USTAZ MUHAMMAD FAKHRUR RADZI MOHD NOOR
Acara ‘LearnIslam Day 2024’ bertema, ‘Pendidikan untuk Generasi’ yang berlangsung di Begonia Pavilion, Downtown East, berjaya menyatukan individu daripada pelbagai peringkat umur meraikan keindahan pembelajaran Islam dan penglibatan masyarakat. Acara tersebut berlangsung pada 17 Ogos.
Sempena acara tersebut, Timbalan Ketua Eksekutif, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Encik Khairul Anwar Mohamed Abdul Alim, turut menggalakkan orang ramai mendaftar bagi pelbagai kelas yang disediakan secara fizikal dan dalam talian, termasuk kelas pembelajaran kendiri percuma, ADIL Self-Paced Learning (SPL).
Encik Khairul Anwar turut berkongsi bahawa keluarga yang memerlukan boleh mendapatkan bantuan untuk anak-anak mereka menghadiri kelas aLIVE menerusi Dana Pendidikan Islam (IEF), yang bakal dipertingkatkan.
Beliau berkongsi tentang dua daya usaha itu semasa acara penyampaian hadiah Pertandingan Al-Quran aLIVE (AQC).
AQC menyaksikan peserta kanak-kanak dan remaja mempamerkan kebolehan menyampaikan kisah daripada Al-Quran, menghafal serta menjawab soalan kuiz berkenaan Al-Quran.
Selain itu, dua Seminar Pembelajaran Islam Dewasa, atau ADIL Knowledge Retreat (AKR), turut membincangkan cabaran dan peluang dalam membimbing pembelajaran Islam kanak-kanak dalam era digital, serta proses memperbaharui iman dalam menghadapi cabaran kehidupan moden.
Acara ini diserikan dengan kehadiran Naib Kadi and Presiden Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas), Ustaz Muhammad Tarmizi Abdul Wahid; selebriti terkenal dari Malaysia, Lisa Surihani; pempengaruh Sujimy Mohd; serta anggota wadah digital seperti Non-Judgemental Podcast (NJU) terdiri daripada Ustaz Nuzhan Abdul Halim, Dyn Norahim dan Dzar ismail.
Ustazah Syariati Sulaiman, serta pelakon dan pengacara tanah air, Shenty Feliziana; turut berkongsi strategi untuk memupuk ikatan keluarga Muslim yang kukuh, membangunkan literasi digital, dan mengekalkan keyakinan agama dalam menghadapi cabaran hidup.
Pengunjung acara LearnIslam Day turut berpeluang mendapatkan bertih jagung secara percuma, membeli-belah di gerai yang menawarkan pelbagai barangan menarik dan melibatkan anak-anak mereka dalam sesi bercerita, mengenali huruf, mewarna lukisan serta banyak lagi yang turut diadakan oleh Tadika di Masjid atau Mosque-Based Kindergarten (MBK) dan syarikat Safaa Safiyyah.
Ibu bapa dan individu yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang kelas aLIVE dan ADIL boleh mengunjungi laman learnislam.sg.
Bagi yang berminat menyertai kelas ADIL SPL secara percuma, kunjungi laman learnislam.sg/adilspl.
Manfaatkan peluang mengenali, mendalami dan mengukuhkan pengetahuan agama bersama LearnIslam.Sg.
Penulis merupakan Pengurus di Unit Pendidikan Belia dan Masyarakat di Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg