BANGKOK: Mahkamah Thailand pada 28 Mei menggugurkan kes penghinaan diraja terhadap bekas pemimpin pembangkang terkenal, Encik Thanathorn Juangroongruangkit, berhubung kenyataan yang dibuatnya ketika pandemik Covid-19, dalam satu keputusan yang jarang memihak kepada pengkritik utama kerajaan.

Encik Thanathorn, bekas pemimpin parti Future Forward yang kini sudah dibubarkan, sebelum ini didakwa di bawah undang-undang lese majeste Thailand selepas mengkritik pengurusan vaksin Covid-19 oleh kerajaan menerusi siaran langsung Facebook pada 2021.

Kenyataan beliau dikaitkan dengan proses perolehan vaksin yang melibatkan sebuah syarikat milik raja Thailand.

Undang-undang lese majeste Thailand dianggap antara paling ketat di dunia kerana melindungi institusi diraja daripada sebarang kritikan, dengan hukuman penjara sehingga 15 tahun bagi setiap kesalahan.

Mahkamah Jenayah Bangkok bagaimanapun memutuskan bahawa kenyataan Encik Thanathorn sebenarnya ditujukan kepada pentadbiran vaksin kerajaan pimpinan bekas perdana menteri, Encik Prayut Chan-O-Cha, dan tidak boleh dianggap sebagai penghinaan terhadap institusi diraja.

Menurut kumpulan peguam hak asasi,Peguam Hak Asasi Thailand, pihak pendakwa gagal mengemukakan bukti mencukupi bagi menyokong pertuduhan tersebut.

“Bukti yang dibawa pihak pendakwa tidak mencukupi,” kata kumpulan itu menerusi media sosial.

Keputusan itu dilihat sebagai kemenangan besar yang jarang berlaku bagi tokoh pembangkang utama di Thailand, ketika ramai aktivis dan ahli politik pembangkang terus berdepan tekanan undang-undang.

Kumpulan hak asasi sebelum ini mendakwa proses kehakiman di Thailand sering digunakan terhadap individu yang dilihat mencabar kelompok konservatif dan institusi tradisional negara itu.

Peguam Hak Asasi Thailand. Thanathorn menjadi antara tokoh paling berpengaruh dalam gerakan politik progresif Thailand sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Beliau terkenal kerana membawa agenda reformasi politik, perubahan institusi dan sokongan terhadap generasi muda yang mahukan sistem politik lebih demokratik.

Namun, perjalanan politiknya sering berdepan halangan undang-undang dan tekanan politik.

Pada 2020, beliau dikenakan larangan memegang jawatan politik dalam kes berasingan, tetapi masih aktif menyokong gerakan pembangkang.

Beliau turut membantu berkempen untuk People’s Party, iaitu versi terbaru gerakan politik Future Forward, dalam pilihan raya Februari lalu.

Parti Future Forward sebelum ini dibubarkan oleh mahkamah Thailand, namun sokongan terhadap gerakan reformasi yang dibawa parti itu terus berkembang, terutama dalam kalangan pengundi muda.

Beberapa pemimpin daripada parti penggantinya, Move Forward Party, turut berdepan tindakan undang-undang berkaitan undang-undang lese majeste.

Sekurang-kurangnya tiga bekas ahli Parlimen Move Forward sebelum ini dijatuhi hukuman di bawah undang-undang tersebut kerana aktiviti politik mereka.

Selain itu, 10 lagi ahli Parlimen, termasuk ketua pembangkang semasa, Natthaphong Ruengpanyawut, kini masih disiasat mahkamah kerana menyokong usaha pembaharuan terhadap undang-undang lese majeste.

Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dikenakan larangan seumur hidup daripada memegang jawatan politik selain hilang hak mengundi selama 10 tahun.

Kes melibatkan Encik Thanathorn sekali lagi menarik perhatian terhadap kebebasan bersuara dan masa depan demokrasi di Thailand, terutama selepas gelombang protes besar-besaran belia yang menuntut reformasi institusi diraja dan sistem politik sejak beberapa tahun lalu.

Pemerhati politik melihat keputusan mahkamah itu sebagai perkembangan penting, walaupun tekanan terhadap pembangkang dan aktivis pro-reformasi masih berterusan di negara tersebut.

Bagi penyokong pembangkang, keputusan itu memberi sedikit harapan bahawa sistem kehakiman Thailand masih mampu membuat keputusan bebas dalam kes berprofil tinggi yang melibatkan tokoh politik utama.

Namun bagi pengkritik kerajaan, siasatan dan pertuduhan berterusan terhadap ahli politik pembangkang menunjukkan ruang politik Thailand masih dikawal ketat oleh institusi konservatif negara. - Agensi berita