lega,” kata Cik Aarthi.
Namun bagi seorang penyelamat kucing, dikenali sebagai Cik Nasha (Feline), yang memiliki 11 kucing di flatnya di Pasir Ris, ia bukan satu masalah baginya mendapatkan lesen.
Kebanyakan kucing itu, yang diselamatkannya dahulu, menghidap komplikasi kesihatan atau kecacatan.
“Saya telah memperuntuk masa dan juga wang dan saya ingin menjaga terus kucing-kucing itu,” katanya.
“Lagipun dari September 2024 hingga sebelum September 2026, kami boleh mendapatkan lesen secara percuma.”
Cik Nor Sarah, seorang jurujual yang menetap di sebuah flat dan memiliki enam ekor kucing berusia empat hingga sembilan tahun, sependapat.
Kesemua kucingnya telah dikembiri dan dipasang mikrocip.
“Cumanya selagi permohonan lesen itu belum diusahakan, saya rasa sedikit gelisah dan khuatir sekiranya permohonan bagi kucing ketiga hingga keenam saya tidak lulus,” ujarnya.
“Saya akan lakukan apa yang perlu untuk pelihara kucing saya secara sah.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg