Hasrat mencari abang kandung yang terpisah selama 42 tahun masih belum berhasil walaupun usaha dilakukan bagi pencarian itu.
Adik kandungnya, Encik Ariffin Tan Mohd Nor, 57 tahun, menghubungi Berita Harian (BH) untuk berkongsi pencarian yang belum membuahkan hasil.
Abang kandungnya, Encik Asri Mohd Nor (dijangkakan berusia sekitar 60 tahun jika masih hidup), telah diberikan kepada saudara sebelah ibunya, Cik Rogayah Shaikh Mohamed Bawthan, semasa beliau masih bayi lagi.
Menurut Encik Ariffin, Encik Asri merupakan anak yang kelapan dalam keluarga 12 beradik.
Bapa mereka, Encik Mohd Nor, merupakan bangsa Cina yang telah memeluk Islam.
“Pada masa itu, ibu saya tidak setuju untuk memberinya kepada keluarga lain, tetapi setelah dipujuk oleh ayah saya, beliau akhirnya setuju kerana mengasihani keluarga yang belum dikurniakan cahaya mata dan hampir berpisah itu,” kata Encik Ariffin.
Namun begitu, adik beradik itu dapat bertemu hampir setiap minggu kerana tinggal berhampiran dan mereka juga menghadiri sekolah rendah yang sama.
Mengenang kisah silamnya, Encik Ariffin berkata:
“Kami terpisah sewaktu usia abang saya sekitar 15 tahun, sementara saya waktu itu dalam lingkungan usia 11 tahun.
“Beliau menetap di Sims Drive dan kami tinggal di Blok 11 Upper Boon Keng Road waktu itu.
“Hampir setiap minggu (kami) dapat berjumpa kerana (beliau) dibawa oleh datuk yang menjaganya, yang hanya dikenali sebagai Pak Wa, dan kami telah ke sekolah yang sama.
“Setahu saya, bapa angkatnya diberi gelaran ‘Amat’ atau ‘Mat kapal’.
“Tetapi keluarga kami membuat keputusan berpindah ke Melaka pada tahun itu (1982) dan dari situ, hubungan kami terputus.
“Kami pulang semula ke Singapura selepas tiga tahun, tetapi malangnya, tidak dapat berjumpa dengan abang saya sejak itu…”
Ibu bapa mereka telah pun meninggal dunia, tetapi sempat berpesan kepada anak-anak supaya mencari Encik Asri, agar dapat diterangkan situasi sebenar kenapa beliau diberikan kepada keluarga lain untuk dijaga.
“Mereka kata carilah agar Asri tahu perkara yang sebenar kenapa beliau diberi kepada keluarga lain.
“Bukan sebab kita susah dan tidak mampu, tapi untuk selamatkan perkahwinan sepasang suami isteri yang hampir hendak berpisah,” ulas Encik Ariffin, yang telah berusaha mencari abangnya melalui media sosial.
Keluarga besar yang terdiri daripada 12 beradik, termasuk empat anak perempuan dan lapan anak lelaki.
Tiga daripada mereka telah diserahkan kepada keluarga lain, namun hanya Encik Asri yang masih belum ditemui.
“Saya berharap sangat dengan perkongsian ini, orang ramai dapat bantu saya cari abang saya. Adik-beradik lain pun nak jumpa,” kata Encik Ariffin dengan penuh harapan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg