Selepas 10 tahun menjadi pemilik sebuah perniagaan spa, SpaJelita, Cik Fadilah Abdul Majid, akhirnya menebarkan sayap dengan membuka cawangan pertamanya di Malaysia.
Cawangan di Taman Melawati, Kuala Lumpur, itu akan mula beroperasi pada Ogos.
Cik Fadilah, yang juga naib presiden Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS), akur 10 tahun adalah satu tempoh yang lama untuk meluaskan perniagaannya dan beliau sepatutnya mengembangkan perniagaannya lebih awal.
Pada masa yang sama, mantan editor meja Ekoniaga Berita Harian selama 27 tahun itu berkata bukan mudah memenuhi impiannya sebagai seorang usahawan baru yang tidak berpengalaman.
Cik Fadilah mengambil alih SpaJelita, yang menyediakan khidmat urutan badan dan kecantikan seluruh badan untuk kaum Muslimah pelbagai usia, pada 2014 daripada Encik Khalid Omar Abdat, Encik Faisel Abdullah Abdat dan Encik Helmi Khalid Abdat, yang telah menjalankan perniagaan itu selama tujuh tahun.
Keluarga Abdat itu memutus menjual spa tersebut kerana mahu memberi tumpuan pada spa baru mereka di Hotel East Parc di Jogjakarta, Indonesia.
Bagi Cik Fadilah, yang gemar mendapatkan perkhidmatan spa, peluang melabur dan menjadi pemilik sebuah spa itu datang tepat pada masanya.
“Dengan deposit sebanyak $50,000, saya membuat keputusan melabur dalam SpaJelita dan saya harus belajar cara menjadi usahawan dan mengurus kakitangan saya daripada permulaan, dengan hanya berbekalkan pengalaman daripada usahawan yang pernah saya temui sewaktu berkhidmat bersama BH,” kongsinya, yang menganjurkan Persidangan Perancangan Kewangan Melayu BH yang pertama pada 2003.
Beliau juga memilih untuk menguruskan sendiri urusan perakaunan perniagaannya itu, seperti merekodkan urus niaga dan menyiapkan penyata untung rugi serta aliran tunai, dan juga pemasarannya.
“Saya tidak menjangka bahawa kos operasi sebuah spa sangat tinggi, terutama sekali spa sebesar SpaJelita, yang mempunyai 10 kakitangan dan lapan bilik yang menyediakan perkhidmatan dari hujung rambut ke hujung kaki.
“Saya juga perlukan insurans, lesen penubuhan urut (ME), pentauliahan CaseTrust untuk perniagaan spa dan kesejahteraan serta Geran Pembangunan Perusahaan (EDG) bagi menukar daripada sistem manual kepada sistem digital yang mengambil masa setahun untuk disiapkan,” tambah beliau.
Kejayaan Cik Fadilah mengatasi cabaran demi cabaran mengajar beliau erti keberanian mengambil risiko.
Umpamanya, dalam perancangan menembusi pasaran Dubai, Cik Fadilah mengambil risiko bekerjasama dengan seorang rakan niaga yang akhirnya mengundurkan diri atas sebab-sebab tertentu.
Beliau kekal tabah dan tidak berputus asa dan ini membuahkan hasil dengan pembukaan cawangan SpaJelita di Kuala Lumpur itu.
Pada Mac, Cik Fadilah menerima Anugerah Dunia Islam Rania 2024 yang diberi oleh Pusat Perniagaan Antarabangsa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk menyerlahkan dan mengiktiraf pencapaian wanita kerana sumbangan mereka, selain memberi inspirasi dan memperkasakan wanita di seluruh dunia.
Di samping sibuk menjadi usahawan dan pengarah urusan perniagaan sendiri, Cik Fadilah juga merupakan pengerusi cabang wanita DPPMS, Dewi@SMCCI.
Antara matlamat Dewi, yang ditubuhkan pada 2009, adalah membimbing wanita dalam bidang perniagaan dan keusahawanan serta memperkasakan wanita untuk berdikari dari segi kewangan demi diri sendiri dan keluarga mereka.
Cik Fadilah dan anggota jawatankuasa Dewi menyokong usahawan wanita dengan, antara lain, menjalankan sesi bulanan Dewi Walkabout.
Ketika acara itu, mereka mengunjungi perniagaan yang dijalankan oleh wanita untuk membantu mengatasi cabaran yang dihadapi mereka.
Antara perniagaan yang mereka telah kunjungi termasuk Krumbz N Kraves di Downtown East E! Hub yang menjual makanan jalanan; butik Dubai by Siti Persian; restoran Hajah Maimunah; kafe Secret Gardens; dan kedai roti Julie Bakes.
Cik Fadilah berharap dapat terus membantu memajukan usahawan Melayu/Islam sebagai naib presiden 1 DPPMS dan pengerusi Dewi.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg