Adalah penting belia menghargai dan menggunakan bahasa ibunda kerana ia membantu memupuk identiti mereka, dan berhubung dengan lebih baik dengan keluarga dan masyarakat.
Menekankan demikian, pengerusi jawatankuasa Bulan Bahasa 2024, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, berkata lantaran itu Bulan Bahasa kali ini menampilkan belia yang menjalankan program bagi rakan sebaya mereka.
Beliau, yang juga Anggota Parlimen GRC Chua Chu Kang, berkata demikian dalam satu sidang media bagi mengumumkan perincian Bulan Bahasa 2024 di The POD, di Bangunan Perpustakaan Nasional, pada 12 Julai.
Bulan Bahasa 2024, yang akan berlangsung dari 17 Ogos hingga 13 Oktober, memberi penekanan kepada belia melalui beberapa program yang direka untuk menarik minat mereka dan meningkatkan keyakinan mereka dalam menggunakan bahasa Melayu.
Sebagai contoh, siri podcast aktivis seni dan dikir barat Hidayat Nordin, bertajuk ‘Sapot!’ bakal muncul sekali lagi bagi siri kedua.
Podcast itu akan mengetengahkan topik berkisar tentang kesenian, kebudayaan dan kesusasteraan Melayu serta trend terkini.
Hidayat akan mengacarakan podcast itu bersama Shahril Samri, guru prasekolah yang juga pengasas kumpulan penggemar pantun Pantunism, dan Duta Bahasa Aqmal N.
Mereka akan saling bertukar pendapat bersama belia undangan dari Institut Pendidikan Teknikal (ITE), politeknik dan universiti dalam beberapa episod.
Selain itu, terdapat peluang belajar seni dikir barat melalui pertandingan, e-Rama Dikir anjuran Gabungan Kumpulan Dikir Barat Singapura yang akan diadakan melalui wadah digital.
Dalam pertandingan itu, pelajar diundang menghasilkan lirik lagu dan ragam dikir barat dalam bentuk video. Peserta berjaya akan memenangi hadiah wang tunai.
Peluang mendekatkan diri dengan bahasa Melayu melalui bengkel Batik Bersama anjuran galeri Kamal Art juga tersedia. Dalam bengkel itu, peserta akan mempelajari cara melukis pelbagai jenis bunga dari rantau ini.
Peserta akan turut mempelajari istilah-istilah berkaitan warna untuk menerangkan lukisan mereka.
Melalui bengkel, Karya Komik oleh Kamal Arts pula, peserta akan mempelajari cara melukis komik dan menghasilkan cerita komik dalam bahasa Melayu.
Pelancaran Bulan Bahasa 2024 akan ditayangkan pada 7 September, pada 8.30 malam, di saluran Mediacorp Suria.
Sementara itu, pakar perubatan di Jabatan Perubatan Sukan Dan Senaman, Hospital Besar Changi dan Hospital Besar Singapura, Dr Fadzil Hamzah, telah dilantik sebagai seorang lagi Duta Bahasa.
Sejak 2010, lebih 40 individu telah dilantik sebagai Duta Bahasa.
Antara mereka ialah penyampai dan penerbit berita di Berita Mediacorp, Cik Nursha Ismail; dan pakar obstetrik serta ginekologi di Hospital Raffles, Dr Jazlan Joosoph.
MBMS melantik Duta Bahasa, yang menggunakan dan mencintai bahasa Melayu, berdasarkan penguasaan dan minat mereka pada bahasa itu, serta pelibatan mereka dalam masyarakat.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg