Sebuah banglo dua tingkat yang pernah dimiliki usahawan Melayu, ‘Raja Bedok’, bakal dipulihara bagi melindungi salah satu penanda terakhir Kampung Bedok lama yang masih wujud.

Villa Haji Kahar dinamakan sempena Haji Kahar Abdul Ghani, yang berhijrah dari Palembang, Sumatera, ke Singapura pada 1882 untuk mencari peluang yang lebih baik.

Menurut Yayasan Warisan Melayu (MHF), Haji Kahar, yang ketika itu berusia 20 tahun, bermula sebagai pengutip sampah sebelum membina perniagaan perdagangan barter dan menjadi pengedar tempatan rekod gramofon syarikat, His Master’s Voice (HMV).

Beliau kemudian membeli 30 ekar tanah di Bedok dan membina Villa Haji Kahar di 1 Bedok Avenue pada 1920-an.

Pada 5 Jun, Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) mencadangkan pemuliharaan banglo itu atas kepentingan sejarah dan sosialnya, dengan menyatakan bangunan tersebut menggabungkan unsur tradisional dan gaya luar serta mengingatkan sejarah awal Singapura sebagai masyarakat pelbagai budaya.

Menurut URA, cadangan itu timbul selepas menerima satu permohonan pembangunan.

Banglo itu terletak di atas tapak pegangan bebas 5,963.2 meter persegi milik HR Property Development, yang dimiliki sepenuhnya oleh Hong Realty di bawah Kumpulan Hong Leong.

Selain vila itu, tapak bagi pembangunan rumah bertanah setinggi hingga tiga tingkat itu turut menempatkan beberapa bangunan satu tingkat, termasuk rumah gaya kampung.

Antara penghuni terkenal banglo itu ialah doktor wanita pertama Singapura, Dr Lee Choo Neo, dan suaminya, Encik Teo Koon Lim.

Villa Haji Kahar dimiliki oleh Livet Company, sebuah firma milik keturunan pasangan tersebut.

Pada Oktober 2024, URA menolak permohonan Livet Company untuk merobohkan rumah di tapak itu kerana kajian sedang dijalankan bagi mewartakan Villa Haji Kahar sebagai bangunan pemuliharaan.

Menurut URA, pemuliharaan banglo itu bukan sahaja menghormati Haji Kahar dan Dr Lee, malah melindungi salah satu penanda terakhir Kampung Bedok lama.

Jika dipulihara, sebahagian besar tapak itu masih boleh dibangunkan sebagai projek kediaman strata bertanah.

URA turut menggalakkan penggunaan vila itu sebagai kemudahan masyarakat seperti rumah kelab, selain sebagai kediaman atau dibahagikan dua unit rumah.

Menurut Kumpulan Hong leong, tapak itu dipercayai dijual kepada HR Property Development pada 2025 dan akan dibangunkan semula sebagai perumahan bertanah persendirian premium.

Dr Imran Tajudeen dari Universiti Nasional Singapura (NUS) berkata Villa Haji Kahar ialah contoh rumah jenis compound yang lazim pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20.

Beliau menjelaskan rumah dua tingkat itu mengekalkan ciri Rumah Limas Melayu berlantai tinggi.

Beliau berkata Haji Kahar merupakan antara orang Melayu terkaya di kawasan Bedok pada zamannya dan perjalanannya kerap ke bandar dengan kereta kuda, kemudian kereta Ford, menjadikannya tokoh yang menonjol.

Beliau turut dikenang sebagai guru Al-Quran di Masjid Al-Taqua.

Menurut beliau, pemuliharaan Villa Haji Kahar merupakan langkah penting dalam mengiktiraf kepelbagaian warisan Singapura.

Rumah itu mencerminkan hubungan perdagangan dan keusahawanan Singapura zaman kolonial serta meningkatkan penghargaan terhadap sejarah yang sering terpinggir daripada sejarah utama.