Kira-kira 6,500 rakyat Singapura yang tinggal di luar negara menerima e-mel yang salah daripada Jabatan Pilihan Raya (ELD) pada 24 Mei.
E-mel itu memaklumkan bahawa mereka berjaya mendaftar untuk mengundi dari luar negara, menurut laporan The Straits Times.
E-mel yang dilihat oleh akhbar itu menyatakan bahawa permohonan penerima “untuk mendaftar sebagai pendaftar luar negara” telah diluluskan.
Ia dihantar kepada individu yang sebelum ini memohon untuk menjadi pendaftar luar negara kerana masalah pengaturcaraan, kata jurucakap ELD pada 26 Mei sebagai menjawab pertanyaan ST.
“Tiada data yang terjejas dan semua warga Singapura di luar negara ini dimaklumkan pada hari yang sama untuk tidak menghiraukan e-mel itu,” kata jurucakap itu, sambil menambah bahawa kesilapan itu telah diperbetulkan.
Warga negara Singapura yang menetap di luar negara boleh memohon untuk mendaftar sebagai pendaftar luar negara sepanjang tahun.
ELD berkata pada 20 Mei bahawa daftar pengundi Singapura sedang dikemas kini dan akan dibuka untuk pemeriksaan awam pada bulan Jun.
Perdana Menteri Encik Lawrence Wong telah mengarahkan supaya Daftar Pengundi, yang akan mengandungi nama semua warga Singapura yang layak menjadi pengundi pada 1 Jun, disemak sebelum 31 Julai.
Latihan itu dilakukan menjelang pilihan raya umum yang mesti diadakan pada November 2025.
Masalah sebelum ini berkaitan proses pengundian termasuk insiden pada 2020, di mana 101 warga Singapura di luar negara tidak dapat mengundi dalam pilihan raya umum akibat gangguan dalam sistem Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan.
Pada 2023, penduduk di lebih 4,800 isi rumah di Tanjong Pagar menerima dua kad undian menjelang pilihan raya presiden kerana kesilapan pencetak yang dilantik.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg