Bagi Encik Sairi Bakiri, seni bukan sekadar menghasilkan lukisan kreatif, malah ia mampu membuka peluang dan membina masa depan.

Apabila menyedari pelajar di Queenstown Teknikal (kini dikenali sebagai Sekolah Menengah Queenstown, QTSS) yang berminat dalam subjek seni mempunyai peluang terhad untuk meneruskan mata pelajaran tersebut di peringkat menengah atas, beliau mengambil inisiatif untuk memperjuangkannya.

“Ketika itu mereka hampir patah semangat kerana tak dapat meneruskan subjek seni.

“Jadi saya berusaha untuk meyakinkan pengetua untuk menubuhkan satu unit seni di sekolah,” ujar guru seni yang berusia 75 tahun itu.

Usaha tersebut membuahkan hasil apabila unit seni berjaya ditubuhkan, sekali gus membuka ruang kepada bakat dan kreativiti generasi pelajar selama beberapa dekad.

Sepanjang lebih lima dekad berkhidmat, Encik Sairi terus memperkaya kemahiran seninya, daripada batik hingga lukisan Cina.

Dedikasi itu bukan sahaja memperkukuh pengajarannya, malah mencerminkan komitmennya terhadap pembelajaran sepanjang hayat.

Walaupun telah bersara, beliau memilih untuk terus berkhidmat di QTSS.

“Ia disebabkan hubungan erat yang telah dibina sepanjang puluhan tahun, keyakinan bahawa saya masih mampu memberi sumbangan, serta komitmen terhadap apa yang QTSS perjuangkan,” jelasnya, yang mengakui mempunyai rasa tanggungjawab berpanjangan untuk terus menyokong pelajar dan guru.

Malah, salah satu kesan paling bermakna dalam kerjayanya adalah apabila beliau membimbing seorang pelajar, Cik Ang Xue Ning, dalam bidang seni lukisan minyak.

Bimbingan tersebut memberi kesan mendalam dan mencerminkan kepercayaannya terhadap potensi setiap pelajar untuk melangkaui jangkaan diri mereka.

Baru-baru ini, karya Cik Ang turut dilelong bersama karya Encik Sairi pada Malam Gala Quest 70 – sambutan ulang tahun QTSS yang ke-70 – sebagai lambang kesinambungan semangat memberi kembali.

Bagi mengiktiraf sumbangan dan kesan berkekalan kepada komuniti sekolah, Encik Sairi telah menerima Anugerah Pengiktirafan Persaraan dan Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat daripada Persatuan Alumni Quest (QAA) pada Malam Gala yang berlangsung pada 23 Mei.

Encik Sairi Bakiri (dua dari kanan), yang menjadi pendidik sejak 1968, menerima Anugerah Pengiktirafan Persaraan dan Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat daripada Persatuan Alumni Quest (QAA) pada Malam Gala, yang turut dihadiri oleh Menteri Negara Kanan (Pejabat Perdana Menteri), Encik Desmond Tan (dua dari kiri). Bersama mereka ialah Presiden QAA, Cik Lorraine Teo (kiri); dan Pengetua Sekolah Menengah Queenstown, Encik Sim How Chong.
Encik Sairi Bakiri (dua dari kanan), yang menjadi pendidik sejak 1968, menerima Anugerah Pengiktirafan Persaraan dan Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat daripada Persatuan Alumni Quest (QAA) pada Malam Gala, yang turut dihadiri oleh Menteri Negara Kanan (Pejabat Perdana Menteri), Encik Desmond Tan (dua dari kiri). Bersama mereka ialah Presiden QAA, Cik Lorraine Teo (kiri); dan Pengetua Sekolah Menengah Queenstown, Encik Sim How Chong. - Foto QTSS

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Menteri Negara Kanan (Pejabat Perdana Menteri), Encik Desmond Tan, seorang alumni sekolah itu.

Dalam ucapannya, Encik Tan, yang juga Timbalan Setiausaha Agung, Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), menegaskan bahawa ‘Berani Berkhidmat’ – cogan kata sekolah yang menjiwai budaya dan pembelajaran di QTSS sejak penubuhannya – merangkumi keberanian menghadapi perubahan, komitmen untuk menyumbang kepada masyarakat, dan keprihatinan untuk mengangkat satu sama lain.

Ia bukan sekadar slogan, bahkan nilai yang menekankan keberanian untuk menghadapi cabaran, komitmen untuk menyumbang kepada masyarakat, dan keprihatinan dalam membantu dan saling menyokong.

“Queenstown tidak pernah berhenti bergerak; kami terus menyesuaikan diri dan berkembang bersama Singapura.

“Namun sepanjang 70 tahun ini, nilai teras kami tetap kekal teguh,” katanya.

Bagi Encik Sairi, semangat itu bukan sekadar cogan kata, malah sesuatu yang beliau hayati sepanjang kerjayanya sebagai pendidik sejak 1968.

Daripada memperjuangkan penubuhan unit seni demi pelajarnya, membimbing bakat-bakat muda, hinggalah meneruskan khidmat selepas bersara, segala usahanya mencerminkan semangat ‘Berani Berkhidmat’ yang menjadi tunjang identiti QTSS.

“Saya turut menyaksikan transformasi besar QTSS.

“Dari segi penerimaan terhadap pendidikan seni, khususnya dalam era kecerdasan buatan (AI), juga kini lebih positif, termasuk sokongan yang lebih padu oleh ibu bapa dalam menyokong anak-anak dalam bidang seni,” kata Encik Sairi.

Beliau mengakui kalangan generasi pelajar dan alumni QTSS juga masih terus kembali menyumbang kepada masyarakat, menghidupkan lagi nilai sekolah tersebut.

Apa yang pasti, selepas lebih 50 tahun kerjaya ini, beliau berharap dapat dikenang sebagai seseorang yang telah memberi inspirasi kepada orang lain agar terus memburu kejayaan ke tahap lebih tinggi.