Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pencapaian 511 pelajar Youth aLIVE 2024 diraikan, pusat aLIVE diiktiraf

Majlis pengijazahan disertai kesemua 36 pusat aLIVE di serata S’pura; kali pertama dianjurkan secara dua sesi berasingan
Nov 26, 2024 | 6:22 PM
Valekdiktorian Youth aLIVE, Muhammad Danish Hanafi (dua dari kiri) bergambar bersama Ketua Pegawai Eksekutif Muis, Encik Kadir Maideen Mohamed (kiri), dan Pengarah Eksekutif Hab Pembelajaran Islam dan Pejabat Pengurusan (Ilham), Ustaz Mohamad Khidir Abdul Rahman (kanan). Turut bergambar bersama Muhammad Danish adalah kedua-dua ibu bapanya, Cik Zubaidah Mohamed dan Encik Hanafi Sarian.
Valekdiktorian Youth aLIVE, Muhammad Danish Hanafi (dua dari kiri) bergambar bersama Ketua Pegawai Eksekutif Muis, Encik Kadir Maideen Mohamed (kiri), dan Pengarah Eksekutif Hab Pembelajaran Islam dan Pejabat Pengurusan (Ilham), Ustaz Mohamad Khidir Abdul Rahman (kanan). Turut bergambar bersama Muhammad Danish adalah kedua-dua ibu bapanya, Cik Zubaidah Mohamed dan Encik Hanafi Sarian. - Foto MUIS

Pencapaian seramai 511 graduan program aLIVE diraikan dalam Majlis Pengijazahan Youth aLIVE tahunan pada 23 November 2024.

Diadakan di Sofitel Singapore City Centre, majlis pengijazahan tahun ini menandakan satu pencapaian penting dengan penyertaan daripada kesemua 36 pusat aLIVE di serata Singapura.

Oleh itu, majlis tersebut dibahagikan kepada dua sesi dan telah memuatkan lebih 1,000 hadirin bagi memberikan penghormatan kepada graduan dari pusat-pusat aLIVE Zon Satu dan Zon Dua.

Sesi pagi meraikan graduan dari pusat-pusat aLIVE Zon Satu – antaranya dari Masjid Al-Ansar, Masjid Darul Ghufran dan Masjid Kassim – manakala sesi petang memberi tumpuan kepada graduan Zon Dua – antaranya dari Masjid Al-Firdaus, Masjid Darussalam dan Masjid An-Nur.

Dianjurkan oleh Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dan Hab Pembelajaran Islam dan Pejabat Pengurusan (Ilham), ia adalah kali pertama majlis tersebut diadakan pada skala sedemikian.

“Format dua sesi ini yang merupakan yang pertama dalam sejarah majlis tersebut memudahkan bukan hanya penyertaan yang lebih ramai, bahkan menekankan impak dan jangkauan program aLIVE yang semakin berkembang dalam masyarakat Muslim di Singapura,” kata Muis dalam satu media kenyataan.

Graduan Youth aLIVE untuk sesi petang berinteraksi bersama Timbalan Ketua Eksekutif Muis, Encik Khairul Anwar Mohamed Abdul Alim (paling kanan). Turut bersama mereka adalah Pengarah Eksekutif Hab Pembelajaran Islam dan Pejabat Pengurusan (Ilham), Ustaz Mohamad Khidir Abdul Rahman (dua dari kanan).
Graduan Youth aLIVE untuk sesi petang berinteraksi bersama Timbalan Ketua Eksekutif Muis, Encik Khairul Anwar Mohamed Abdul Alim (paling kanan). Turut bersama mereka adalah Pengarah Eksekutif Hab Pembelajaran Islam dan Pejabat Pengurusan (Ilham), Ustaz Mohamad Khidir Abdul Rahman (dua dari kanan). - Foto MAJLIS UGAMA ISLAM SINGAPURA (MUIS)

Daripada 511 graduan yang berjaya menamatkan pengajian mereka tahun ini, 22 pelajar menerima Anugerah Pelajar Terbaik manakala dua pelajar diiktiraf sebagai valediktorian.

Pelajar Maktab Rendah Victoria (VJC), Muhammad Danish Hanafi, 18 tahun, diiktiraf sebagai Valediktorian untuk sesi pagi, mewakili graduan Masjid Alkaff Kampung Melayu; manakala pelajar Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Central, Cik Qasrina Aida Abdul Aziz, juga 18 tahun, dipilih sebagai Valediktorian bagi sesi petang mewakili graduan Masjid Maarof.

Ketua Pegawai Eksekutif Muis, Encik Kadir Maideen Mohamed, hadir sebagai tetamu terhormat pada sesi pagi, manakala sesi petang diserikan kehadiran Encik Khairul Anwar Mohamed Abdul Alim, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Muis.

Semasa berucap di majlis sesi pagi itu, Encik Kadir memuji pelajar yang cemerlang bukan hanya dalam bidang akademik, malah berperanan dalam memberi impak positif dalam masyarakat.

“Ramai di antara anda yang cemerlang bukan sahaja dalam pengajian, bahkan telah tampil sebagai pemimpin dan penyumbang aktif di masjid serta dalam masyarakat anda.

“Sebahagian daripada anda juga telah menjadi sukarelawan dalam acara dan melibatkan diri dalam khidmat masyarakat. Ada yang meneruskan pengajian dalam pendidikan Islam manakala sebahagian lagi berkhidmat sebagai imam, bilal dan sukarelawan, mewujudkan satu kitaran pembelajaran dan menyumbang semula kepada masyarakat.

“Anda sudah pun menjadi suri teladan, menjadi contoh untuk generasi akan datang dan menghayati nilai-nilai aLIVE (seperti) asas rohani, tanggungjawab sosial dan komitmen terhadap pembelajaran sepanjang hayat,” ujar Encik Kadir.

Majlis tersebut juga menampilkan pemberian Anugerah Kecemerlangan Pusat aLIVE dalam mengiktiraf pusat-pusat yang telah mencapai kejayaan luar biasa dalam aspek seperti Penglibatan Guru, Pembangunan Pelajar, Persekitaran Pembelajaran yang Kondusif dan Kerjasama Pihak Berkepentingan.

Pusat aLIVE @ Masjid Al-Muttaqin telah meraih dua anugerah iaitu Persekitaran Pembelajaran yang Kondusif Terbaik dan Kerjasama Pihak Berkepentingan Terbaik.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg