Wacana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kemajuan S’pura dalam wujudkan sistem pendidikan inklusif

Sokongan bagi pelajar keperluan khas diperkukuh agar mereka jadi lebih berdikari, sumbang secara bermakna kepada tenaga kerja
Feb 11, 2025 | 5:30 AM
Persekitaran sekolah yang lebih inklusif dan memenuhi keperluan pelajar dengan keperluan pendidikan khas boleh membentuk individu yang mampu berdikari.
Persekitaran sekolah yang lebih inklusif dan memenuhi keperluan pelajar dengan keperluan pendidikan khas boleh membentuk individu yang mampu berdikari. - Foto FACEBOOK DR MALIKI OSMAN

Visi Singapura sebagai sebuah negara yang inklusif – dengan setiap individu dihargai dan diberikan peluang sama untuk menyumbang kepada masyarakat – merupakan antara matlamat utama yang ingin dicapai pemerintah dalam masa terdekat.

Dalam usaha merealisasikan visi ini, Kementerian Pendidikan (MOE) telah membuat kemajuan luar biasa dalam mewujudkan sistem pendidikan inklusif.

Ini selain memperkukuh sokongan bagi pelajar dengan Keperluan Pendidikan Khas (SEN) dengan menyediakan persekitaran pembelajaran yang menggalakkan mereka mengembangkan serta menyerlahkan potensi secara menyeluruh.

Namun, pada masa yang sama, bantuan yang diperlukan pelajar berkeperluan khas tidak seharusnya terhad di peringkat sekolah, tetapi juga penting untuk mempersiapkan mereka untuk berdikari dan juga mendapatkan pekerjaan, menurut Menteri di Pejabat Perdana Menteri, yang juga Menteri Kedua (Ehwal Luar merangkap Pendidikan), Dr Mohamad Maliki Osman.

“Keprihatinan utama ibu bapa kepada anak yang mempunyai keperluan khas dalam pendidikan adalah: Apakah yang mungkin terjadi kepada mereka jika kita sudah tiada?

“Mereka tak mahu anak mereka bergantung kepada orang lain atau tiada sesiapa yang menjaga anak itu.

“Maka harapan mereka adalah supaya anak itu sekurang-kurangnya boleh hidup berdikari, boleh bergerak sendiri, tahu naik pengangkutan awam dan boleh dapatkan pekerjaan, walaupun di Sheltered Workshop, supaya mereka boleh dipantau,” kata Dr Maliki dalam satu temu ramah dengan Berita Harian (BH) baru-baru ini.

Sheltered Workshop ialah tempat yang menyediakan latihan pekerjaan dan program pembangunan diri kepada golongan dewasa yang mempunyai keperluan khas, membantu mereka dari segi integrasi dalam masyarakat dengan lebih baik.

Wujud persekitaran pembelajaran inklusif

Dalam memastikan individu SEN dapat menerima bantuan lebih menyeluruh, memupuk nilai inklusif perlu bermula di sekolah terlebih dahulu.

Kerjasama dengan pelbagai agensi seperti SG Enable juga memainkan peranan penting dalam menyediakan peluang penempatan kerja dan sokongan pekerjaan kepada golongan ini, kata Dr Maliki.

Buat masa ini, sekitar 80 peratus daripada semua pelajar yang mempunyai keperluan pendidikan khas menghadiri sekolah biasa yang memberi mereka akses kepada kurikulum nasional dan sekitaran pembelajaran yang lebih menyeluruh.

Sementara itu, 20 peratus pelajar lain dengan keperluan khas yang lebih kompleks menjalani pendidikan di institusi pendidikan khas (Sped).

Bagi memastikan pelajar keperluan khas mendapat bantuan yang lebih tersasar, program Sokongan TRANsisi untuk Penyepaduan (Transit) akan diadakan di semua sekolah rendah menjelang 2026.

Program tersebut bertujuan membantu pelajar Darjah 1 yang menghadapi masalah sosial dan tingkah laku untuk membimbing mereka membina sikap berdikari serta mempelajari kemahiran asas menguruskan diri.

Setakat ini, ia telah dilancarkan di 139 sekolah dengan 43 sekolah lain akan menawarkan program tersebut menjelang 2026.

Semua sekolah rendah juga akan dilengkapkan dengan sekurang-kurangnya dua pegawai SEN yang dilatih untuk memberi sokongan pembelajaran dan tingkah laku.

“Kami mahu membantu pelajar lain memahami rakan-rakan mereka yang mempunyai SEN.

“Maka, kami membina sokongan rakan sebaya buat pelajar SEN. Kami juga mempunyai pegawai SEN di sekolah untuk membantu pelajar, guru dan ibu bapa membantu masing-masing menyesuaikan diri atau keadaan di sekolah.

“Sokongan pelajar SEN ini turut ditawarkan sehingga peringkat Institut Pendidikan Teknikal (ITE), politeknik dan universiti,” kata Dr Maliki.

Namun, bagi memastikan pelajar menerima sokongan yang diperlukan, tenaga kerja yang mahir amat diperlukan.

Justeru, MOE memperkenalkan lebih banyak program pembangunan profesional untuk mengukuhkan kepakaran guru Sped dan membina kepakaran untuk menyokong profil kurang upaya yang berlainan.

Dr Maliki menambah, bagi membantu dalam mengatasi cabaran tenaga kerja yang mahir untuk mendidik pelajar SEN atau di Sped, teknologi turut memainkan peranan utama di sekolah.

Sebagai contoh, pelajar disleksia yang mengalami kesukaran membaca kini boleh menggunakan alat teknologi seperti pena khas yang membolehkan mereka mendengar bahan bacaan.

Perkukuh sokongan kesihatan mental

Dalam usaha membangun Singapura yang lebih inklusif, tumpuan terhadap kesihatan mental warganya juga menjadi keutamaan.

“Lebih ramai anak muda melahirkan keprihatinan mereka mengenai kesihatan dan kesejahteraan mental.

“Kami sedar bahawa ada pelbagai sumber tekanan yang menjejas kesihatan mental mereka tetapi faktor utama sering berpunca daripada hubungan dengan ibu bapa, rakan sebaya dan juga media sosial,” ujar Dr Maliki.

Salah satu cabaran besar yang dihadapi generasi muda adalah fenomena cancel culture, yang menimbulkan tekanan ketara terhadap kesihatan mental anak muda.

Fenomena ini merujuk kepada tindakan memulau individu yang dianggap melakukan ‘kesilapan’ – sama ada dari segi tindakan, percakapan atau cara – yang tidak boleh diterima, terutama sekali di media sosial.

Dr Maliki menambah: “Ada satu tempoh, dengan cancel culture menjadi punca utama tekanan golongan muda.

“Maka, antara usaha MOE menangani masalah kesihatan mental pelajar adalah dengan membina daya tahan setiap pelajar menerusi kegiatan seperti aktiviti kokurikulum dan bekerjasama rapat dengan ibu bapa.”

Dalam usaha menangani cabaran kesihatan mental di sekolah, sistem pendidikan Singapura menyediakan pelbagai sokongan kepada pelajar yang menghadapi masalah sedemikian

Ini termasuk menawarkan khidmat kaunselor profesional di samping memilih pemimpin pelajar atau Peer Support Leaders untuk memainkan peranan lebih aktif dalam memberi sokongan kepada pelajar lain yang mungkin memaparkan tingkah laku membimbangkan.

Golongan ini biasanya akan dibimbing kaunselor sekolah.

Pelajar juga digalakkan membina hubungan baik dengan guru mereka.

Namun, yang lebih penting adalah kerjasama ibu bapa bersama para guru, tambah Dr Maliki.

“Kami bekerjasama dengan pelbagai agensi perkhidmatan sosial untuk menganjurkan bengkel keibubapaan untuk mempertingkatkan pengetahuan ibu bapa tentang keibubapaan.

“Para guru tidak boleh memantau pelajar sepanjang masa dan ibu bapa perlu sama-sama memikul tanggungjawab menjaga kesejahteraan anak mereka,” kata Dr Maliki.

Keprihatinan utama bagi kanak-kanak keperluan khas

Keprihatinan utama ibu bapa kepada anak yang mempunyai keperluan khas dalam pendidikan adalah: Apakah yang mungkin terjadi kepada mereka jika kita sudah tiada? Mereka tak mahu anak mereka bergantung kepada orang lain atau tiada sesiapa yang menjaga anak itu.  Maka harapan mereka adalah supaya anak itu sekurang-kurangnya boleh hidup berdikari, boleh bergerak sendiri, tahu naik pengangkutan awam dan boleh dapatkan pekerjaan, walaupun di Sheltered Workshop, supaya mereka boleh dipantau.” 
Menteri di Pejabat Perdana Menteri, yang juga Menteri Kedua (Ehwal Luar merangkap Pendidikan), Dr Mohamad Maliki Osman.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg