Sejak berkhidmat di Universiti Nasional Singapura (NUS) sekitar 34 tahun lalu sehinggalah pada akhir perkhidmatannya di Jabatan Pengajian Melayu, Profesor Syed Farid Alatas Syed Hussein Alatas melihat mahasiswa baru masih dibelenggu dengan salah tanggapan bahawa “masyarakat Melayu itu malas”.

Beliau turut memerhati bahawa ada pelajar Melayu hari ini masih berpaut pada pemikiran yang lahir daripada persepsi Barat semata.

Pemikiran sebegini berpucuk daripada cara penjajah Barat melihat masyarakat pribumi dengan anasir pemalsuan sejarah dan telah menyebabkan minda masyarakat menjadi ‘minda tertawan’.

‘Minda tertawan’ merupakan konsep yang telah dipelopori oleh ayah Profesor Syed Farid, iaitu Allahyarham Profesor Syed Hussein Alatas.

Ia merujuk kepada keadaan minda yang tidak bersifat kritikal dan sekadar meniru pemikiran atau idea daripada sumber luar.

Fenomena inilah yang ingin ditangkis oleh gagasan ‘ilmu mandiri’, yang menyeru agar ilmu kemasyarakatan itu tidak berpaksikan Barat semata.

‘Ilmu mandiri’ (berdiri sendiri) juga mengajak kepada penghasilan ilmu yang tidak bergantung kepada hegemoni atau dominasi orientasi ilmu seperti tradisionalisme dan sektarianisme yang berakar daripada dalam tradisi ilmu sendiri.

Berbicara tentang jenis pemikiran yang bermasalah dan ingin diatasi ‘ilmu mandiri’, Profesor Syed Farid, 65 tahun, menjelaskan:

“Pemikiran itu mempunyai tiga ciri. Pertama, ia memutarbelitkan sejarah.

“Kedua, ia membawa universalisme palsu dan ketiga, penyenyapan atau pembungkaman suara realiti.”

Dalam mencerahkan hal ini, beliau telah memetik contoh tentang bagaimana Thomas Stamford Raffles dilihat sebagai pembawa tamadun dan pembangunan di dunia Melayu.

Menurut Profesor Syed Farid, itu merupakan universalisme palsu kerana hakikatnya mereka membawa ‘kapitalisme kolonial’ yang mengeksploitasikan dan merugikan masyarakat tempatan ketika penjajahan.

Sekolah pemikiran ‘ilmu mandiri’ mempunyai perjalanan panjang sejak ia mula dipacu sewaktu penubuhan Jabatan Pengajian Melayu di Universiti Singapura (kini NUS) pada 1967.

Malah, ia telah membangun sebagai tradisi ilmu dan idea tunjang di jabatan tersebut.

Bertitik daripada itu, wacana yang berputar soal penyahjajahan ilmu itu kian giat dibincangkan hingga hari ini sebagai satu gagasan penting yang wajar dicermati.

“Masalah kebergantungan akademik dan penjajahan ilmu telah muncul mungkin sejak tahun 1950-an.

“Justeru, kesedaran zaman sekarang jauh lebih tinggi dibandingkan 50 atau 60 tahun yang lalu,” jelas bapa tiga anak itu.

Namun, hari ini, dalam pada ‘ilmu mandiri’ ingin terus diperjuangkan demi melahirkan gagasan dan teori yang baru lagi asli, ia terpaksa menempuh satu cabaran lain.

Arus neoliberalisme menjadi faktor yang menggugat ruang lingkup universiti dan ruang keintelektualan daripada terus berkembang dengan budaya ilmu.

Neoliberalisme dalam akademia merujuk kepada penerapan prinsip pasaran bebas, persaingan dan produktiviti korporat dalam institusi pendidikan tinggi.

Fenomena ini telah mengubah universiti menjadi sebagai ‘kilang’ yang menghasilkan graduan di mana ilmu diukur daripada nilai ekonomi dan kebolehpasarannya.

Justeru, neoliberalisme dalam universiti ini lebih mementingkan pencapaian kuantitatif, penunjuk prestasi utama (KPI) dan kebolehpasaran pengajian sebagai pengukur kejayaan pembelajaran dan pengajaran.

Maka, ini telah membantutkan budaya intelektual dan gagasan besar daripada mendapat tempat dalam universiti untuk terus diwacanakan.

Profesor Syed Farid, yang mengetuai Jabatan Pengajian Melayu di NUS antara 2007 dengan 2013, berkongsi:

“Dalam kebanyakan universiti di seluruh dunia memang ada beberapa tujuan pendidikan yang saling bertentangan.

“Antaranya, universiti perlu menyediakan mahasiswa yang sedia untuk bekerja selepas mereka lulus daripada universiti yang boleh dapat pekerjaan di pasaran.

“Itu memang satu keperluan tapi pada masa yang sama, adalah penting untuk mereka mencari ilmu demi ilmu agar menjadi individu yang dapat berfikir tentang masalah masyarakat walaupun mungkin tidak ada sumbangan langsung kepada perkembangan ekonomi.

“Saya rasa hal itu telah berterusan di Jabatan Pengajian Melayu walaupun ada tekanan soal pasaran dan neoliberalisme yang menegaskan KPI dan sebagainya.”

Dengan penekanan sebegini, ia telah menyempitkan ruang wacana dan pertumbuhan pemikiran yang penting untuk pembangunan masyarakat.

“Di satu sisi ada masalah dalam kesedaran penjajahan ilmu. Di satu sisi lain, neoliberalisme yang menghalang pertumbuhan dan penghasilan ilmu.

“Pada pandangan saya, masalah ini berputar soal pentadbiran universiti yang lebih mementingkan kuantiti seperti kuantiti penerbitan.

“Mereka tidak begitu peduli kepada pengisiannya. Mereka tidak peduli sama ada kita menentang eurosentrisme atau memelihara eurosentrisme. Yang penting bagi mereka adalah kuantiti,” jelas beliau.

Lantaran itu, pengembangan budaya intelektual itu menjadi kian terbantut.

Walaupun demikian, berkat tradisi ‘ilmu mandiri’ yang telah mendasari Jabatan Pengajian Melayu selama hampir 60 tahun, ia telah memperlihatkan kecelikan mahasiswa Pengajian Melayu yang cakna lagi peduli akan keluh-kesah masyarakat.

Daripada ilmu yang telah dipelajari dan dihadam, tumbuh semacam semangat dan keterpanggilan dalam kalangan mahasiswa untuk mengkaji isu sosial yang berakar umbi dalam masyarakat.

“Saya dapati dalam beberapa dekad ini, mahasiswa pengajian Melayu memilih satu tajuk kajian atas sebab ia merupakan sesuatu yang penting untuk diri mereka dan masyarakat.

“Jadi berlakunya satu proses penghasilan ilmu daripada rasa atau sikap keterpanggilan itu untuk berdepan dan menyelesaikan masalah masyarakat,” ujar beliau.

Demi menyuburkan terus budaya intelektual ini, Profesor Syed Farid menegaskan bahawa golongan mahasiswa atau anak muda secara umum harus sentiasa mempunyai ‘rasa malu’ kerana tidak mendalami dan terpisah daripada tradisi intelektual sendiri.

“Ia menjadi satu masalah nilai sekiranya kita tidak rasa malu bila kita lebih mengetahui Shakespeare, berbanding Jalaluddin Rumi, Hamzah Fansuri ataupun Nuruddin Ar-Raniri,” ujar beliau.

Pada masa sama, anak muda dan pelajar Melayu juga harus menjadikan diri mereka agar dapat diilham.

Bagi Profesor Syed Farid, jika kita tidak mengizinkan diri kita daripada diilham, ia bermakna kita tidak akan mengambil perhatian tentang dunia gagasan dan dunia intelektual yang begitu luasnya.

Dengan membuka diri untuk diilham, ia akan meningkatkan rasa ingin tahu dalam diri dan mencetuskan keinginan untuk membaca dengan lebih mendalam.

“Kita harus menjadikan diri dan jiwa kita itu agar dapat diilham supaya sikap ingin tahu itu membara.

“Dengan sikap ingin tahu itu, ia secara tidak langsung akan mendorong kita untuk membaca dan memperoleh ilmu pengetahuan,” tambah beliau.