Sebanyak 12 sekolah rendah di kawasan kejiranan dengan kadar perumahan awam yang jauh lebih rendah akan memperkenalkan satu skim baharu bagi pemohon kemasukan Darjah 1 dalam Fasa 2C, umum Menteri Pendidikan, Encik Desmond Lee.

Dinamakan Skim Dua Laluan, 60 tempat yang diperuntukkan bagi Fasa 2C di 12 sekolah ini akan dibahagikan sama rata antara pemohon yang tinggal dalam lingkungan 2 kilometer (km) dari sekolah dengan mereka yang tinggal melebihi 2km dari sekolah berkenaan, tambahnya.

Perubahan itu akan berkuat kuasa mulai tempoh pendaftaran Darjah 1 bagi 2027.

Berkongsi kepada pihak media mengenai perubahan pada rangka kerja pendaftaran Darjah 1 di Bangunan Parlimen pada 10 September, Encik Lee menjelaskan:

“Di sesetengah kawasan kejiranan, terdapat jauh lebih sedikit perumahan awam disebabkan oleh sifat kawasan tersebut.

“Oleh kerana keutamaan ketika ini berdasarkan jarak rumah ke sekolah, sekadar menambah tempat Fasa 2C bagi sekolah di kawasan kejiranan ini mungkin tidak meluaskan akses dengan ketara kepada kanak-kanak daripada latar belakang sosioekonomi yang berbeza.”

Antara 12 sekolah yang disenaraikan itu termasuk Sekolah St. Margaret’s (Rendah), yang terletak di Sophia Road; Sekolah Rendah Nanyang di King’s Road; dan Sekolah Rendah Tanjong Katong di Seraya Road.

Di bawah Skim Dua Laluan itu, 30 daripada 60 tempat Fasa 2C akan diperuntukkan kepada pemohon yang tinggal dalam lingkungan 2km dari sekolah.

Manakala baki 30 tempat lagi bagi mereka yang tinggal lebih daripada 2 km.

Selain itu, pemohon tidak akan diberi keutamaan berdasarkan jarak rumah ke sekolah dalam setiap laluan.

Menurut Encik Lee, warga Singapura akan diberikan keutamaan bagi kedua-dua laluan berkenaan.

“Jika jumlah pemohon bagi salah satu laluan kurang daripada jumlah tempat yang diperuntukkan, tempat yang berbaki akan disalurkan kepada laluan yang satu lagi,” ujar beliau.

Menyentuh tentang senarai tersebut, Encik Lee berkata Kementerian Pendidikan (MOE) akan menyemak senarai sekolah itu secara berkala berdasarkan perubahan pada profil perumahan di kawasan sekitar sekolah, serta pengalaman pelaksanaan skim tersebut.

“Bagi 12 sekolah ini, Skim Dua Laluan akan meluaskan akses sambil mengekalkan bahagian tempat yang bermakna bagi keluarga yang tinggal berdekatan,” kongsi beliau.

“Namun, sama ada sekolah ini akan menyaksikan kepelbagaian yang lebih tinggi juga bergantung kepada faktor lain, termasuk keutamaan dan pilihan ibu bapa,” tambahnya.

Menurut MOE, skim itu akan diperkenalkan di sekolah yang mempunyai kurang daripada 40 peratus unit kediaman perumahan awam dalam lingkungan 2km dari sekolah.

Sebanyak 12 sekolah itu kini memenuhi kriteria tersebut, berdasarkan profil perumahan di kawasan sekitar sekolah berkenaan yang terletak di kawasan seperti Bukit Timah, Newton dan Marine Parade.

Misalnya, Sekolah Anglo-Chinese (Rendah) yang kini termasuk dalam senarai 12 sekolah berkenaan, dijadual berpindah ke estet Tengah pada 2030.

Ini bermakna perubahan profil perumahan di sekitar sekolah itu boleh menyebabkan kedudukannya di bawah Skim Dua Laluan dinilai semula apabila senarai tersebut disemak.

Bagi Pengetua Sekolah Rendah Nanyang, Cik Wong Li Peng, Skim Dua Laluan memberi peluang kepada sekolah itu untuk meluaskan profil muridnya secara teratur, sambil memastikan keluarga yang tinggal di kawasan berdekatan sekolah itu terus mempunyai peluang mendapatkan tempat.

“Ia mengenal pasti bahawa keluarga menghadapi keadaan yang berbeza dalam pendaftaran Darjah 1 – ada yang tinggal lebih dekat dengan sekolah dan ada yang lebih jauh.

“Skim Dua Laluan di bawah Fasa 2C ini memperuntukkan tempat bagi kedua-dua kumpulan ini, dan dalam jangka panjang, berpotensi membantu mewujudkan masyarakat sekolah yang lebih pelbagai,” ujar beliau.