Seorang ‘pelawat’ bertukar bertindak ganas lalu mengeluarkan pisau selepas memasuki Sekolah Menengah Bukit Batok pada 22 Oktober.

Kejadian tersebut mencetuskan sekatan keselamatan di sekolah itu, memaksa pelajar dan kakitangan bergegas ke tempat selamat.

Pintu bilik darjah dikunci dan pelajar serta kakitangan bersembunyi sedang sekolah itu melaksanakan prosedur tindak balas kecemasannya.

‘Penceroboh bersenjata’ itu sebahagian daripada latihan kecemasan melibatkan sekitar 1,100 pelajar dan 160 kakitangan sekolah, yang bertujuan mempersiapkan mereka menghadapi kemungkinan ancaman keselamatan.

Menteri Pendidikan, Encik Desmond Lee, yang memerhati latihan tersebut berkata beliau gembira melihat pelajar dan guru saling menjaga satu sama lain.

“Walaupun kita berharap keadaan sebegini tidak akan berlaku, latihan yang kerap membantu membina keyakinan, daya tahan dan kesiapsiagaan jika berlaku krisis,” katanya dalam hantaran Facebook pada 23 Oktober.

Semasa latihan itu, sekolah menghantar amaran melalui saluran komunikasi dalamannya dan melaksanakan sekatan keselamatan. 

Pelajar dan kakitangan mengikut protokol ‘Lari, Sembunyi, Beritahu’ yang mengajar mereka untuk lari ke tempat selamat jika boleh, bersembunyi jika tidak dapat melarikan diri, dan memaklumkan pihak berkuasa.

Latihan sedemikian antara latihan yang kerap diadakan di sekolah agar bersedia menghadapi kecemasan, seperti kebakaran, ugutan bom dan pelawat yang bertindak ganas. 

Kementerian Pendidikan (MOE) berkata pada 23 Oktober bahawa semua sekolah rendah dan menengah, maktab rendah, Institut Millennia (MI) serta sekolah pendidikan khas mengadakan sekitar tiga latihan kecemasan setiap tahun.

Latihan itu dirancang bersama Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dan Pasukan Polis Singapura (SPF) supaya ia mirip keadaan sebenar dan membantu pihak sekolah memperbaiki prosedur mereka.

Menurut MOE, ia turut menyemak senario dari semasa ke semasa untuk mempersiapkan pihak sekolah dalam menghadapi ancaman baharu dan yang sentiasa berubah.

Di Sekolah Menengah Bukit Batok, pelajar Menengah 3, Delicia Myrtle Deselva, 15 tahun, antara yang pertama menyedari kehadiran ‘penyerang’ itu.

Dia melihat lelaki itu di koridor bilik darjah ketika dalam perjalanan kembali ke kelas.

Pengetua Sekolah Menengah Bukit Batok, Cik Shirley Lee (tengah), bersama pelajar Menengah 3, Delicia Myrtle Deselva (kiri), dan Jayden Chan. Delicia berkata pengalaman itu membuatnya lebih yakin tentang apakah yang perlu dilakukan dalam kecemasan sebenar.
Pengetua Sekolah Menengah Bukit Batok, Cik Shirley Lee (tengah), bersama pelajar Menengah 3, Delicia Myrtle Deselva (kiri), dan Jayden Chan. Delicia berkata pengalaman itu membuatnya lebih yakin tentang apakah yang perlu dilakukan dalam kecemasan sebenar. - Foto ZAOBAO

Apabila menyedari lelaki itu memegang pisau, dia bergegas ke bilik darjahnya dan memberitahu gurunya.

Pelajar kemudian mengunci pintu dan bersembunyi.

Delicia berkata pengalaman itu membuatnya lebih yakin tentang apakah yang perlu dilakukan dalam kecemasan sebenar.

“Saya belajar banyak daripada pengalaman ini, termasuk bagaimana saya boleh memberi arahan kepada orang lain tentang apakah yang perlu dilakukan dan tindakan yang perlu diambil,” katanya.

Pengetua, Cik Shirley Lee, berkata latihan sebegini membantu pelajar berasa lebih bersedia jika berlaku ancaman keselamatan yang sebenar.

Dengan ancaman keselamatan semakin rumit, sekolah menyiapkan pelajar dalam menghadapi pelbagai keadaan, tambahnya.

MOE berkata selepas setiap latihan, pemimpin sekolah dan guru akan menyemak latihan itu bersama pelajar dan kakitangan supaya mereka lebih jelas tentang apakah yang perlu dilakukan semasa kecemasan. 

Kementerian itu turut bekerjasama dengan sekolah dan institusi pengajian tinggi (IHL) untuk mengadakan bengkel dan perbincangan bagi kakitangan tentang cara bertindak terhadap kemungkinan ancaman di dalam dan sekitar kampus mereka.

Usaha ini juga sebahagian daripada gerakan SGSecure yang lebih luas, yang menggalakkan rakyat Singapura agar sentiasa berwaspada, mengetahui apakah yang perlu dilakukan dalam kecemasan dan saling menjaga satu sama lain.