Seorang warga Bangladesh sedang disiasat pihak berkuasa Singapura kerana memberi ceramah tanpa permit kepada sekumpulan pekerja asing Bangladesh di sebuah dormitori, pada 9 Ogos.
Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) berkata pada 21 Ogos pihaknya juga mendapati bahawa pendakwah itu, Hamza Md Amir @ Amir Hamza masuk ke Singapura dengan menggunakan pasport di bawah nama yang berlainan, pada hari yang sama.
Sekiranya didapati melanggar undang-undang Singapura atau menimbulkan kebimbangan keselamatan, tindakan tegas terhadap Amir Hamza dan mereka yang terlibat seperti pihak penganjur akan diambil, kata MHA.
Tindakan yang boleh diambil termasuk dihantar balik, didakwa atau ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), kata MHA.
MHA berkata ceramah Amir Hamza menyebarkan ekstremisme dan ajaran bahaya yang memecah belahkan, serta menjejas keharmonian masyarakat Singapura.
Menurut MHA, Amir Hamza menarik perhatian keselamatan di Bangladesh di atas dakwaan ajaran ekstremisme dan kaitannya dengan pengganasan.
“Dia dilaporkan mempromosi sikap tidak toleransi, kebencian dan pengganasan agama dalam ceramahnya.
“Dia juga didakwa sebagai seorang berpengaruh dalam kumpulan Ansar al-Islam (AAI), sebuah pertubuhan pengganas pro Al-Qaeda yang beroperasi di Bangladesh,” kata MHA.
Pada 2021, Amir Hamza dilaporkan diberkas oleh pemerintah Bangladesh bagi dakwaan kaitannya dengan pengganas, kegiatan berkaitan pengganasan dan mengapi-apikan sikap militan.
Ceramahnya yang menghasut didakwa mempengaruhi seorang suspek pengganas Bangladesh yang dikaitkan dengan AAI, yang merancang untuk menyerang Parlimen Bangladesh.
Dia dilaporkan dibebaskan dengan ikat jamin pada Disember 2023 sementara menanti perbicaraan.
“Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) sedar akan Amir Hamza dan latar belakangnya.
“Namun dia gunakan pasport yang mempunyai nama berbeza daripada pangkalan data kami untuk memasuki Singapura, dan kami tidak mempunyai biometriknya semasa dia masuk ke Singapura pada 9 Ogos.
“Dia meninggalkan Singapura pada 10 Ogos. Pada 12 Ogos pihak berkuasa menerima laporan polis bahawa dia telah memberi ceramah kepada sekumpulan pekerja asing Bangladesh di Singapura pada 9 Ogos,” menurut kenyataan MHA itu lagi.
Ceramah itu disampaikan di dormitori Lantana Lodge di Tech Park Crescent dekat Tuas.
Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, yang ditemui media di bangunan MHA pada 21 Ogos berkata:
“Apa yang membimbangkan kami adalah dia membuat banyak kenyataan ekstremisme, dan memecah belahkan.
“Ceramahnya seperti yang kita lihat pada masa lalu, mengkritik nilai-nilai sekular, promosikan sikap tidak toleransi beragama, merendahkan mereka yang bukan Muslim.”
Ditanya bagaimana Amir Hamza memasuki Singapura, Encik Shanmugam berkata pendakwah itu menggunakan nama yang berbeza sedikit daripada yang terdapat dalam pangkalan data kami.
“Dari semua penampilan, ia kelihatan seperti pasportnya dikeluarkan secara sah. Dan kami tidak mempunyai biometriknya pada masa itu,” tambah Encik Shanmugam.
“Orang ramai mesti berasa dialu-alukan ke Singapura namun pada masa yang sama, Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) mempunyai tugas mengawal individu seperti Amir Hamza daripada memasuki Singapura.
“Kita perlu memastikan bahawa kita dapat mengimbangi keperluan keselamatan dengan keperluan ekonomi,” kata Encik Shanmugam.
Menurut MHA, Amir Hamza mahupun penganjur tidak memohon kelulusan yang diperlukan untuk berceramah di Singapura.
MHA berkata penganjur acara itu, dan orang lain yang terlibat, juga sedang disiasat.
“
Apa yang membimbangkan kami adalah dia membuat banyak kenyataan ekstremisme, dan memecah belahkan. Ceramahnya seperti yang kita lihat pada masa lalu, mengkritik nilai-nilai sekular, mempromosikan sikap tidak toleransi beragama, merendahkan mereka yang bukan Muslim.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg