Pencalonan bagi Anugerah Guru Arif Budiman (Agab) 2025 telah dibuka pada 3 Februari dan akan ditutup pada 4 April.
Pelajar, pendidik, ibu bapa dan orang ramai dijemput untuk mencalonkan guru Bahasa Melayu cemerlang bagi anugerah tersebut, yang mengiktiraf guru mata pelajaran Bahasa Melayu sekolah rendah dan menengah, maktab rendah, dan Institut Millenia yang memberi sumbangan besar dalam pengajaran Bahasa Melayu.
Anugerah itu dianjurkan bersama Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS), Persatuan Guru Bahasa Melayu (PGBM), Berita Harian (BH) dan Jawatankuasa Pembelajaran dan Kenaikan Pangkat Bahasa Melayu (MLLPC).
Dianjurkan sejak 2007, Agab telah mengiktiraf 80 guru Bahasa Melayu.
Calon dinilai berdasarkan kebolehan mereka memupuk minat pelajar terhadap bahasa, kesusasteraan dan budaya Melayu melalui pedagogi inovatif, termasuk penggunaan teknologi pendidikan berkesan untuk menjadikan pembelajaran menarik dan interaktif, sambil membangunkan Kompetensi Abad Ke-21, atau 21CC, untuk persediaan masa hadapan.
Keupayaan mereka menyemai pengetahuan, kemahiran dan minat dalam pembelajaran bahasa, sastera dan budaya Melayu, serta jagaan dan keprihatinan mereka terhadap kesejahteraan pelajar mereka juga akan dinilai.
Sebagai tambahan, mereka dinilai berdasarkan kebolehan mencerminkan nilai murni Arif Budiman – insan berilmu pengetahuan yang berbakti kepada masyarakat – melalui khidmat cemerlang dan menjadi suri teladan sebagai seorang pendidik.
Anugerah itu diberi bagi dua kategori – Perangsang (kurang 10 tahun dalam perkhidmatan perguruan) dan Teladan (10 tahun dan ke atas dalam perkhidmatan perguruan).
Penerima anugerah akan diumumkan pada November depan.
Borang pencalonan Agab boleh dimuat turun daripada www.mbms.sg, www.mllpc.sg dan www.beritaharian.sg.
Pencalonan juga boleh dibuat dalam talian melalui https://go.gov.sg/agab2025.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi jawatankuasa penganjur Agab 2025 di MOE_MLLPC_Secretariat@moe.gov.sg
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg