Kementerian Pendidikan (MOE) memutuskan untuk berlandaskan perubahan terhadap sistem pendaftaran Darjah 1 dengan perkadaran perumahan awam kerana ia lebih mudah untuk dilaksanakan, kata Menteri Pendidikan, Encik Desmond Lee.

Beliau berkata ia memberikan tahap kepastian lebih tinggi untuk ibu bapa, memandangkan pecahan atau demografi perumahan tidak berubah secara kerap.

Encik Lee menambah bahawa perubahan pada pendaftaran Darjah 1 ini akan dilaksanakan mulai 2027 sepertimana diumumkan MOE pada September, tanpa sebarang tempoh peralihan atau penangguhan.

Ini meskipun dua Anggota Parlimen (AP) membangkitkan kebimbangan keluarga yang menggesa agar lebih banyak masa diberikan untuk membuat sebarang penyesuaian yang diperlukan.

Berucap di Parlimen pada 7 Oktober, Encik Lee berkata:

“Berkenaan waktu pelaksanaan (perubahan ini), kami sedar bahawa terdapat keluarga yang telah membuat aturan tempat tinggal berdasarkan rangka kerja sedia ada.

“Namun, lebih banyak keluarga akan dapat meraih manfaat sekiranya perubahan ini dilaksanakan lebih awal.

“Malah, ada yang bertanya sebab kami tidak melakukan perubahan ini lebih awal bagi pendaftaran Darjah 1 pada 2026.”

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada soalan yang diajukan oleh Cik Gho Sze Kee (Mountbatten) dan Cik Tin Pei Ling (GRC Marine Parade-Braddell Heights) untuk mempertimbangkan tempoh peralihan.

Cik Gho meminta tempoh peralihan selama lebih kurang tiga tahun manakala Cik Tin meminta perubahan ini ditangguhkan selama setahun agar keluarga dapat membuat keputusan dan peraturan yang sesuai.

Kebimbangan yang diketengahkan berlatarbelakangkan perubahan terhadap pendaftaran Darjah 1.

Antara perubahan ini melibatkan pengurangan pada bilangan pendaftaran murid Darjah 1 di kebanyakan sekolah rendah secara berperingkat, bermula dengan proses pendaftaran 2026.

Ini selain penambahan pada peruntukan di bawah Fasa 2C, yang naik daripada 40 kepada 60 tempat.

Ini dikecualikan bagi sekolah yang mengambil kurang daripada 180 murid Darjah 1 – berdasarkan data pendaftaran 2026, sebanyak 27 daripada 179 buah sekolah rendah tergolong dalam kategori bersaiz ini.

Fasa 2C dikhaskan bagi pemohon yang tidak layak dalam peringkat kemasukan awal di bawah Fasa 1, Fasa 2A dan Fasa 2B, yang mengutamakan anak alumni dan mereka yang mempunyai hubungan dengan sekolah berkenaan.

Kanak-kanak yang mendaftar di bawah fasa sedemikian tidak terjejas oleh perubahan ini dan akan terus diberi keutamaan kemasukan, sebelum pemohon Fasa 2C dipertimbangkan.

Sebanyak 12 sekolah di kawasan seperti Bukit Timah, Newton dan Marine Parade – yang mempunyai kadar perumahan awam lebih rendah – pula akan memperuntukkan tempat di bawah Fasa 2C bagi kanak-kanak yang tinggal melebihi jarak dua kilometer, demi memastikan akses kepada kelompok pemohon yang lebih pelbagai.

Ini di samping membahagikan 60 tempat di bawah fasa itu secara sama rata dengan pemohon yang tinggal dalam lingkungan dua kilometer dari sekolah, dalam inisiatif yang dipanggil Skim Dua Laluan.

Encik Desmond berkata sekitar 15 peratus pemohon pendaftaran Darjah 1 di bawah Fasa 2C bagi 12 sekolah terlibat menetap di perumahan awam.

Berhubung lingkungan jarak, beliau berkata MOE menggunakan jarak dalam lingkungan dua kilometer bagi mencapai keseimbangan dalam mengekalkan akses untuk kanak-kanak yang tinggal berhampiran sekolah, dan menyediakan akses kepada keluarga yang tinggal luar dari kawasan kejiranan sekolah tersebut.

“Memandangkan matlamat kami adalah untuk meluaskan peluang terkait dengan akses dan bukan mengetepikan tempat untuk kumpulan sosio ekonomi tertentu, kami tidak menetapkan keutamaan bagi (mana-mana) kumpulan sosio ekonomi tertentu, termasuk mereka yang menetap di flat sewa,” ujarnya.

Encik Desmond menambah bahawa kriteria bagi Skim Dua Laluan akan diguna pakai secara konsisten di sekolah dengan kadar perumahan awam dalam lingkungan dua kilometer adalah kurang daripada 40 peratus berbanding kediaman swasta.