Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Peminat burung teruja ratusan spesies Upih-Siput Asia ditemui di S’pura

Feb 3, 2025 | 3:47 PM
Burung Upih-Siput Asia, atau ‘Asian Openbill stork’, dilihat di Kranji Marsh dan Tampines North pada 31 Januari, serta di Paya Simpanan Sungei Buloh pada 1 Februari.
Burung Upih-Siput Asia, atau ‘Asian Openbill stork’, dilihat di Kranji Marsh dan Tampines North pada 31 Januari, serta di Paya Simpanan Sungei Buloh pada 1 Februari. - Foto FACEBOOK KHONG YEW

Terdapat banyak burung Upih-Siput Asia, atau Asian openbill stork – burung yang biasanya ditemui di sawah padi negara-negara rantau ini seperti Thailand – dapat dilihat di Singapura dan mencetuskan kegembiraan dalam kalangan masyarakat pemerhati burung tempatan pada hujung Januari dan awal Februari.

Dikenali kerana mempunyai bulu berwarna putih kelabu dan berekor hitam, burung-burung ini dilihat di Kranji Marsh dan Tampines North pada 31 Januari, serta di Paya Simpanan Sungei Buloh pada 1 Februari.

Cik Annette Kho, 62 tahun, yang mendengar mengenai penemuan burung Upih-Siput Asia di Tampines melalui Facebook, memutuskan untuk melawat sebuah padang yang terletak di Tampines Avenue 10 pada 31 Januari, 7 malam.

Setibanya di sana, beliau menyaksikan kira-kira seratus burung jenis ini terbang menuju ke arah Pasir Ris, sementara 30 ekor lain sedang mencari makan di padang tersebut, lapor The Straits Times (ST).

Penemuan burung Upih-Siput Asia menyebabkan peminat burung seluruh Singapura mengunjungi Tampines Industrial Avenue 2 untuk mengambil gambar dan merakamkan video burung itu.
Penemuan burung Upih-Siput Asia menyebabkan peminat burung seluruh Singapura mengunjungi Tampines Industrial Avenue 2 untuk mengambil gambar dan merakamkan video burung itu. - Foto FACEBOOK ANNETTE KHO

Cik Kho, berkata kepada ST: “Saya terkejut melihat begitu banyak burung Upih-Siput Asia ini.

Ia pengalaman yang berharga bagi seorang pemerhati burung. Dalam empat hingga lima tahun sebagai peminat burung, ini hanya kali kedua saya bertemu spesies ini.”

Seorang lagi pemerhati burung, Encik Khong Yew, mengunjungi Tampines Industrial Avenue 2 bersama peminat burung lain untuk mengambil gambar burung Upih-Siput Asia yang ada di situ.

Beliau menggambarkan burung itu sebagai megah dan berkata mereka sangat teruja melihatnya.

Burung Upih-Siput Asia, yang tingginya sekitar 80 sentimeter, biasanya mencari siput di sawah padi sebagai sumber makanan, terutamanya di lembangan Sungai Mekong dan Chao Phraya.

Seorang peminat burung berkata ia merupakan sesuatu yang luar biasa bagi burung Upih-Siput Asia untuk terbang jauh ke arah selatan, sehingga ke Singapura.
Seorang peminat burung berkata ia merupakan sesuatu yang luar biasa bagi burung Upih-Siput Asia untuk terbang jauh ke arah selatan, sehingga ke Singapura. - Foto FACEBOOK JEFF LOW

Timbalan Presiden Persatuan Burung Singapura, Encik Movin Nyanasengeran, berkata kepada ST bahawa kemunculan burung ini di Singapura pada hujung Januari dan awal Februari adalah sebahagian daripada migrasi besar-besaran burung ke kawasan yang jarang mereka huni.

Beliau berkata beberapa spesies burung menunjukkan tingkah laku ini apabila populasi mereka terlalu besar, makanan menjadi terhad di habitat biasa mereka, atau apabila terdapat banyak makanan di kawasan yang jarang mereka kunjungi.

Encik Movin, yang juga seorang penyelidik di Universiti Nasional Singapura (NUS), berkata ia merupakan sesuatu yang luar biasa bagi burung-burung ini untuk terbang jauh ke selatan, kerana mereka lebih cenderung terbang ke utara.

Dr Yong Ding Li, penyelaras serantau di BirdLife International, berkata pertumbuhan populasi ini sebahagiannya disebabkan oleh usaha pemeliharaan di Thailand, Kemboja dan Vietnam. 

Beliau juga menambah petani di Kemboja dan Laos menganggap burung ini membantu dalam memelihara sawah padi dengan memakan siput yang ada di situ.

Rekod pertama Upih-Siput Asia di Singapura dicatatkan pada 2012, menurut sebuah artikel dalam jurnal saintifik Nature In Singapore pada 2013. 

Pada waktu itu, enam ekor burung Upih-Siput Asia telah ditemui di padang yang bertakung berhampiran Lapangan Terbang Seletar.

Keadaan kemarau di Thailand mungkin menyebabkan burung-burung tersebut terbang ke Singapura.

Pada 2019, ribuan burung Upih-Siput Asia dilihat di Pulau Sekijang Bendera (St John’s) dan kawasan Changi sekitar tengah hari, serta di East Coast dan Orchard.

Dr Yong berkata penemuan ini mungkin akibat musim kemarau di Thailand yang menyebabkan jumlah siput berkurangan, mendorong burung Upih-Siput Asia terbang ke Singapura untuk mencari makanan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg