Topik diikuti
Pergi ke BHkuPemimpin S’pura berdukacita atas pemergian Siti Hasmah
Pemergian satu kehilangan besar buat keluarga Allahyarhamha dan rakyat M’sia
Pemimpin S’pura berdukacita atas pemergian Siti Hasmah
Pemergian Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, isteri kepada mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, merupakan satu kehilangan besar buat keluarga Allahyarhamha dan rakyat Malaysia, kata Menteri Kanan Emeritus (ESM), Encik Goh Chok Tong.
Pemergian beliau disahkan oleh anaknya, Tan Sri Mokhzani Mahathir.
Dalam satu catatan Facebook pada 28 September, Encik Goh berkata beliau dan isterinya, Cik Tan Choo Leng, amat berdukacita atas pemergian Dr Siti Hasmah, yang disifatkannya sebagai seorang wanita luar biasa dengan pelbagai pencapaian.
“Kami akan sentiasa mengenang beliau atas sifat lemah lembutnya, keikhlasannya dan persahabatan yang terjalin erat.
“Kami mengenali Dr Siti Hasmah dengan rapat di luar mesyuarat rasmi saya bersama Tun Dr Mahathir di Malaysia dan Singapura, serta semasa persidangan Asean, Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec), Mesyuarat Ketua-Ketua Pemerintah Komanwel (Chogm) dan pelbagai pertemuan antarabangsa yang lain.
“Kami masih mengenang dengan penuh mesra dua pertemuan terakhir kami dengan Dr Siti Hasmah pada 2018 dan 2019,” kata Encik Goh.
Sewaktu Encik Goh berkhidmat sebagai Perdana Menteri Singapura dari 1990 hingga 2004, Tun Dr Mahathir pula memegang jawatan Perdana Menteri Malaysia dari 1981 hingga 2003.
Tun Dr Mahathir kemudiannya memegang jawatan itu buat kali kedua pada usia 92 tahun dan berkhidmat dari 2018 hingga 2020.
Pemimpin Singapura lain turut melahirkan rasa sedih atas pemergian Allahyarhamha Dr Siti Hasmah.
Dalam satu catatan di Facebook pada 28 September, Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, menyampaikan ucapan takziah atas pemergian Allahyarhamha Dr Siti Hasmah dan menyifatkan Allahyarhamha sebagai seorang yang “mesra dan berbudi bahasa, penuh semangat kehidupan, serta mempunyai sifat humor yang menceriakan”.
“Saya mengenali Tun Siti Hasmah selama bertahun-tahun lamanya dan sentiasa berbesar hati dapat bertemu dengan beliau,” ujar Encik Lee.
Beliau turut mengenang perbualan mereka mengenai rasa cinta Dr Siti Hasmah kepada muzik dan biola.
Menurut Encik Lee, Dr Siti Hasmah terus membuat persembahan sehingga usia 90-an, termasuk bagi mengumpulkan dana untuk tujuan amal.
“Semangat beliau amat mengagumkan,” kongsi beliau.
Encik Lee turut memberi penghormatan kepada sumbangan Allahyarhamha Dr Siti Hasmah sebagai seorang doktor, yang mengabdikan sebahagian besar kehidupannya untuk mempertingkat kesihatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia, terutamanya wanita, kanak-kanak dan keluarga.
Encik Lee berkata beliau dan isterinya, Cik Ho Ching, akan sentiasa mengenang Allahyarhamha.
“Kami mengucapkan takziah yang sedalam-dalamnya kepada Tun Dr Mahathir dan keluarganya dalam menghadapi waktu yang sukar ini,” kata beliau.
Dilahirkan di Kampung Jawa, Klang, Selangor, pada 1926, Allahyarhamha Dr Siti Hasmah melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di Kolej Perubatan King Edward VII di Singapura – pendahulu kepada Sekolah Perubatan Yong Loo Lin di Universiti Nasional Singapura (NUS) – menerusi biasiswa kerajaan.
Selepas tamat pengajian pada 1955, beliau menjadi salah seorang pegawai perubatan wanita Melayu terawal di Malaya.
Di situlah, beliau bertemu Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum mereka berkahwin pada 1956.
Dalam satu catatan Facebook pada 28 September, mantan Presiden, Puan Halimah Yacob, turut mengenang Allahyarhamha Dr Siti Hasmah sebagai seorang yang “mesra, peramah dan rendah hati”.
“Saya bertemu Dr Siti Hasmah semasa tempoh saya sebagai Presiden dan mengingati beliau sebagai seorang yang mesra, peramah dan rendah hati,” ujar Puan Halimah.
Puan Halimah berkata beliau secara khusus mengingati saat Allahyarhamha memegang lengannya ketika hendak meninggalkan satu acara dan berkata bahawa beliau amat berbangga kerana dapat bertemu dengan Presiden wanita Singapura.
“Beliau memegang lengan saya dan berkata bahawa beliau amat berbangga kerana dapat bertemu dengan Presiden wanita Singapura.
“Kata-kata ringkas yang penuh dengan kebaikan, dorongan, solidariti dan sokongan itu kekal terpahat dalam ingatan saya,” ujar beliau.
“Semoga roh Allahyarhamha Dr Siti Hasmah ditempatkan bersama para solihin di syurga.
“Semoga Dr Mahathir sekeluarga bersabar lagi reda dengan dugaan kepulangan Almarhumah Dr Siti Hasmah ke Rahmatullah. Amin,” tambah beliau.
“
Kami akan sentiasa mengenang beliau kerana sifat lemah lembut, keikhlasan dan persahabatan yang terjalin erat. Kami mengenali Dr Siti Hasmah dengan baik ketika mengikuti pertemuan rasmi saya bersama Tun Dr Mahathir di Malaysia dan Singapura, serta semasa persidangan Asean, Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec), Mesyuarat Ketua-Ketua Pemerintah Komanwel (Chogm) dan pelbagai pertemuan antarabangsa yang lain.“
Saya telah mengenali Tun Siti Hasmah selama bertahun-tahun dan sentiasa berbesar hati dapat bertemu dengan beliau. Beliau seorang yang mesra dan berbudi bahasa, penuh dengan semangat kehidupan, serta mempunyai selera humor yang menceriakan. Semangat hidup beliau amat mengagumkan.“
Saya bertemu Dr Siti Hasmah semasa tempoh saya sebagai Presiden dan mengingati beliau sebagai seorang yang mesra, peramah dan rendah hati. Beliau memegang lengan saya dan berkata bahawa beliau amat berbangga kerana dapat bertemu dengan Presiden wanita Singapura. Kata-kata ringkas yang penuh dengan kebaikan, dorongan, semangat setiakawan dan sokongan itu kekal terpahat dalam ingatan saya.