Pendekatan berbeza diperlukan untuk sokong pekerja berpenyakit kronik
Pendekatan berbeza diperlukan untuk sokong pekerja berpenyakit kronik
Individu dengan penyakit kronik merupakan kumpulan yang pelbagai, justeru memerlukan pendekatan yang berbeza untuk disokong, kata Setiausaha Parlimen Kanan (Tenaga Manusia merangkap Kewangan), Encik Shawn Huang.
Beliau menyatakan demikian di Parlimen pada 24 Februari, menjawab soalan Anggota Parlimen Dilantik (NMP), Profesor Terence Ho.
Profesor Ho ingin tahu sama ada Kementerian Tenaga Manusia (MOM) akan menimbangkan untuk melanjutkan subsidi gaji atau bentuk sokongan lain bagi menggalakkan majikan mengambil mereka bekerja.
Dalam jawapannya, Encik Huang berkata, bagi mereka yang memerlukan masa untuk rawatan, seperti pesakit dialisis buah pinggang, mereka boleh memohon jadual kerja fleksibel bagi menyesuaikan diri dengan rejim rawatan.
Ini kerana, garis panduan rakan kongsi tiga pihak – yang terdiri daripada pemerintah, kesatuan dan majikan – menyokong permohonan Pengaturan Kerja Fleksibel (FWA), katanya.
“Ada juga yang mungkin memerlukan pelarasan di tempat kerja atau pengubahsuaian tugas bagi mengurangkan tekanan fizikal dan beban kerja, yang perlu ditentukan oleh majikan berdasarkan pertimbangan setiap kes.
“Manakala, mereka yang mengambil ubat imunosupresif untuk jangka panjang, berkemungkinan perlukan kefahaman serta sokongan majikan untuk menyediakan persekitaran kerja yang kurang sesak serta kelengkapan perlindungan diri,” ujar beliau.
Encik Huang menambah, rakan tiga pihak turut menyediakan pelbagai sumber bagi membantu majikan melaksanakan aturan ini.
Antaranya, bengkel anjuran Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura (Snef) yang membimbing majikan mengenai pelaksanaan FWA.
Sementara itu, Encik Huang turut menegaskan bahawa pemerintah mengiktiraf kepentingan menyokong semua pekerja, termasuk mereka yang memiliki penyakit kronik, agar terus kekal dalam pekerjaan.
“Selain sokongan bagi FWA, individu juga boleh memanfaatkan rangkaian sokongan pekerjaan yang lebih luas, termasuk khidmat pemadanan kerja dan nasihat kerjaya yang disediakan oleh Agensi Tenaga Kerja Singapura (WSG) dan Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i) Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC).
“Agensi-agensi ini bekerjasama rapat dengan pencari kerja untuk memahami keadaan mereka dan memadankan mereka dengan jawatan yang sesuai serta mengambil kira keperluan mereka,” katanya.

