Acara Golf Amal BH-AMP bukan sekadar satu kejohanan sukan, malah mencerminkan hasrat Berita Harian (BH) menjalin hubungan lebih erat dengan masyarakat.
Demikian ditekankan oleh Editor BH, Encik Nazry Mokhtar, semasa sesi jamuan malam selepas acara Golf Amal anjuran BH dan AMP Singapura pada 22 Julai di Orchid Country Club.
Turut hadir semasa acara tersebut termasuk mantan Presiden, Puan Halimah Yacob; Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Zaqy Mohamad; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif SPH, Encik Kuek Yu Chuang; Ketua Editor Kumpulan Media Inggeris/Melayu/Tamil (EMTM) SPH Media, Encik Wong Wei Kong; dan Pengerusi AMP Singapura, Ustaz Fathurrahman Dawoed.
Encik Nazry menjelaskan bahawa pendekatan itu menjadi teras transformasi BH sejak 2023 yang bukan sahaja tertumpu pada pelaporan berita, malah turut melibatkan peranan aktif dalam masyarakat.
“Matlamat kami bukan hanya untuk menyampaikan maklumat, tetapi juga untuk mengambil berat terhadap keperluan masyarakat.
“Kami ingin mencerminkan suara masyarakat dan menyorot isu-isu yang penting bagi mereka,” kata beliau.
Ini termasuk majlis Hari Raya bersama anak yatim daripada Persatuan Dana Amanah Muslimin (MTFA) pada April 2025, di mana BH telah menyumbangkan wang tunai dan hadiah dengan harapan ia menjadi inspirasi kepada lebih ramai untuk berbakti kepada masyarakat.
“Kami berhasrat untuk meneruskan penganjuran acara seumpama ini dan berharap ia menjadi pemangkin kepada lebih banyak pihak untuk menyumbang kepada masyarakat,” tambah beliau.
Usaha tersebut merupakan antara tiga tumpuan baru BH, selain mempertingkatkan mutu kandungan berita dan memperluas capaian menerusi wadah digital.
Ini bakal dijalankan melalui kerjasama dengan agensi nasional, pertubuhan masyarakat dan sektor korporat.
“Usaha ini dilaksanakan melalui kerjasama strategik dengan pelbagai pihak berkepentingan, termasuk agensi kebangsaan, pertubuhan masyarakat dan badan korporat.
“Menerusi transformasi ini, BH dapat memainkan peranan bukan sahaja sebagai saluran berita dan maklumat yang boleh dipercayai malah sebagai wadah yang melambangkan suara masyarakat Melayu/lslam Singapura,” ujar Encik Nazry.
Acara golf amal yang diadakan buat julung-julung kali itu dianjurkan bersama AMP Singapura bersempena sambutan ulang tahun Singapura yang ke-60 (SG60).
Ia berjaya mengumpul lebih $260,000. Dengan jangkaan geran padanan, jumlah sumbangan dijangka mencecah $400,000, yang melepasi sasaran awal sebanyak $300,000.
Dalam pada itu, Encik Nazry turut melahirkan penghargaan kepada Yayasan Salleh Marican dan syarikat pasar raya gergasi, Sheng Siong, yang merupakan dua penderma terbesar dengan sumbangan $60,000 setiap satu.
Penaja platinum, Bengawan Solo, pula menyumbang $20,000, manakala penaja emas seperti AGSH Builders, Karva Travel Group dan Maybank telah menyumbang $10,000 setiap satu.
Empat pemain golf veteran – Encik Zainal Samat, Encik A Rahim Jaafar, Encik Ibrahim Atan dan Encik Mohd Said Abdul Latif – turut diberi pengiktirafan atas sumbangan kerjasama mereka sebagai penganjur acara golf amal itu.
Dana yang dikumpulkan akan disalurkan kepada AMP Singapura dan Persatuan Kanak-Kanak Singapura untuk menyokong program bagi membantu golongan memerlukan, termasuk kanak-kanak, belia dan keluarga kurang bernasib baik.
Sebahagian dana juga akan diperuntukkan bagi pemberian hadiah buku kepada sekurang-kurangnya dua pelajar institusi pengajian tinggi dalam bidang Komunikasi, Media atau Pengajian Melayu.
“Kami amat bersyukur dengan sokongan para penaja dan pemain golf yang telah menyumbang secara murah hati.
“Usaha ini mencerminkan komitmen BH untuk memberi kembali kepada masyarakat, terutama pada waktu yang mencabar,” tambah Encik Nazry.
“
“Kami berhasrat untuk meneruskan penganjuran acara seumpama ini dan berharap ia menjadi pemangkin kepada lebih banyak pihak untuk menyumbang kepada masyarakat.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg