Tampil untuk menunjukkan sokongan kuat terhadap masyarakat, pemilik bersama Karva, Encik Jai Wahab, 52 tahun, dan isteri, Cik Rozza Ramli, 42 tahun, telah menyumbangkan sebanyak $10,000 kepada acara Golf Amal anjuran Berita Harian dan AMP Singapura (AMP).
Pasangan tersebut berharap tajaan itu dapat mendorong usahawan Melayu/Islam yang lain untuk berkembang maju, dan menggalakkan semangat saling menyokong dalam masyarakat.
Mereka menekankan bahawa usahawan Melayu di Singapura perlu lebih menyerlah dan hadir di wadah yang berpengaruh atau ruang yang memberi peluang untuk menyumbang kepada golongan yang memerlukan bantuan.
Ini penting bagi memastikan mereka diwakili dan menunjukkan bahawa terdapat usahawan Melayu/Islam yang boleh membantu masyarakat sendiri, sekali gus memperkasa masyarakat Melayu Singapura secara keseluruhan.
“Kita mengalu-alukan masyarakat, usahawan ataupun masyarakat usahawan Melayu untuk lebih tampil ke hadapan, untuk terus membantu kaum kita sendiri, bak pepatah, ‘berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’,” kata Encik Jai.
Usaha amal Karva – yang merangkumi Karva Travel and Tours dan salon Muslimah, Karva Salon – turut diperluaskan kepada para pelanggan mereka, yang dijemput untuk sama-sama menyertai kegiatan kebajikan bersama.
Encik Jai dan isteri berkongsi tentang daya usaha Karva Travel Friday Blessings, yang mana sumbangan dikumpul setiap Jumaat untuk menyokong projek di Uganda dan negara lain yang memerlukan.
“Mungkin kita boleh adakan lebih banyak kegiatan yang murni, yang pelbagai dan yang boleh membawa masyarakat lebih rapat.
“Dengan sumbangan ini, semoga kita dapat menjadi masyarakat yang bersemangat dan membangunkan masyarakat Melayu,” tambah mereka.
Lebih $260,000 telah berjaya dikumpulkan dalam Acara Golf Amal dan Jamuan Malam BH-AMP pada 22 Julai lalu untuk menyokong kanak-kanak, belia dan keluarga yang memerlukan.
Dana tersebut akan disalurkan kepada program-program anjuran AMP dan Persatuan Kanak-Kanak Singapura.
Selain itu, sebahagian daripada dana yang dikumpul akan digunakan bagi hadiah buku bagi pelajar dalam bidang komunikasi, media dan pengajian Melayu.
Mendahului senarai penaja ialah Encik Salleh Marican, 76 tahun, yang telah dengan murah hati menyumbang $60,000 menerusi Yayasan Salleh Marican.
Beliau telah disenaraikan sebagai Penaja ‘Berlian’.
Encik Salleh berkongsi bahawa yayasan tersebut merupakan satu bentuk pelaburan jangka panjang bagi generasi akan datang, bagi memastikan semangat memberi terus hidup dari tahun ke tahun.
“Saya rasa sebahagian daripada harta saya ingin saya salurkan ke dalam yayasan untuk terus membantu masyarakat yang kurang bernasib baik — bukan sekali sahaja, tetapi secara berterusan, tahun demi tahun, dari satu generasi ke generasi yang lain,” ujarnya.
Bagi Encik Salleh, kejayaan sebenar tidak diukur melalui kekayaan, tetapi melalui bagaimana ia dimanfaatkan.
Yayasan Salleh Marican telah menyokong masyarakat Melayu Islam melalui program pendidikan, kebajikan dan pembangunan keupayaan, malah telah turut melangkaui sempadan.
Yayasan tersebut juga telah membantu pelbagai organisasi berbeza termasuk TCM Thong Chai, Majlis Khidmat Sosial Kebangsaan (NCSS), Persatuan Disleksia Singapura (DAS) dan turut mengumpul dana bagi rakyat Gaza.
“Berapa banyak harta pun kita ada, kita tetap tidak boleh bawa bersama bila kita tiada. Jadi saya rasa, lebih baik saya tubuhkan sebuah yayasan untuk menolong mereka yang memerlukan,” kata beliau.
Itulah pemikiran yang mendorong Encik Salleh — bukan untuk mengumpul, tetapi untuk memberi.
Acara golf amal itu juga disokong oleh beberapa penaja utama termasuk syarikat Sheng Siong, Bengawan Solo, AGSH Builders dan Maybank.
“
“Kita mengalu-alukan masyarakat, usahawan ataupun masyarakat usahawan Melayu untuk lebih tampil ke hadapan, untuk terus membantu kaum kita sendiri, bak pepatah, ‘berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’. Mungkin kita boleh adakan lebih banyak kegiatan yang murni, yang pelbagai dan yang boleh membawa masyarakat lebih rapat. Dengan sumbangan ini, semoga kita dapat menjadi masyarakat yang bersemangat dan membangunkan masyarakat Melayu.”“
“Berapa banyak harta pun kita ada, kita tetap tidak boleh bawa bersama bila kita tiada. Jadi saya rasa, lebih baik saya tubuhkan sebuah yayasan untuk menolong mereka yang memerlukan.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg