Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

‘Penat kayuh, lambat ke kerja’

Jun 3, 2023 | 5:30 AM
PERCUBAAN BARU: Wartawan ‘intern’ Berita Harian, Danial Fharick, cuba berbasikal dari rumah di Punggol hingga tempat kerja di Toa Payoh selama 1 jam 10 minit.
PERCUBAAN BARU: Wartawan ‘intern’ Berita Harian, Danial Fharick, cuba berbasikal dari rumah di Punggol hingga tempat kerja di Toa Payoh selama 1 jam 10 minit. - Foto ihsan DANIAL FHARICK

MALU berdayung, perahu hanyut.

Itulah peribahasa yang sering diungkapkan apabila menekankan kepentingan usaha demi mencapai kemajuan.

Namun, setelah berkayuh basikal dari rumah saya di Punggol ke pejabat di Toa Payoh, saya telah menyesuaikan peribahasa tadi kepada – penat berkayuh, lambat ke kerja.

Pada Selasa, saya telah menyahut cabaran untuk berkayuh basikal ke pejabat untuk menilai kesesuaian kenderaan tersebut sebagai satu mod ulang-alik.

Sebelum memulakan perjalanan, saya memang yakin bahawa saya boleh lakukannya kerana berapa jauhlah 12 kilometer?

Dengan basikal sewa Anywheel dan bekalan semangat serta kegigihan, saya mulakan perjalanan yang dianggarkan peta Google mengambil sekitar 40 minit.

Saya bertolak dari Punggol pada 9.15 pagi dan menggunakan laluan pejalan kaki melalui Sengkang, Buangkok dan Hougang.

Di Hougang, saya sudah merasakan cabaran pertama saya – kepanasan – yang diterukkan lagi dengan pakaian serba hitam saya.

Kalau boleh, saya tidak ingin berpeluh kerana siapa yang nak mandi di pejabat?

Keadaan semakin memenatkan apabila saya tiba di Serangoon dan sedar bahawa saya sebenarnya sudah lambat ke pejabat.

Menuju ke arah Masjid Al-Istiqamah sekitar 10.20 pagi, saya seolah-seolah diberi semangat untuk beristiqamah dan meneruskan perjalanan atas bukit walaupun peha lenguh kerana sudah lambat.

Semasa berkayuh di sepanjang Yio Chu Kang Road, laluan pejalan kaki di situ berbonggol-bonggol dan saya dapat rasakan tekanan pada basikal sewa yang mungkin tidak sesuai menahan bonggolan tersebut.

Tambah dengan jalan yang sudah sempit, terdapat pula kerja pembaikan yang memaksa saya untuk berkayuh di jalan raya dengan pantauan pekerja-pekerja.

Memang saya rasa ingin henti dan ambil bas ke kerja sahaja kerana sudah penat dan lambat tetapi saya tetap ingin cuba menghabiskan perjalanan itu.

Saya menyambung perjalanan saya melalui Lorong Chuan di mana saya ditemukan pula dengan pejalan kaki yang ditutup dan terpaksa berkayuh di bawah blok.

“Braddell Road”.

Apabila saya tiba di persimpangan itu dan melihat nama jalan itu, saya rasa begitu lega kerana pejabat Berita Harian hanya terletak 15 minit daripada saya.

Namun, persimpangan mempunyai pelbagai arah laluan kenderaan dan pengayuh basikal haruslah peka dan berhati-hati walaupun terdapat lampu isyarat.

Tiba sahaja di luar pejabat pada 11 pagi, saya memulangkan basikal tersebut, mandi dan terus memulakan hari saya.

Mengapa saya kata “penat berkayuh, lambat ke kerja”?

Kalau anda berbasikal seperti saya yang banyak berhenti kerana penat, maka lambatlah ke pejabat seperti saya.

Perjalanan yang pada mulanya dianggarkan 40 minit akhirnya memakan masa sekitar 1 jam 10 minit.

PERBEZAAN ANTARA BERBASIKAL DENGAN PENGANGKUTAN AWAM

Secara umumnya, saya rasa mengayuh basikal ke kerja atau sekolah mungkin bukan untuk semua orang.

Saya akur bahawa berbasikal membawa satu ketenangan yang tidak dapat dirasai semasa menggunakan pengangkutan awam.

Semasa berbasikal, saya dipaksa meletakkan telefon dalam kocek dan secara semula jadi, mengisi fikiran dengan renungan atau penjanaan idea.

Pengalaman ini tidak dapat dirasakan sekiranya saya mengambil MRT yang padat dengan penumpang dan diisi dengan penggunaan telefon.

Saya rasa ruang fikiran seperti ini penting kerana memberi kita waktu rehat daripada kesibukan kerja dan dunia.

Namun, saya memikirkan kembali sama ada saya akan melakukan ini secara harian.

Sebagai seorang wartawan pelatih sambil belajar, saya akan kembali ke universiti pada Ogos akan datang.

Sebagai seorang pelajar, saya menghargai masa ulang-alik dari rumah ke sekolah untuk menghabiskan bacaan, mengulang kaji atau berehat dan saya mungkin tidak akan memilih untuk berbasikal.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa berbasikal membawa kebaikan pada kesihatan dan alam sekitar tetapi pilihan ulang-alik tersebut perlulah dilihat dari segi kesesuaian komitmen seseorang.

Jika kita ingin menggalakkan lebih ramai berbasikal, mungkin perlu ada penambahbaikan terhadap infrastruktur sedia ada agar cabaran-cabaran yang dihadapi pengayuh seperti saya tidak menjadi satu beban.

Yang penting, kita perlu kekal selamat dalam perjalanan kita!

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg