Topik diikuti
Pergi ke BHkuPemimpin S’pura ucap takziah atas pemergian puteri Thai
Pemimpin S’pura ucap takziah atas pemergian puteri Thai
Puteri Bajrakitiyabha Narendira Debyavati, meninggal dunia pada usia 47 tahun selepas hampir 4 tahun koma akibat pelbagai masalah kesihatan
Pemimpin S’pura ucap takziah atas pemergian puteri Thai
Presiden, Perdana Menteri dan Menteri Ehwal Luar Singapura telah menyampaikan ucapan takziah kepada rakan sejawat mereka di Thailand atas pemergian Puteri Thailand, Bajrakitiyabha Narendira Debyavati, pada 11 Jun.
Anak sulung Raja Thailand, Maha Vajiralongkorn, itu meninggal dunia pada usia 47 tahun setelah koma sejak 2022. Pemergiannya diumumkan pada 12 Jun.
Dalam catatan Facebook pada 13 Jun, Kedutaan Singapura di Bangkok menyatakan bahawa pemerintah Singapura sangat sedih dengan pemergiannya.
Ia juga berkongsi kawat takziah daripada Presiden Tharman Shanmugaratnam; Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong; dan Menteri Ehwal Luar, Encik Vivian Balakrishnan.
“(Puteri Thailand, Bajrakitiyabha Narendira Debyavati) menjalani kehidupan dengan berkhidmat dan penuh tujuan.
“Sebagai seorang diplomat dan pendakwa raya, beliau terkenal bagi sifat keadilannya yang teguh,” tulis Tuan Presiden dalam kawatnya kepada Raja Thailand.
Tambahnya, sokongan padu terhadap usaha kemanusiaan yang dilakukan oleh Puteri Thai itu seperti menerusi Persatuan Palang Merah Thailand dan Yayasan Kanak-Kanak di Hospital Phramongkutklao menyediakan talian hayat bagi mereka yang memerlukan.
Menyingkap lawatan beliau ke Singapura pada 1999 dan 2014, Tuan Presiden berkata:
“Rakyat Singapura yang berpeluang berinteraksi dengan beliau amat kagum dengan sifat tenang dan kebijaksanaannya.
“(Puteri Thailand, Bajrakitiyabha Narendira Debyavati) meninggalkan legasi yang memberi inspirasi dan akan amat dirindui.”
Encik Wong, dalam kawatnya kepada Perdana Menteri Thailand, Encik Anutin Charnvirakul, berkata Puteri Thai itu akan dikenang bagi sumbangannya yang membawa kebaikan kepada masyarakat Thailand.
Menarik perhatian kerjaya cemerlang Puteri Thai itu, Encik Wong berkata:
“Beliau bukan sahaja seorang pendakwa raya yang mahir dan diplomat yang berjaya tetapi juga sangat dihormati di peringkat antarabangsa sebagai pejuang teguh hak wanita.”
Tambahnya, beliau memainkan peranan penting dalam membina norma antarabangsa bagi layanan dan kebajikan yang lebih baik bagi banduan wanita.
Dalam kawat kepada Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Ehwal Luar Thailand, Encik Sihasak Phuangketkeow, Menteri Ehwal Luar, Encik Balakrishnan, menyifatkan pemergian Puteri Thai itu sebagai satu kehilangan besar buat Thailand.
“Sokongan teguhnya bagi keadilan, kedaulatan undang-undang dan hak wanita diiktiraf di peringkat antarabangsa oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” tambahnya.
Puteri Thai itu memegang ijazah kedoktoran dalam bidang undang-undang daripada Universiti Cornell dan kemudian berkhidmat di Pejabat Peguam Negara Thailand.
Beliau juga merupakan pengerusi lembaga penasihat khas Institut Keadilan Thailand.
Dari 2012 hingga 2014, beliau merupakan duta Thailand ke Austria dan wakil tetap kerajaan ke PBB.
Beliau juga telah memulakan projek yang bertujuan menangani keperluan khas serta kerentanan dalam kalangan banduan wanita dan anak-anak mereka di pusat pemulihan.
