Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Skim pelesenan kucing mula 1 Sep 2024; boleh pelihara hingga 2 kucing di flat

May 11, 2024 | 12:27 PM
Penghuni flat HDB, Encik Nasrul Md Suhud, 53 tahun, bersama anaknya Cik Nayli Alya, 19 tahun, memiliki dua kucing bernama Smokey (kiri) dan Oreo (kanan) yang baru sahaja mendapatkan khidmat pemasangan mikrocip percuma di acara Pets’ Day Out di Taman East Coast pada 11 Mei.
Penghuni flat HDB, Encik Nasrul Md Suhud, 53 tahun, bersama anaknya Cik Nayli Alya, 19 tahun, memiliki dua kucing bernama Smokey (kiri) dan Oreo (kanan) yang baru sahaja mendapatkan khidmat pemasangan mikrocip percuma di acara Pets’ Day Out di Taman East Coast pada 11 Mei. - Foto BM oleh HARITH MUSTAFFA

Pencinta kucing yang menetap di flat akhirnya dapat menghela nafas lega, selepas Perkhidmatan Haiwan dan Veterinar (AVS) mengeluarkan rangka kerja baru yang membolehkan penduduk memelihara sehingga dua kucing di flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) mulai September 2024.

Di bawah Rangka Kerja Pengurusan Kucing dikeluarkan pada 11 Mei, penghuni flat boleh memelihara sehingga dua kucing di flat HDB dan tiga kucing di rumah swasta dengan memenuhi syarat pelesenan serta memasang mikrocip bagi setiap kucing yang dipelihara.

Untuk membolehkan penduduk menyesuaikan diri dengan langkah itu, AVS menetapkan tempoh peralihan selama dua tahun hingga 31 Ogos 2026, dengan pemilik haiwan peliharaan boleh mendapatkan lesen secara percuma.

Mereka yang mempunyai kucing melebihi had yang ditetapkan dibenarkan menyimpan kesemua kucing mereka selagi mereka mendapatkan lesen bagi kesemua kucing sewaktu tempoh peralihan tersebut dan dapat memastikan kebajikan dan kesihatan kucing mereka itu dijaga, kata AVS, sebuah perkhidmatan di bawah pengendalian Lembaga Taman Negara (NParks).

Menteri Negara Kanan (Perhubungan dan Penerangan merangkap Pembangunan Negara), Encik Tan Kiat How, yang mengumumkan rangka kerja itu ketika acara ‘Pets’ Day Out’ di Taman East Coast pada 11 Mei berkata pelesenan membolehkan kucing peliharaan dijejak dan wabak penyakit dalam kalangan haiwan dapat ditangani pihak berkuasa dengan lebih cekap.

“Pelesenan juga membolehkan kami lebih mempertanggungjawabkan pemilik kucing yang tidak bertanggungjawab jika mereka mengabaikan, membiarkan atau menyeksa kucing mereka,” ujar beliau.

Menteri Negara Kanan (Perhubungan dan Penerangan merangkap Pembangunan Negara), Encik Tan Kiat How, kelihatan sedang bermanja dengan seekor kucing ketika acara ‘Pets’ Day Out’ di Taman East Coast pada 11 Mei.
Menteri Negara Kanan (Perhubungan dan Penerangan merangkap Pembangunan Negara), Encik Tan Kiat How, kelihatan sedang bermanja dengan seekor kucing ketika acara ‘Pets’ Day Out’ di Taman East Coast pada 11 Mei. - Foto ST

Permohonan lesen boleh dilakukan menerusi portal Sistem Pelesenan Haiwan Peliharaan AVS mulai 1 September 2024.

Untuk mendapatkan lesen, pemilik perlu menyelesaikan satu kursus, sekali saja, mengenai peliharaan haiwan, secara percuma dalam talian. Kursus ini akan disediakan mulai 1 September 2024.

Kucing mereka juga perlu dipasang mikrocip.

Ini supaya ia memudahkan pemilik atau pihak berkuasa mengesan identiti dan pemilikan haiwan tersebut serta menjejaki mereka jika ia hilang. Tinjauan rambang Berita Minggu dalam talian mendapati kos bagi memasang mikrocip berharga sekitar $50 hingga $90.

Lesen akan ditawarkan percuma sewaktu tempoh peralihan itu.

Ia kemudian akan berharga $15 bagi lesen tempoh setahun bagi setiap ekor kucing yang sudah dikembiri dan $90 setahun, bagi kucing tidak dikembiri.

Lesen yang dimohon ketika tempoh peralihan itu, adalah untuk seumur hidup bagi kucing sudah dikembiri sementara lesen bagi kucing tidak kembiri hanya sah sepanjang tempoh berkenaan.

Satu Program Sokongan Kembiri Kucing Peliharaan juga akan dilancar pada 1 September bagi membantu pemilik berpendapatan rendah mengembiri kucing mereka serta mendapatkan mikrocip secara percuma.

Ia satu kesalahan untuk memelihara kucing yang tidak mempunyai lesen mulai 1 September 2026 dan pemilik kucing boleh dikenakan denda hingga $5,000 jika tidak mematuhi syarat pelesenan itu, selaras peraturan bagi pemilik anjing peliharaan.

AVS menasihatkan mereka yang melebihi had bilangan kucing itu supaya tidak mengabaikan kucing mereka.

Mereka perlu mendapatkan lesen serta membuat pengesahan bahawa kucing mereka itu dimiliki sebelum 1 September 2024. Pengabaian haiwan adalah satu kesalahan di bawah Akta Haiwan dan Burung.

AVS juga menasihatkan agar kucing peliharaan dikembiri bagi mengelak daripada pembiakan yang tidak diingini.

Meskipun ia bukan satu kewajipan, atas saranan daripada pihak kebajikan haiwan dan pemilik kucing, AVS akan memantau kadar pengembirian dan melihat sekiranya perlu menetapkan langkah dipertingkat bagi mengembiri kucing atau membuatnya satu keperluan selepas tempoh itu.

Sebelum ini, penduduk dilarang pelihara kucing di rumah HDB sejak 1989, dengan pesalah boleh dikenakan denda sehingga $4,000.

Seekor kucing kelihatan menjalani prosedur pemasangan mikrocip yang dilakukan menerusi suntikan oleh pegawai AVS di acara Pets’ Day Out di Taman East Coast pada 11 Mei.
Seekor kucing kelihatan menjalani prosedur pemasangan mikrocip yang dilakukan menerusi suntikan oleh pegawai AVS di acara Pets’ Day Out di Taman East Coast pada 11 Mei. - Foto ST

Rangka kerja tersebut merupakan hasil daripada dua tinjauan dijalankan AVS bagi mendapatkan pandangan masyarakat berkenaan pemilikan kucing di flat.

Tinjauan dijalankan antara Disember 2023 dengan Februari 2024 ke atas 4,000 orang, mendapati sekitar 65 peratus responden menyokong atau bersikap seimbang terhadap membenarkan sehingga dua kucing di flat HDB. Bilangan itu adalah 70 peratus bagi membolehkan sehingga tiga kucing dan atau anjing di rumah privet.

Satu tinjauan terdahulu dijalankan antara September dengan November 2022 mendapati 90 peratus daripada 30,000 responden, berkata kucing sesuai dipelihara dan kebanyakan menyokong langkah membolehkan kucing dipelihara di HDB.

Lebih 80 peratus peserta dalam tinjauan itu setuju bahawa kucing yang dipelihara perlu berlesen serta dipasang mikrocip.

SEKILAS RANGKA KERJA PENGURUSAN KUCING

HAD KUCING PELIHARAAN

  1. HDB: Sehingga 2 kucing + 1 anjing dari baka yang telah dapat kelulusan
  2. Rumah privet: Sehingga 3 kucing atau anjing atau kedua-duanya
  3. Sekiranya pemilik mempunyai kucing melebihi had itu, boleh dapatkan lesen bagi semua kucing sedia ada antara 1 Sep 2024 - 31 Ogos 2026
  4. Jika mahu pelihara kucing melebihi had itu mulai 1 September 2026, pemilik perlu mendapatkan kelulusan daripada AVS dan HDB untuk mendapatkan lesen

SYARAT PELIHARA KUCING

  • Selesaikan kursus peliharaan haiwan dalam talian
  • Pasang mikrocip pada setiap kucing
  • Dapatkan lesen bagi setiap kucing

HARGA LESEN

1 September – 31 Ogos 2026 (tempoh peralihan)

  1. Percuma bagi kedua-dua kucing kembiri dan tidak kembiri

Mulai 1 September 2026 (harga adalah bagi setiap ekor kucing)

1 hingga 3 kucing

  1. Lesen selama setahun: $15 (kucing kembiri), $90 (kucing tidak kembiri)
  2. Lesen dua tahun: $25 (kucing kembiri), $165 (kucing tidak kembiri)
  3. Lesen tiga tahun: $230 (kucing tidak kembiri sahaja)
  4. Lesen seumur hidup: $35 (kucing kembiri sahaja)

Kucing keempat dan seterusnya

  1. Lesen selama setahun: $180
  2. Lesen dua tahun: $325
  3. Lesen tiga tahun: $460 (kucing tidak kembiri sahaja)
  4. Lesen seumur hidup: $460 (kucing kembiri sahaja)
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg