Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemimpin orkestra terima biasiswa NAC, lanjut pengajian di Bulgaria

Aug 2, 2024 | 3:11 PM
Encik Muhammad Firdaus Mohamad, yang lebih dikenali sebagai Megat, menerima Biasiswa Seni Majlis Seni Kebangsaan (NAC) bagi pengajian Sarjana Seni Halus dalam Pengarahan Klasik, Studio, Kontemporari dan Teknologi Rakaman Berkaitan di Akademi Seni Halus Eropah (Bulgaria). 
Encik Muhammad Firdaus Mohamad, yang lebih dikenali sebagai Megat, menerima Biasiswa Seni Majlis Seni Kebangsaan (NAC) bagi pengajian Sarjana Seni Halus dalam Pengarahan Klasik, Studio, Kontemporari dan Teknologi Rakaman Berkaitan di Akademi Seni Halus Eropah (Bulgaria).  - Foto ihsan MUHAMMAD FIRDAUS MOHAMAD

Pemuzik setempat, Encik Muhammad Firdaus Mohamad, yang lebih dikenali sebagai Megat, sering terpesona dan meraih inspirasi daripada keindahan dan kepelbagaian di sebalik bentuk seni yang berbeza di Asia.

Encik Megat, yang bakal melanjutkan pengajian di Bulgaria dalam bidang muzik, berharap selepas tamat pengajian kelak, beliau dapat meneruskan usahanya dalam merapatkan dan berkongsi cintanya terhadap muzik tradisional Melayu dengan mencipta karya unik dengan Orkestra Sri Temasek untuk masyarakat setempat dan dunia.

“Saya berharap dapat menjadi penyokong gabungan unik muzik tradisional Singapura,” kata Encik Megat, 39 tahun, yang juga seorang Duta Bahasa.

Pengasas bersama Orkestra Sri Temasek itu antara 13 individu yang dianugerahkan biasiswa seni pada 30 Julai untuk melanjutkan pengajian di peringkat mahasiswa dan possiswazah.

Encik Megat menerima Biasiswa Seni Majlis Seni Kebangsaan (NAC) bagi pengajian Sarjana Seni Halus dalam Pengarahan Klasik, Studio, Kontemporari dan Teknologi Rakaman Berkaitan di Akademi Seni Halus Eropah (Bulgaria).

Biasiswa tersebut adalah satu batu loncatan untuk Encik Megat meneruskan usahanya dalam seni tradisional dan mencabar keupayaan serta kebolehan kreatifnya dalam mempersiapkan beliau untuk peranan masa akan datangnya sebagai seorang konduktor, pengarah muzik dan pendidik.

“Saya melanjutkan pengajian dalam bidang pengarahan sebenarnya untuk membaiki diri saya dalam cara saya memimpin dan mengarah orkestra saya sendiri iaitu Orkestra Sri Temasek.

“Pengajian ini bukan hanya memberi tumpuan terhadap pengarahan tetapi juga tentang teknologi muzik dan pengurusan muzik,” kata Encik Megat yang akan memulakan pengajian satu tahunnya pada Oktober.

Dalam satu kenyataan media, NAC berkata melangkaui tempoh pengajian mereka, penerima biasiswa seni itu akan disokong dalam perjalanan pembangunan kemahiran mereka dan mendalamkan amalan mereka untuk menjana kuasa transformatif seni.

Ini akan dicapai melalui kerjasama industri dengan institusi seni dan kebudayaan untuk memberi pementoran, bimbingan kerjaya, dan peluang menjalin rangkaian sebagai sebahagian daripada sokongan selepas tamat pengajian.

“Ini memastikan mereka dapat mengembangkan rangkaian profesional mereka, membuka jalan untuk kerjaya yang menyeluruh dan mampan dalam bidang seni,” kata NAC.

Pada 2024, untuk meluaskan sokongannya terhadap seni, Biasiswa Seni NAC telah bekerjasama dengan Universiti Seni Singapura (UAS), universiti seni pertama di sini yang akan menerima kumpulan pelajar pertamanya pada Ogos 2024.

Di bawah kerjasama NAC-UAS ini, empat daripada 13 penerima biasiswa seni akan melanjutkan pengajian mereka di Maktab Seni Lasalle dan Akademi Seni Halus Nanyang (Nafa).

Usaha kerjasama antara NAC dan UAS itu bertujuan melanjutkan lagi pertumbuhan industri seni dan memupuk penglibatan masyarakat yang lebih besar.

Kerjasama industri itu bertujuan menyediakan pelbagai laluan dan peluang untuk berjaya, mengukir laluan baru dalam sektor pendidikan seni sambil mempersiapkan penuntut untuk peranan yang membawa kesan dalam kedua-dua bidang budaya dan ekonomi kreatif.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg