Enam seniman dianugerah Pingat Budaya dan Anugerah Seniman Muda di Galeri Nasional Singapura pada 27 November bagi sumbangan cemerlang mereka kepada sektor seni Singapura.
Penerima Pingat Budaya – Dr Ghanavenothan Retnam dan Encik Siew Hock Meng – serta penerima Anugerah Seniman Muda – Encik Alan Choo Su Ho, Encik Evan Low Jun Feng, Encik Tan Si En dan Encik Zhang Fuming – telah mencapai kecemerlangan dalam bidang masing-masing.
Mereka juga telah mencapai kemajuan penting dalam menghasilkan karya yang berkesan dan dekat di hati masyarakat di Singapura masa kini.
Ini termasuk menerajui kolaborasi pelbagai disiplin serta mewakili Singapura di persada seni antarabangsa, menurut Majlis Seni Kebangsaan (NAC) dalam satu kenyataan.
Majlis anugerah itu dihadiri Presiden Tharman Shanmugaratnam sebagai tetamu terhormat.
Memberi pengiktirafan kepada penerima, beliau berkata: “Penerima Pingat Budaya dan Anugerah Seniman Muda tahun ini (2024) masing-masing telah menyumbang dalam cara tersendiri dan unik kepada dunia seni.
“Namun, secara keseluruhan, mereka turut mencerminkan keluasan watak dan imaginasi yang kita idamkan dalam budaya Singapura.”
Diperkenalkan pada 1979, Pingat Budaya merupakan penghormatan tertinggi dalam seni di Singapura, bagi mengiktiraf individu cemerlang dalam bidang seni.
Ia turut mengiktiraf sumbangan dan dedikasi mereka dalam membentuk landskap budaya Singapura yang semakin berkembang.
Dr Retnam dan Encik Siew dianugerahkan Pingat Budaya 2024 sebagai pengiktirafan bagi sumbangan mereka yang tidak ternilai kepada muzik India tempatan dan seni visual.
Mereka telah memberikan kesan besar kepada arena seni Singapura dengan meneroka ekspresi seni dan menyerlahkan seni tempatan ke peringkat antarabangsa.
Dr Retnam, yang merupakan pemuzik klasik India pertama menerima Pingat Budaya, menjadi penggerak muzik klasik India lebih 40 tahun.
Beliau seorang pemuzik seruling klasik India, komposer, dan konduktor yang menubuhkan ensembel seruling, Carnatic, pertama di Singapura pada 2019.
Beliau juga bekerjasama dengan komposer terkenal Asia Tenggara untuk menggabungkan muzik klasik India dengan muzik Jawa, Bali, dan Kelantan dalam taridra Radin Mas pada 2023.
Encik Siew dikenali sebagai pakar dalam seni lukisan figuratif, karya alegori, komposisi pastel, dan potret minyak.
Sentuhan halusnya terhadap isu masyarakat, budaya, alam sekitar, serta sejarah mencerminkan sifat intelektual yang mendalam dan pemikiran yang tajam.
Pada 1971, sumbangannya diiktiraf melalui Pingat Hari Kebangsaan bagi Seni Halus.
Encik Siew memainkan peranan penting dalam membentuk landskap seni visual Singapura sebagai ahli persatuan seni perintis seperti Persatuan Cat Air Singapura dan Persatuan Equator Art.
Pada peringkat antarabangsa, karya seninya dihargai tinggi oleh pengumpul karya seni, cendekiawan, dan seniman dari seluruh dunia.
Beliau turut menyumbang secara aktif kepada dunia seni melalui pameran antarabangsa, ceramah, dan penulisan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg