Pempengaruh yang dikenali sebagai Don Jany atau nama sebenarnya, Encik Muhammad Noor Tijany Nezam, 26 tahun, yang dikenali dengan kandungan media sosial berunsur kehidupan agama, baru mendirikan rumah tangga bersama wanita yang hanya dikenali sebagai Zahidah pada 21 Jun lalu.
Majlis persandingan Encik Tijany dan isterinya, diadakan di Begonia Pavilion di Pasir Ris dan dihadiri oleh hampir 1,000 jemputan termasuk, asatizah dan personaliti popular seperti Ustaz Mizi Wahid, Dzar Ismail dan Encik Amrin Amin, bekas Anggota Parlimen.
Encik Tijany tidak mahu berkongsi lebih lanjut tentang isterinya tetapi memberitahu wartawan beliau sudah merujuk kepada ramai mentor dan asatizah sebelum melamar isterinyanya.
“Mengikut pendapat saya, kita tidak akan tahu bila kita betul-betul sedia, dan jika pasangan itu adalah yang terbaik atau tidak, tetapi saya banyak meminta nasihat daripada guru-guru saya sebelum saya mengambil langkah ke depan,” kata Encik Tijany.
Majlis persandingannya itu juga diserikan dengan persembahan daripada Kumpulan Nadi Singapura dan Sri Mahligai.
Encik Tijany, yang sejauh ini mempunyai 93,800 pengikut di Instagram dan 415,400 pengikut di TikTok, bermula dengan berkongsi kandungan bersifat motivasi keagamaan pada 2018.
“Saya hanya mahu berikan galakan dari segi sudut perspektif Islam, supaya mereka yang terasa diri mereka jauh dari Tuhan, dapat kembali ke pangkal jalan dan menjadi manusia yang lebih baik,” kata Encik Tijany dalam satu temu bual bersama wartawan.
Menurutnya, pengikut media sosialnya mula meningkat apabila beliau berkongsi isu semasa seperti isu, dadah, isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), penjara dan gejala sosial yang lain.
“Saya berikan fakta-fakta yang mudah difahami dalam sudut agama,” tambahnya lagi.
Encik Tijani juga terkenal dengan kerja-kerja kebajikan yang dilakukannya dan beliau juga adalah pengasas bersama Alfajr.sg, Fajr.plus dan Dawnnetwork. Syarikat beliau baru mengusahakan ibadah korban dari pelbagai negara untuk kemudahan rakyat Singapura.
Dalam hantaran facebook Encik Amrin Amin, beliau menyifatkan Encik Tijani sebagai seorang yang terkenal dengan sifat pemurahnya.
“Beliau memberi makan kepada pekerja asing dan menyediakan khidmat gunting rambut percuma pada Hari Kebangsaan. Jiwanya baik dan menyatukan orang ramai, baik dalam talian mahupun luar.”
Rata-rata ramai pengikutnya yang meninggalkan komen mendoakan serta memberi ucapan tahniah kepada Encik Tijany dalam muatannya di Instagram.
Antaranya ialah Ustazah Shameem Sultanah yang turut hadir di majlis itu.
“Mabruk @_donjany! Saya gembira dapat bertemu dengan anda dan isteri anda sebentar tadi. Anda berdua diberkati kerana mempunyai satu sama lain sebagai pasangan seumur hidup. Semoga Allah merahmati perkahwinan kalian dengan mawaddah, sakinah dan rahmah.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg