Topik diikuti
Pergi ke BHkuPemimpin S’pura tulis kawat tahniah kepada pemimpin baru parti Vietnam
Pemimpin S’pura tulis kawat tahniah kepada pemimpin baru parti Vietnam
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dan Setiausaha Agung Parti Tindakan Rakyat (PAP), Encik Lee Hsien Loong, telah menulis surat mengucapkan tahniah kepada Setiausaha Agung Parti Komunis Vietnam, Encik To Lam, atas pelantikannya pada 3 Ogos.
Dalam suratnya pada 7 Ogos, Encik Wong berkata:
“Pelantikan anda mencerminkan sokongan dan keyakinan rakan sekerja anda terhadap kepimpinan anda.
“Singapura dan Vietnam berkongsi hubungan yang sangat baik dan saling menguntungkan.
“Pemimpin-pemimpin kita saling berinteraksi secara kerap di forum dua hala dan pelbagai hala, dan telah membina rizab kepercayaan politik dan strategik yang mendalam.”
Encik Wong menambah bahawa Encik Lam telah menjadi penyokong kuat hubungan antara Singapura dengan Vietnam selama bertahun-tahun dalam kapasiti yang berbeza.
“Kita telah memperdalam hubungan politik, ekonomi dan rakyat dengan rakyat, serta membuka landasan baru dalam kerjasama kita dalam tenaga boleh diperbaharui, perubahan iklim, keselamatan siber, inovasi dan ekonomi digital.
“Saya pasti bahawa hubungan rapat antara kededua negara kita akan terus diperkukuh di bawah kepimpinan anda, terutama semasa kita berusaha ke arah menaik taraf hubungan dua hala kita kepada Perkongsian Strategik Komprehensif,” tambah Encik Wong.
Menyampaikan kawat tahniah kepada Encik Lam secara berasingan, Encik Lee, yang juga Menteri Kanan, dalam suratnya pada 6 Ogos menyatakan bahawa pelantikan Encik Lam adalah bukti sumbangan beliau kepada Vietnam.
“Anda telah mengambil peranan ini di saat yang genting sedang Vietnam memulakan lembaran baru dalam perkembangan sosio-ekonominya.
“Sebagai teman rapat dan rakan kongsi lama kepada Vietnam, Singapura bersedia memandu arah peluang strategik dan ekonomi di rantau ini, termasuk bidang baru seperti tenaga yang boleh diperbaharui, kemampanan dan pendigitalan.
“Terdapat lebih banyak yang kededua negara kita boleh capai bersama, terutama dalam mengukuhkan hubungan rakyat dengan rakyat dan perbincangan berterusan untuk meningkatkan hubungan dua hala kepada Perkongsian Strategik Komprehensif,” tulis Encik Lee.
Encik Wong dan Encik Lee turut mengucapkan selamat maju jaya kepada Encik Lam dalam menggalas jawatan baru itu.