Walaupun kehidupan di Singapura terkenal dengan kemajmukannya dengan wujudnya pelbagai bangsa dan agama yang hidup bersama, masyarakat kita belum dapat disifatkan sebagai ‘multikulturalis’.

Setelah melibatkan diri dalam pelbagai dialog antara agama dan intra-agama, Profesor Syed Farid Alatas Syed Hussein Alatas menyedari masih terdapat jurang dalam masyarakat di Singapura bagi mempelajari dan mendalami tradisi bangsa dan agama yang berbeza.

“Menjadi masyarakat yang ‘multikultural’ bermakna masyarakat kita terdiri daripada pelbagai budaya, etnik dan agama.

“Kita hidup bersama dan setakat mempunyai sikap toleransi antara satu sama lain. Itu sahaja.

“Tetapi menjadi ‘multikulturalis’ ini maksudnya setiap budaya, setiap masyarakat dan setiap kaum mempunyai lebih daripada sikap toleransi terhadap pihak lain.

“Dia mempunyai ilmu tentang budaya atau agama yang lain,” jelas beliau.

Dalam mempelajari dan mendalami ilmu daripada tradisi lain, Profesor Syed Farid menerangkan bahawa penting bagi kita untuk mencedok kebaikan dan nilai yang boleh diterima walaupun daripada budaya dan agama lain.

“Apabila kita mempelajari budaya dan agama lain, kita boleh melihat unsur-unsur universal dari budaya dan agama lain.

“Pada masa sama, kita dapat mengesan persamaan antara budaya atau agama yang berbeza itu,” tambah beliau.

Menurut Profesor Syed Farid, berdasarkan pemerhatiannya, masyarakat di Singapura mahupun Malaysia masih belum mencapai masyarakat yang ‘multikulturalis’. Ia merupakan jurang yang masih belum diisi.

“Masyarakat kita masih belum mengatasi masalah ini. Saya rasa satu sebab adalah kerana sikap kita sendiri, sikap intelektual kita, sikap ahli politik, sikap agamawan kita yang tidak begitu mendalami agama lain,” ujar beliau.

Dengan jurang ini, ia membawa kepada prasangka dan salah tanggapan terhadap sesama masyarakat berlainan bangsa atau agama.

Justeru, ia menjadi faktor yang kian mengukuhkan lagi gejala politik identiti dan kebencian antara kaum atau agama seperti Islamofobia.

Sewaktu majlis penghormatan buat Profesor Syed Farid Alatas anjuran anjuran Kumpulan Alumni Pengajian Melayu NUS dan Dialogue Centre di di Taman Warisan Melayu (MHC) pada 15 Mei, beliau menegaskan bahawa ideologi ‘sektarianisme’ juga perlu turut diatasi dengan ilmu mandiri. Sektarianisme merujuk kepada sikap keagamaan yang tidak membenarkan kita melihat kebenaran atau kebaikan dalam agama yang lain ataupun fahaman berbeza dalam agama sendiri.
Sewaktu majlis penghormatan buat Profesor Syed Farid Alatas anjuran anjuran Kumpulan Alumni Pengajian Melayu NUS dan Dialogue Centre di di Taman Warisan Melayu (MHC) pada 15 Mei, beliau menegaskan bahawa ideologi ‘sektarianisme’ juga perlu turut diatasi dengan ilmu mandiri. Sektarianisme merujuk kepada sikap keagamaan yang tidak membenarkan kita melihat kebenaran atau kebaikan dalam agama yang lain ataupun fahaman berbeza dalam agama sendiri. - Foto BH oleh ADAM MIFZAL FAIZAL

Selain itu, keterbukaan ini juga ditegaskan Profesor Syed Farid perlu untuk mendalami jalur fahaman yang berbeza dalam masyarakat Melayu/Islam.

Beliau, yang terkenal dengan wacananya mengenai Iran dan hak Syiah di rantau Asia Tenggara, menjelaskan ketidakfahaman tentang jalur fahaman yang berbeza dalam masyarakat Melayu/Islam sendiri akan membawa kepada kebencian sesama manusia.

Menyifatkan fenomena ini sebagai ‘sektarianisme’, beliau berkongsi:

“Sektarianisme adalah sikap keagamaan yang tidak membenarkan kita melihat kebenaran atau kebaikan dalam agama yang lain.

“Ia berlaku atau wujud bukan hanya antara agama berbeza, malah dalam satu agama seperti Islam. Maka, timbullah gejala seperti anti-Sunni dan anti-Syiah.

“Dalam tradisi Islam sejak awal sejarah Islam, terdapat pelbagai aliran Syiah terutama sekali Syiah Ithna Ashariyah (12 imam).

“Golongan Syiah yang terbesar ini dianggap sebagai sebahagian daripada Islam. Mereka menunaikan haji dan berkongsi kepercayaan dengan Ahlus Sunnah Wal Jamaah”.

Tatkala menghuraikan dorongannya dalam memacu wacana tentang masyarakat Syiah, beliau berkongsi terdapat banyak salah tanggapan dan kepalsuan fakta tentang Syiah yang telah disebarkan.

“Golongan Syiah telah disalah faham. Malah, ada kepalsuan yang telah disebarkan untuk menanam kebencian terhadap mereka.

“Antara kepalsuan yang disebarkan ialah mereka mempunyai Al-Quran sendiri yang berbeza. Namun, sampai sekarang Quran itu masih belum ditemui.

“Saya pernah ke Iran beberapa kali dan sampai sekarang masih belum ditemui Al-Quran yang dimaksudkan itu,” kongsi beliau.

Baru-baru ini, Profesor Syed Farid Alatas telah menamatkan perkhidmatan beliau di Universiti Nasional Singapura (NUS). Beliau telah berkhidmat di universiti tersebut selama 34 tahun.

Beliau akan kembali ke Kuala Lumpur, Malaysia, dan berkhidmat sebagai pensyarah di Universiti Malaya (UM).

Pada masa sama, beliau akan menyambung usaha intelektualnya termasuk menulis untuk penerbitan dan mempergiatkan lingkungan bacaan khususnya dalam tradisi ‘ilmu mandiri’.