Pemimpin negara ucap Selamat Hari Raya
Beberapa pemimpin Singapura menyampaikan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada masyarakat Islam Singapura.
Menerusi laman Facebook beliau pada 21 Mac, Presiden Tharman Shanmugaratnam menarik perhatian warisan berbilang budaya masyarakat majmuk Singapura yang dicerminkan hidangan Nasi Ulam.
Beliau berkata hidangan tersebut, yang menggabungkan puluhan herba mentah, sayur dan bunga, melambangkan pengaruh tradisi Melayu ke atas budaya Cina Peranakan di rantau ini.
”Ulam berbeza, nasi tetap satu,” katanya, merujuk kepada kepelbagaian ramuan dalam hidangan itu yang mencerminkan masyarakat berbilang budaya Singapura.
Beliau juga menyentuh mengenai kebangkitan semula hidangan itu di pusat penjaja, sedang orang ramai kian lebih meminati makanan yang sihat dan segar.
Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, pula menarik perhatian Hari Raya sebagai masa yang dinanti untuk berkumpul bersama orang tersayang, saling bermaafan serta mengeratkan jalinan keluarga dan masyarakat.
“Sedang ramai di seluruh dunia menyambut Aidilfitri dalam keadaan yang tidak menentu, umat Islam di Singapura meraikannya dalam suasana yang stabil, aman dan harmoni.
“Semoga sambutan Hari Raya kali ini membawa kedamaian, kegembiraan dan keberkatan kepada anda semua,” ujar beliau.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, turut menyampaikan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada masyarakat Islam Singapura.
“Semoga hari istimewa ini membawa keamanan, kegembiraan dan keberkatan kepada anda serta orang yang tercinta,” kata Encik Wong.

