Program Penyokong SGSecure (SAP) yang pertama kali diuji di Institusi Pengajian Tinggi (IHL) pada 2024 akan diperluaskan kepada sekolah-sekolah dan masyarakat umum sebagai sebahagian daripada fasa gerakan nasional SGSecure yang selanjutnya.

SAP bertujuan untuk membina rangkaian anggota yang menyampaikan mesej berkait dengan SGSecure – antara lain termasuk mengenal pasti ancaman dan cara melindungi diri sendiri serta orang lain – kepada individu dalam lingkungan mereka.

Ini kerana meskipun rakyat Singapura secara umum melaporkan tahap kesedaran dan kewaspadaan tinggi terhadap ancaman, sikap sambil lewa dalam kalangan orang ramai dan radikalisasi terhadap golongan muda kian membimbangkan, kata Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dalam satu kenyataan pada 23 September.

Kenyataan itu dikeluarkan sempena acara meraikan ulang tahun ke-10 SGSecure di Our Tampines Hub pada 23 September, yang dihadiri Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.

MHA menukil dapatan hasil tinjauan Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) yang dijalankan pada Mei hingga Julai 2025 terhadap 2,011 individu warga Singapura dan Penduduk Tetap (PR) berusia 15 tahun dan ke atas.

Ia mendapati hampir 7 daripada 10 responden bersetuju mereka secara umumnya peka dengan sebarang tingkah laku atau objek mencurigakan semasa berada di tempat awam.

Namun berdasarkan ujian sosial yang dijalankan MHA pada Jun 2025 melibatkan objek mencurigakan yang ditempatkan di tempat awam, hanya 17.3 peratus daripada 2,530 orang awam yang lalu-lalang menyedari kewujudan objek itu.

Daripada peratusan ini, sekitar 5.9 peratus sahaja yang mengambil langkah atau ingin memaklumkan pihak berkuasa.

Justeru, MHA berkata bagi mempertingkatkan usaha agar lebih ramai golongan masyarakat dapat dijangkau secara lebih berkesan, ia akan menyemak semula kandungan nasihat yang dikeluarkan bagi memastikan ia menangani ancaman yang sentiasa berubah – khususnya isu radikalisme dalam kalangan belia.

Usaha ini termasuk menguji penggunaan chatbot yang dipacu kecerdasan buatan (AI) bagi anggota SAP.

MHA berkata: “Direka sebagai sofwe pengetahuan mudah diakses pada peranti mudah alih, chatbot ini akan membolehkan para anggota SAP mengakses sumber dan panduan SGSecure dengan mudah, serta membina dan menguji pengetahuan mereka sendiri demi menyokong usaha advokasi mereka dengan lebih baik.”

Kementerian itu menambah bahawa pada 2027, ia akan memperbaharui naratif dan mesej SGSecure melalui kempen pemasaran dan komunikasi bersepadu yang baharu.

Ini di samping langkah menjangkau audiens menerusi lebih banyak wadah dan kerjasama strategik.

Malah, sebuah buku cerita baru bagi peringkat prasekolah akan turut dilancarkan secara bersama oleh Pejabat Program SGSecure dan Pasukan Polis Singapura (SPF) pada Oktober bagi menunjukkan kepada kanak-kanak bagaimana untuk menghadapi krisis atau bahaya, sesuai dengan usia mereka, tambah MHA.