Pelajar madrasah di pusat aLIVE daripada keluarga berpendapatan rendah boleh menerima geran sokongan kewangan sehingga $600 setiap tahun mulai tahun akademik 2025, naik daripada $520 yang diberikan sebelum ini di bawah Dana Pendidikan Islam (IEF).
Mengumumkan demikian, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) menyatakan jumlah $600 itu termasuk subsidi yuran madrasah sehingga $480 dan $120 untuk bayaran lain-lain.
Di samping itu, rebat sokongan keluarga – diberikan kepada keluarga yang menghadapi cabaran kewangan demi memastikan anak-anak tidak terlepas peluang mendapatkan pendidikan Islam – juga akan dinaikkan daripada sehingga $70 kepada sehingga $360 untuk setiap pelajar dalam keluarga, setiap tahun.
Ini supaya lebih banyak keluarga layak mendapatkan sokongan rebat itu.
Jumlah $360 itu termasuk subsidi yuran madrasah sehingga $240 dan $120 untuk bayaran lain bagi setiap pelajar.
Muis berkata kriteria dan jumlah bantuan kewangan yang diberikan di bawah IEF itu telah disemak sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk menjadikan pendidikan Islam secara sambilan mudah disertai lebih ramai anak muda Islam di Singapura.
Dengan semakan itu, sekitar 4,700 pelajar dianggarkan akan meraih manfaat daripada $2.7 juta yang akan diagihkan pada 2025.
“Jumlah pengagihan ini adalah kenaikan 50 peratus daripada tahun sebelumnya dan merupakan jumlah terbesar yang akan diagihkan sejauh ini.
“Perubahan ini akan berkuat kuasa bagi pelajar yang memohon menyertai kelas aLIVE bagi tahun akademik 2025 dan seterusnya,” kata Muis.
Untuk layak mendapatkan geran sokongan kewangan, pendapatan per kapita (PCI) keluarga tidak boleh melebihi $750. Ini lebih tinggi berbanding kriteria PCI tidak melebihi $500 sekarang.
Bagi mendapatkan rebat sokongan keluarga pula, PCI keluarga tidak boleh melebihi $1,000 – naik daripada $750 pada masa ini.
Sejak diperkenalkan pada 2004 untuk memastikan kelas pendidikan Islam di kelas-kelas aLIVE boleh dimampui semua, IEF telah mengagihkan lebih $13.9 juta kepada 46,930 benefisiari yang berusia antara lima dengan 20 tahun, kata Muis.
IEF merangkumi dua komponen – geran sokongan kewangan dan rebat sokongan keluarga – untuk membantu keluarga membiayai bayaran kelas aLIVE di masjid-masjid melalui subsidi untuk yuran kelas, bayaran lain dan juga bahan pembelajaran.
Timbalan Ketua Eksekutif Muis, Encik Khairul Anwar Mohamed Abdul Alim, berkata Muis percaya akan kepentingan pendidikan Islam dalam pembangunan anak-anak muda Islam.
“Pada masa yang sama, kami berusaha memastikan pendidikan Islam kekal dimampui semua.
“Kriteria dan kelayakan IEF telah disemak untuk meningkatkan kapasiti menyediakan lebih banyak bantuan kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah yang menghadiri kelas aLIVE,” kata beliau.
Pendaftaran bagi kelas aLIVE untuk tahun akademik 2025 boleh dilakukan melalui laman https://learnislam.sg mulai 15 Oktober.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg