Pendaftaran bagi warga Singapura yang pulang ke tanah air dan ingin belajar di sekolah di sini disambung selepas platform untuk mereka memohon ujian kemasukan menghadapi isu teknikal pada 9 Julai.
Dalam satu kemas kini di Portal Calon Lembaga Peperiksaan dan Penilaian Singapura (Seab) pada 10 Julai, lembaga itu berkata permohonan bagi warga dan Penduduk Tetap (PR) Singapura yang pulang ke sini untuk mendaftar bagi ujian kelayakan bagi tempat dalam kelas Menengah 1 hingga 3 akan bermula pada 10 pagi pada 10 Julai dan berakhir pada 1 petang pada 23 Julai.
Ia menambah bahawa Program Kemasukan bagi Pelajar Antarabangsa (AEIS) tidak dibuka pada 10 Julai.
Mesej di Portal Calon Seab berkata: “Pasukan kami bekerja keras untuk menyambung pendaftaran AEIS. Sila tunggu dengan sabar untuk maklumat terkini kami.”
Pada 9 Julai, Kementerian Pendidikan (MOE) berkata dalam notis pemberitahuan di laman webnya bahawa pemohon antarabangsa, serta warga dan PR Singapura yang pulang, yang mendaftar untuk ujian melayakkan diri bagi kelas Menengah 1 hingga 3 di Portal Calon Seab, menghadapi “beberapa isu teknikal”.
MOE tidak menjelaskan secara terperinci apakah isu-isu itu.
Mesej di Portal Calon Seab berkata: “Sila yakin bahawa semua tempat masih tersedia untuk pendaftaran. Kami akan mengemas kini statusnya pada 9 pagi, 10 Julai. Sila berehat untuk hari ini.”
Pelajar antarabangsa, warga dan PR Singapura boleh mendaftar untuk ujian melayakkan diri ke Menengah 1 hingga 3 pada 2025 melalui platform tersebut.
Pelajar antarabangsa juga boleh memohon untuk menduduki ujian bagi mendapatkan tempat dalam kelas Darjah 2 hingga 5.
Permohonan dijadualkan bermula pada 9 pagi pada 9 Julai, dan berakhir pada tengah hari pada 22 Julai. Tarikh akhir untuk pelajar antarabangsa boleh dianjak jika semua tempat dalam ujian AEIS diisi.
Menurut satu jawapan Parlimen pada 2023, sepanjang lima tahun kebelakangan ini, pelajar asing membentuk kira-kira 5 peratus daripada pendaftaran di sekolah menengah dan maktab rendah Singapura.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg