Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19

Pencari nafkah tunggal kuat, tabah besarkan 10 anak

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

AMP SINGAPURA

Pencari nafkah tunggal kuat, tabah besarkan 10 anak

Mar 29, 2024 | 05:30 AM



Menjaga 10 anak bukanlah suatu tugas enteng bagi wanita, lebih-lebih lagi apabila suaminya hilang keupayaan bekerja dan beliau tidak memiliki pendapatan yang tetap.

Walau bagaimanapun, sejak Cik Maria (bukan nama sebenar) bergelar pencari nafkah tunggal, beliau menanamkan azam yang kuat kerana beliau perlu bekerja untuk mencari rezeki demi membesarkan kesemua anak-anak dan menjaga keperluan suami.

Suaminya, Encik Razak (bukan nama sebenar), telah disahkan menghidap penyakit jantung iskemik (distal ischaemic) pada 2014. Disebabkan keadaan kesihatannya itu, secara perubatannya, beliau diisytiharkan tidak berkemampuan bekerja. Justeru, Cik Maria dilantik sebagai penjaga suaminya sepenuh masa.


Tanpa mengharapkan bantuan orang lain, peluang berniaga di kantin sekolah pada 2024 sedikit sebanyak meniup semangat Cik Maria, 47 tahun, agar meneruskan hidup dan menampung perbelanjaan harian keluarga.

“Kalau dahulu, suami dapat bekerja untuk membayar komitmen keluarga. Kini, keadaan suami tidak mengizinkan. Jadi, bukan mudah menguruskan anak-anak seorang diri sekarang, apatah lagi pada saat mereka masih bersekolah. Tetapi, saya perlu hadapi cabaran ini sebaik mungkin dan kuat untuk besarkan 10 anak sehingga mereka berjaya.

“Saya juga mencari kerja sesuai supaya boleh bekerja sambil menjaga suami. Waktu bekerja di kantin pula lebih pendek. Jadi, saya bawa beliau bersama-sama ke tempat kerja dan suami juga ada tolong kerja-kerja ringan di sana. Sekurang-kurangnya, saya dapat memantau keadaan suami kerana beliau dekat dengan saya,” terang Cik Maria.

Sebelum ini, keluarga tersebut tinggal di flat sewa dua bilik yang agak sempit, sebelum mendapat peluang berpindah ke flat sewa tiga bilik, atas saranan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).

Berkat kesabaran Cik Maria juga, kesemua anaknya sudah pun bersekolah sepenuh masa. “Anak pertama saya, sedang menunggu kemasukan ke program Diploma di Institut Pendidikan Teknikal (ITE).

“Anak kedua pula sedang melanjutkan pendidikan di politeknik dan anak ketiga baru sahaja menamatkan pembelajaran di ITE, serta menunggu kemasukan ke politeknik April ini.

“Selain itu, empat yang lain masih berada di ITE. Selebihnya, dua sedang mengikuti pengajian di sekolah menengah dan yang bongsu masih lagi belajar di sekolah rendah,” cerita Cik Maria tentang perkembangan anak-anaknya.

Mula menjadi penerima Skim Keluarga Angkat dan Belia (AFYS) pada tahun ini, keluarga Cik Maria memperoleh bantuan kewangan daripada pertubuhan AMP Singapura untuk menbayar tunggakan bil utiliti, di samping membenarkan Cik Maria memberi perhatian kepada anak-anak tanpa rasa bimbang.

Namun, Cik Maria menyatakan, ada kalanya wang keluarga mereka tidak mencukupi untuk membeli barangan dapur. Tetapi, kerisauan Cik Maria reda sedikit, apabila beliau meraih manfaat daripada Baucar Barangan Dapur sebanyak dua bulan sekali.

Dengan bantuan tersebut, Cik Maria berupaya membelanjakan baucar yang diterima untuk keperluan keluarga serta mendapatkan barang makanan bagi mengendalikan kantin sekolah.

“Setiap bantuan yang dihulurkan amat bernilai,” katanya yang dibantu oleh AMP menerusi baucar barangan dapur bernilai $100.

Selain itu, AMP juga membantu anak-anak beliau dengan menyediakan pas konsesi EZ-Link bagi membiayai tambang pengangkutan ke sekolah, sekali gus meringankan beban keluarga mereka.

Sehingga hari ini, Cik Maria berusaha keras untuk mengubah keadaan keluarga, seperti mendapatkan tapak gerai di kantin sekolah sebagai sumber pendapatan terkini. Beliau juga menunjukkan daya tahan yang kuat di sebalik cabaran dan isu kesihatan yang dihadapi oleh suaminya.

Di sebalik kegigihan Cik Maria, beliau mempunyai impian mahu melihat anak-anaknya mempunyai akses dan peluang pendidikan yang baik agar mereka mampu mempunyai masa depan cerah serta keluar daripada kitaran kemiskinan.

SKIM KELUARGA ANGKAT DAN BELIA (AFYS)

AMP memperkenalkan Skim Keluarga Angkat dan Belia (AFYS) pada 1999 untuk membantu keluarga kurang bernasib baik supaya berdikari. Di bawah skim itu, keluarga menerima bantuan dan pengurusan kewangan, pemerkasaan ekonomi, program sosio-pendidikan dan pendidikan ibu bapa serta bengkel kemahiran hidup keluarga.

Kanak-kanak yang bersekolah di bawah AFYS didaftarkan ke dalam program tuisyen dan pengayaan untuk meningkatkan perkembangan akademik mereka. Program pendidikan ibu bapa dan bengkel kemahiran hidup keluarga juga dijalankan untuk ibu bapa di bawah AFYS bagi melengkapkan mereka dengan pengetahuan dan kemahiran untuk meningkatkan mutu kehidupan keluarga mereka.

HULUR SUMBANGAN

Jika anda berminat mahu menghulurkan sumbangan bagi membantu golongan yang memerlukan menerusi AMP, lungsuri laman ampdonate.sg.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >