Wacana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dikir barat S’pura: Telusuri tradisi di tengah dunia kosmopolitan

Seni tradisional Melayu ini mampu jadi penghubung sosial, budaya dalam masyarakat majmuk S’pura
Nov 25, 2024 | 5:30 AM
Dikir barat apabila diserap masuk ke Singapura, pola bahasanya berganti sesuai dengan kebudayaan masyarakat di sini dengan menitikberatkan  bahasa penulisan dalam persembahan. 
Dikir barat apabila diserap masuk ke Singapura, pola bahasanya berganti sesuai dengan kebudayaan masyarakat di sini dengan menitikberatkan bahasa penulisan dalam persembahan.  - Foto MHC

Dari September hingga Disember, Berita Harian akan menerbitkan empat esei yang ditulis untuk menghargai sumbangan beberapa seniman mapan yang telah melestarikan arena seni bahasa Melayu setempat. Karya seniman ini, dengan sokongan Lembaga Warisan Negara (NHB), telah disematkan dalam siri, ‘Intangible Cultural Heritage’ atau Warisan Budaya Tidak Ketara, yang dikendalikan oleh Taman Warisan Melayu (MHC). Esei minggu ini adalah berkenaan dikir barat di Singapura. 

Oleh MUHAMMAD IYLIA KAMSANI

Hari ini kita sering mendengar tentang globalisasi.

Secara tidak sedar, kita dibawa arusnya, mempengaruhi budaya, pemikiran, falsafah, seni dan gaya hidup dari seantero dunia.

Integrasi juga asimilasi budaya dan kemajuan teknologi mendorong lagi pendebungaan silang idea, menghasilkan keadaan global yang pelbagai.

Aliran pemikiran dan gaya hidup berkembang melalui pendedahan kepada bermacam-macam perspektif sekali gus mencabar norma-norma tempatan.

Walaupun globalisasi memupuk semangat inovasi dan kesalinghubungan, ia juga menimbulkan kebimbangan mengenai penghomogenan budaya iaitu apabila budaya berbeza berubah menjadi serupa, dan penghakisan tradisi tempatan.

Mengimbangi faedah dan cabaran adalah penting dalam mengemudi kesan-kesannya yang kompleks ke atas dunia kita.

Salah satu daripada kesannya ialah kosmopolitanisme iaitu suatu falsafah yang menyokong sikap dan pendekatan tertentu terhadap dunia yang saling berkaitan ini – yang menghargai kepelbagaian, keterangkuman dan rasa kewarganegaraan global yang dikongsi bersama.

Bentuk seni tradisional juga tidak terlepas daripada ekspresi kontemporari dan kosmopolitan.

Esei ini akan membincangkan bagaimana seni tradisional Melayu, dikir barat (dikir) mampu menjadi penghubung sosial dan budaya bagi mendepani arus kosmopolitanisme lebih-lebih lagi dalam lingkungan masyarakat di Singapura yang bersifat majmuk.

Bahasa Dikir Barat Singapura

Terdapat banyak perbahasan tentang asal usul dikir barat.

Ada yang mengatakan ia berasal dari Kelantan, ada pula mengatakan bahawa ia dibawa masuk dari selatan Siam.

Perbahasan sebegini sihat untuk meneliti sejarah, tetapi tidak harus ditujukan kepada perihal pemilikan budaya semata-mata.

Ini kerana ia boleh menjurus kepada sifat eksklusivisme atau pemisah, yang sama sekali tidak membawa sembarang manfaat darihal kemaslahatan masyarakat.

Sebaiknya, perkembangan dikir barat itu harus mengambil kira persekitaran fizikal atau sosial tempat-tempat yang sudah dijejaki.

Setiap tempat itu mempunyai bahasanya sendiri, yang dipengaruhi sosial dan politik yang berbeza-beza.

Yakni persoalan bahasa tidak boleh dipisahkan dengan persoalan budaya dan tidak boleh dilihat sekadar alat untuk berkomunikasi.

Tegas Ngugi, “Culture is almost indistinguishable from the language that makes possible its genesis, growth, banking, articulation and indeed its transmission from one generation to the next.” (Budaya hampir tidak dapat dibezakan daripada bahasa yang memungkinkan asal usul, perkembangan, perbankan, artikulasi dan sememangnya penghantarannya dari satu generasi ke generasi seterusnya.)

Di Kelantan, misalnya, seni dikir itu sudah menjadi darah daging segenap masyarakatnya sehingga menjadi sebahagian besar daripada cara kehidupan mereka.

Sudah terbangun kebudayaan dan sejarahnya yang tersendiri.

Pembelajaran budaya Kelantan tak mungkin tuntas tanpa menghiraukan seni dikir di samping seni lain seperti wayang kulit, makyung dan main puteri.

Seni dikir merangkumi nilai moral, etika dan estetika, kerohanian, dan melaluinya, penggiat serta penggemar melihat keperibadian dan kedudukan mereka di dunia.

“How people perceive themselves affects how they look at their culture, at their politics and at the social production of wealth, at their entire relationship to nature and to other beings.”

(Bagaimana seseorang melihat diri mereka sendiri, mempengaruhi cara mereka melihat budaya mereka sendiri, pada politik mereka dan pada pengeluaran sosial kekayaan, pada keseluruhan hubungan mereka dengan alam semula jadi dan dengan makhluk lain.)

Apabila dikir diserap masuk ke Singapura, coraknya berubah.

Pola bahasanya berganti sesuai dengan kebudayaan masyarakat di sini.

Sebagai contoh, dikir Singapura memperkenalkan malah menitikberatkan bahasa penulisan dalam persembahan.

Ini berbeza di Kelantan yang masih menekankan persembahan secara spontan dengan bahasa lisan.

Pembaharuan ini terjadi kerana kebanyakan para perintis dan elit budaya dikir Singapura merupakan guru bahasa Melayu yang terdidik dalam bidang sastera.

Kedua-dua bentuk sastera, klasik dan moden, dimanfaatkan terutama sekali dalam pertandingan yang mempunyai komponen untuk seni kata.

Ini merancakkan lagi penguasaan bahasa dan penulisan kreatif dalam kalangan penggiat.

Pada masa yang sama, penonton juga terdedah dengan mutu bahasa dan pemikiran yang lebih kritis yang selari dengan isu tempatan.

Sayangnya, masih ada sesetengah pihak yang sentiasa memperkecilkan pembaharuan ini atas sebab ia menyimpang daripada ‘keaslian’ seni dikir yang kononnya menggunakan bahasa yang lebih mudah difahami.

Pemerhatian sebegini bersifat tidak menghiraukan akan politik, sejarah dan antiintelektual.

Ia juga membelakangkan hakikat masyarakat yang telah melalui pembangunan, pemodenan dan perubahan secara pesat.

Perbincangan dan pelestarian seni dikir di Singapura, seperti seni warisan yang lain, harus beralih daripada perihal keaslian semata-mata.

Inti pemikiran penulis dikir Singapura menjadi saksi.

Pemikiran mereka meliputi persoalan reformasi identiti, semangat kemajmukan, dan etika kemanusiaan sejagat.

Namun, rata-rata ini jarang diketemukan dalam persembahan dikir di Kelantan yang masih bergelut dengan retorik agama, bibit-bibit feudalisme, mahupun ‘krisis’ etiket Melayu.

Bahasa dikir Singapura semakin berganjak daripada kepercayaan atau teori yang diterima umum seperti di Kelantan.

Nilai Kreatif Dikir Barat Singapura

Seperti seni Melayu yang lain, perjalanan dikir Singapura juga tidak terlepas daripada inovasi.

Dari segi gerak tari, susunan muzik, alunan suara, repertoir lagu, pakaian busana dan pementasannya, tidak keterlaluan untuk menyatakan bahawa dikir di Singapura lebih terbuka kepada perubahan.

Sebagai contoh, lagu dikir Singapura memadankan bunyi tradisional seperti zapin, asli, dan joget dengan korpus muzik yang lebih luas seperti jaz Afrika, rege dan pop.

Penggiat di sini sentiasa mencuba mengedepankan kreativiti mereka untuk menggubah lagu yang asli, berlainan, serta menggugah minda.

Daya kreatif mereka dalam menerapkan unsur asing mesti dilihat sebagai satu ikhtiar untuk mencari takrifan kebudayaan yang sesuai dengan zaman dan cara meraih pemerkasaan sosial dalam kalangan masyarakat mereka.

Ini dapat dicapai jika penekanan terhadap perihal teknikal dilalukan, di samping perihal etik serta estetik yang menghala kepada persoalan kemanusiaan yang lebih besar.

Ini haruslah menjadi perjuangan utama para penggiat dikir Singapura.

Renungan seorang intelektual Indonesia mapan, Soedjatmoko, terhadap daya cipta manusia itu sendiri mampu menghuraikan perkara ini:

“Rasanya seolah-olah sebahagian besar masyarakat kita, terutama lapisan pemimpinnya, telah kehilangan perasaannya untuk nilai-nilai (waarden)...

“Hampir tidak ada pertukaran pemikiran atau perdebatan nasional, iaitu yang meliputi seluruh masyarakat, tentang masalah-masalah pokok yang akan menentukan nasib kita...

“Selanjutnya tak ada pemikiran baru… yang ada hanya ‘tendenzen’, hanya kecenderungan-kecenderungan… Akibatnya sudah semestinya terjadi kemandulan dalam kehidupan kebudayaan kita...

“Kepercayaan dan kesanggupan akan diri sendiri serta elan revolusioner yang lahir daripadanya, telah lenyap.

“Hilanglah pula pertaruhan total daripada peribadi (totale inzet van het individu) dalam perjuangan; yang tinggal ialah sifat dan gerak-geri setengah-setengah, sinisme yang lahir daripada tiada percaya, dan tindak-tanduk daripada jiwa-jiwa yang kecil, yang tidak sanggup untuk menjulang ke atas dan melepaskan diri daripada batas peribadinya sendiri serta tumbuh dalam pengabdian kepada suatu yang lebih besar daripada dirinya sendiri.”

Sejak 1980, perkembangan yang dilalui dikir barat di Singapura boleh disebut sebagai suatu proses pemodenan ke arah kesejagatan tulen.

Malah, dikir Singapura menjadi cerminan terbaik bagaimana sebuah kebudayaan itu menjadi moden tanpa melanggar tradisi.

Etosnya sudah banyak dipengaruhi oleh gaya hidup bandar.

Sebagai contoh, di Kelantan sesuatu persembahan boleh meleret berjam-jam sampai ke lewat pagi, sebaliknya, ini tidak berlaku di Singapura kerana batas-batas tertentu.

Mujurlah ini tidak langsung menghambat penyertaan serta kemeriahan persembahan dikir Singapura.

Ia menunjukkan medan dikir di sini memang menggalakkan penggiatnya untuk senantiasa menggali dan menyelami serta mencipta kembali dari waktu silam kita, dan daripada sumber kebudayaan kita yang lama itu.

Ini mesti dilaksanakan dengan penyesuaian daya kreatif demi mencari jawapan atas pertanyaan pokok mengenai manusia dan masyarakatnya.

Tanpa daya kreatif, kebudayaan tersebut akan beku dan tidak akan berkembang.

Hanya dengan penciptaan, ia dapat berkembang mekar dan melawan kematian.

Justeru, pemodenan bukan bererti menentang tradisi.

Ia merupakan kesinambungan usaha terhadap elemen dan pengaruh tradisi, bahkan mesti dibina di atasnya.

Pencarian Kerelevanan serta Harapan

Akhir sekali, dalam dunia global pada hari ini, budaya tempatan akan terdedah kepada pelbagai unsur luar.

Dikir Singapura merupakan salah satu contoh yang menjadi cerminan hakikat ini.

Baik buruknya pendedahan sebegini bergantung kepada keupayaan serta kesanggupan para penggiat, terutama golongan pemimpinnya, untuk menjana satu bahasa yang baru – yang celik sejarah, celik politik, celik moral, dan mantap intelektualnya.

Ini mesti dilakukan supaya ia mampu menarik minat generasi seterusnya yang akan menjadi pelapis.

Pelapis inilah yang mempunyai tanggungjawab sosial.

Seyogia diingat, pencarian kerelevanan dikir Singapura tidak semestinya meninggalkan nilai tradisi mahupun menerap pengaruh dari Barat sahaja.

Pemodenan bukan bererti pembaratan.

Namun satu sikap intelektual selalu sedia memikir ulang tradisi dengan serius demi mencari penambahbaikan, pembangunan dan pemerkasaan sosial, supaya kehadiran dikir Singapura dalam sejarah lebih bermakna.

Dalam keadaan sentiasa ditakut-takutkan dengan soal pencemaran seni, para pejuang dikir Singapura mesti berdiri berani kerana “Manusia yang ketakutan bisakah mencipta dalam dunia yang juga ketakutan ini?”.

Ke hadapan, wacana dikir barat di Singapura harus dibuka luas melangkaui aspek hiburan dan persembahan.

Adalah diharapkan bahasa dan kekreatifan dikir Singapura inilah yang menjadi obor dalam menelusuri tradisi di tengah jagat kosmopolitan.

Tentang Penulis

Muhammad Iylia Kamsani seorang penggiat dikir barat dan pencinta sastera dan kini sedang melanjutkan pengajian dalam program Sarjana Pengajian Melayu di Universiti Nasional Singapura (NUS). Pelantikannya sebagai Sahabat Sastera oleh Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS) pada 2021, Muhammad Iylia telah membuka pelbagai pintu untuk mendalami ilmu sastera di Singapura dan di luar negara. Antaranya, beliau sudah membuat penyampaian bagi program bahasa dan kesusasteraan tempatan, dan telah mewakili MBMS dan Singapura dalam peringkat rantau untuk forum dan seminar bagi Majlis Sastera Asia Tenggara (Mastera).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg