Agensi air negara PUB, sedang mencari mereka yang telah menjalankan usaha bermakna dalam menyelesaikan masalah air di peringkat global, bagi mengenal pasti calon yang layak menjadi penerima Anugerah Air Lee Kuan Yew.
Pencalonan bagi anugerah edisi 2026 itu bermula pada 16 April dan akan ditutup pada 11 Julai.
Ia dibuka kepada individu dan organisasi dari seluruh dunia.
Anugerah Air Lee Kuan Yew, yang diberikan setiap dua tahun, mengiktiraf sumbangan cemerlang individu atau organisasi dalam menangani cabaran air global menerusi pembangunan atau penggunaan teknologi, dasar atau program yang inovatif.
Anugerah itu mengambil nama Perdana Menteri Pengasas Singapura, mendiang Encik Lee Kuan Yew, yang diiktiraf atas visi dan kepimpinannya dalam membantu negara mengatasi cabaran sebagai sebuah bandar yang kekurangan air, demi memastikan bekalan air negara kekal mampan dan berdaya tahan.
Sejak 2008, anugerah itu telah diberikan kepada seramai 10 penerima – daripada seorang sarjana Belanda yang menerajui kaedah pemantauan air sisa untuk membendung penularan Covid-19, hinggalah kepada sebuah agensi air di California yang berjaya melaksanakan program penggunaan semula air.
Sarjana yang menerima anugerah itu pada 2024 ialah ahli mikrobiologi, Profesor Gertjan Medema, yang mula mengumpul sampel air sisa di seluruh Belanda pada awal 2020 untuk menguji jika ia tercemar dengan virus Sars-CoV-2, punca penyakit Covid-19.
Pasukannya berjaya mengesan kewujudan virus itu dalam air sisa dari beberapa bandar, sebelum laporan rasmi mengesahkan perkara tersebut, lapor The Straits Times (ST).
Pencalonan bagi anugerah itu melibatkan dua peringkat dan boleh dihantar melalui pautan, https://go.gov.sg/lkywp2026nomination.
Pada peringkat pertama, pencalon perlu mengemukakan ringkasan mengenai calon.
Pencalonan untuk diri sendiri, serta pencalonan oleh ahli keluarga atau rakan sekerja dalam organisasi yang sama, tidak akan diterima.
Pada peringkat kedua, pencalon perlu mengemukakan pencalonan penuh, termasuk penerangan mengenai inovasi teknologi atau program air calon yang disenarai pendek, surat sokongan dan dokumen lain yang berkaitan.
Jawatankuasa pencalonan anugerah air kemudian akan menilai dengan teliti semua pencalonan yang disenarai pendek dan mengemukakan cadangan mereka kepada Majlis Anugerah Air, yang seterusnya akan membuat keputusan akhir mengenai penerima anugerah yang akan diumumkan pada April 2026.
Penerima anugerah akan mendapat $300,000, sebutir pingat emas dan sijil pada Persidangan Minggu Air Antarabangsa Singapura (SIWW) ke-11 yang akan berlangsung pada Jun 2026.
Anugerah itu disampaikan dengan kerjasama Yayasan Temasek.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg