Sebahagian besar daripada keseluruhan 180 sekolah rendah di Singapura tidak perlu menjalankan pengundian dalam mana-mana fasa semasa proses pendaftaran Darjah 1 pada 2024, kata Kementerian Pendidikan (MOE), pada 14 Mei.
Kebanyakan sekolah mempunyai bilangan tempat yang mencukupi untuk menampung semua pemohon yang akan memulakan sesi persekolahan pada 2025.
Proses pendaftaran bagi kanak-kanak yang akan memasuki Darjah 1 pada 2026 akan bermula dari 1 Julai hingga 31 Oktober 2025, tambah MOE.
Maklumat mengenai senarai sekolah dan jumlah tempat kosong boleh diperolehi mulai 24 Jun pada pautan, https://www.moe.gov.sg/primary/p1-registration/vacancies-and-balloting.
Buat kali pertama, MOE turut mengeluarkan data pengundian bagi proses pendaftaran Darjah 1 pada 2024, lapor The Straits Times (ST).
Sebagai contoh, 78.9 peratus daripada kesemua sekolah rendah tidak perlu menjalankan pengundian dalam Fasa 2A.
Ia merupakan fasa kedua dalam proses pendaftaran, yang diperuntukkan untuk kanak-kanak yang ibu bapa atau adik-beradiknya merupakan bekas pelajar sekolah tersebut, atau ibu bapa mereka merupakan kakitangan sekolah itu, atau ahli jawatankuasa penasihat atau pengurusan sekolah.
Pelajar daripada Tadika MOE (MK) yang terletak dalam kawasan sekolah rendah tersebut juga boleh memohon dalam fasa ini.
Fasa pertama, iaitu Fasa 1, adalah untuk kanak-kanak yang mempunyai adik-beradik yang sedang bersekolah di sekolah rendah berkenaan. Tiada pengundian diperlukan pada peringkat ini.
Sebanyak 83.3 peratus sekolah tidak perlu menjalankan pengundian bagi Fasa 2B, iaitu fasa ketiga dalam proses pendaftaran.
Fasa ini adalah untuk kanak-kanak yang ibu bapanya mempunyai pertalian lain dengan sekolah tersebut, seperti menjadi sukarelawan atau mendapat sokongan daripada gereja atau pertubuhan yang mempunyai kaitan langsung dengan sekolah berkenaan.
Bagi Fasa 2C, sebanyak 51.1 peratus sekolah tidak menjalankan pengundian. Fasa ini lazimnya mempunyai persaingan paling sengit antara lima fasa tersebut, dan diperuntukkan kepada pemohon yang masih belum berjaya mendaftar tempat di mana-mana sekolah rendah selepas tiga fasa pertama.
Semua sekolah rendah diwajib memperuntukkan sekurang-kurangnya 20 tempat untuk Fasa 2B dan 40 tempat untuk Fasa 2C.
MOE turut menyediakan data ini bersama tarikh dan maklumat pendaftaran bagi kanak-kanak yang akan memasuki Darjah 1 pada 2026.
“Ibu bapa boleh melihat senarai sekolah dalam jarak 2 kilometer dari kediaman mereka dan menyemak sama ada sekolah itu telah menerima permohonan lebih tinggi daripada tempat yang disediakan, dalam fasa tertentu semasa proses pendaftaran tahun lalu (2024).
“Kami menggalakkan ibu bapa supaya mempertimbangkan pelbagai pilihan sekolah dan meneliti bagaimana program serta tawaran unik setiap sekolah dapat memenuhi keperluan pembelajaran, minat dan kekuatan anak mereka,” jelas MOE.
MOE turut menasihatkan agar ibu bapa mempertimbangkan jarak sekolah yang ingin dipilih dari rumah mereka, bagi mengurangkan masa perjalanan anak mereka.
Dr Jason Tan, seorang profesor madya di Institut Pendidikan Nasional (NIE), memberitahu ST bahawa walaupun data pengundian ini mungkin dapat meyakinkan sesetengah ibu bapa bahawa terdapat tempat yang mencukupi di sekolah rendah untuk anak-anak mereka, ia tetap bergantung kepada sikap ibu bapa itu sendiri terhadap pemilihan sekolah.
“Jika seseorang benar-benar berhasrat untuk mendapatkan tempat di sekolah tertentu, maka kebimbangan mengenai tahap persaingan untuk memasuki sekolah tersebut masih wujud,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg