Khutbah Aidilfitri: Sabar hadapi susah, syukur waktu senang tentukan kejayaan Mukmin

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Khutbah Aidilfitri: Sabar hadapi susah, syukur waktu senang tentukan kejayaan Mukmin

Mar 21, 2026 | 9:00 AM

Khutbah Aidilfitri: Sabar hadapi susah, syukur waktu senang tentukan kejayaan Mukmin

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
khutbah, mosque, aidilfitri
Semasa menyampaikan khutbah Aidilfitri di Masjid Sultan pada 21 Mac, Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir berkata reaksi seseorang semasa berdepan ujian - sama ada dengan kesabaran ketika susah atau kesyukuran ketika senang - yang menentukan kejayaannya. - Foto BH oleh MUHAIMIN SUZAINI

Setiap insan diuji oleh Allah swt dengan cara yang berbeza, namun reaksi dan tindak balas seorang Mukmin terhadap ujian tersebut yang akhirnya akan menentukan kejayaannya.

Semasa menyampaikan khutbah Aidilfitri di Masjid Sultan pada 21 Mac, Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir berkata ada di kalangan manusia yang diuji dengan kesusahan dan kemelaratan manakala yang lain pula diuji dengan kesenangan dan kemewahan.

Sebagai contoh, Dr Nazirudin menarik perhatian sesetengah masyarakat Islam di negara lain yang menjalani ibadah semasa Ramadan yang baru melabuhkan tirainya dalam suasana tegang dan ketakutan dek pergolakan.

“Pastinya, kita juga terkesan dengan ujian yang sedang mereka hadapi. Kita berdoa agar Allah swt memelihara mereka yang tidak bersalah dan memulihkan keamanan.

“Kita juga terus yakin terhadap ketentuan Allah swt bahawa pasti terdapat hikmah di sebalik setiap kejadian,” katanya.

Namun tambahnya, ujian juga wujud dalam bentuk kehidupan yang nikmat dan kesenangan.

Dr Nazirudin berkata masyarakat Islam di Singapura misalnya dilimpahkan banyak nikmat oleh Allah swt termasuk kehidupan yang aman dan sejahtera di negara ini, kelapangan dari segi kewangan, cukup dari segi bekalan dan keperluan serta mampu merancang dan memikirkan tentang masa depan.

“Semua ini adalah nikmat yang besar dan dalam masa yang sama, ia juga adalah ujian yang akan dipertanggungjawabkan.

“Kadangkala, bukan kesusahan yang melemahkan iman, tetapi keselesaan yang mudah melalaikan. Bukan kekurangan yang membuat kita semakin jauh, namun rasa cukup yang membuat kita semakin lupa,” katanya.

Oleh itu, beliau mengajak masyarakat berfikir apa yang harus dilakukan dengan nikmat yang dianugerahkan Allah swt ini serta bagaimana untuk menunjukkan ketakwaan dan kesyukuran, sekali gus menghargai amanah yang diberikan Allah swt.

Dr Nazirudin berkata reaksi seseorang semasa berdepan ujian - sama ada dengan kesabaran ketika susah atau kesyukuran ketika senang - yang menentukan kejayaannya.

Beliau berkata:

“Seorang Mukmin tidak melihat ujian sebagai satu kegagalan.

“Sebaliknya, ujian dilihat sebagai satu peluang untuk meraih ganjaran daripada Allah swt, serta cuitan agar kembali mendekatkan diri dan meletakkan pergantungan kepada-Nya.

“Inilah kejayaan buat Mukmin yang ditimpa ujian dan kesusahan.”

Sebaliknya, bagi Muslim yang hidup dalam keadaan lebih baik berbanding dengan sesetengah Muslim di negara lain, adalah tanggungjawab mereka untuk menerima nikmat Allah swt dengan bersyukur, tambahnya.

Menggariskan tiga tonggak utama dalam menzahirkan rasa syukur, Dr Nazirudin berkata rasa syukur harus datang dari hati yang yakin bahawa setiap kelebihan dan nikmat adalah daripada Allah swt.

Rasa syukur juga perlu diucap secara lisan dengan ucapan ‘Alhamdulillah’ untuk mengiktiraf Si Pemberi iaitu Allah swt serta perlu dicerminkan melalui perbuatan.

Terdahulu, sekitar 5,000 anggota jemaah, termasuk Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, hadir di Masjid Sultan yang terletak di Muscat Street untuk menunaikan solat Aidilfitri bagi sesi pertama pada 8 pagi.

Selain Dr Faishal, turut hadir ialah Presiden Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Encik Mohd Saat Abdul Rahman; Ketua Eksekutif Muis, Encik Kadir Maideen; dan Anggota Parlimen (AP) GRC Jalan Besar, Dr Wan Rizal Wan Zakariah.

Beliau mengakhiri khutbah dengan seruan agar masyarakat Islam meneruskan amal kebaikan dan memelihara nilai rahmah dan ihsan yang telah dipupuk sepanjang Ramadan, sebagai tanda syukur kepada Allah swt .

“Gunakanlah segala nikmat yang Allah swt kurniakan sebagai bukti kesyukuran kita, dengan terus berbuat kebaikan dan mendekatkan diri kepada-Nya.

“Bergembiralah kita pada hari ini sebagaimana yang diajarkan Rasulullah saw. Namun dalam kegembiraan ini, jangan kita lupa bahawa setiap nikmat adalah ujian.

“Jadikan setiap nikmat yang kita terima sebagai jalan untuk kita lebih tunduk, lebih memberi dan menebarkan ihsan,” kata Dr Nazirudin.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg