Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain.

Hampir lima dekad lalu, Encik Shaharzad Kassim, merupakan pelajar di Sekolah Rendah Telok Kurau (TKPS).

Bagaimanapun, beliau kemudian kembali sebagai guru di TKPS pula.

Lebih daripada itu, Encik Shaharzad, 58 tahun, sentiasa tahu budaya penyayang mekar di sekolah berkenaan dan merupakan nilai yang perlu dipelihara dan diteruskan untuk generasi mendatang.

Kini, sudah hampir 40 tahun berlalu sejak 1988, detik beliau mula berkhidmat sebagai guru pendidikan umum, yang mengajar pelbagai subjek daripada Matematik, Sains hingga Bahasa Inggeris.

Encik Shaharzad kini menggalas amanah sebagai guru disiplin di TKPS.

Lebih istimewa lagi, beliau berkesempatan menyambut ulang tahun ke-100 sekolah itu, yang dirai menerusi satu muzikal, One Voice, One Heartbeat, pada 28 Mei.

Muzikal yang antara lain menyajikan persembahan kumpulan tarian Melayu, India dan Cina itu, disaksikan alumni atau bekas pelajar, ibu bapa dan murid TKPS.

Sambutan ulang tahun ke-100 Sekolah Rendah Telok Kurau turut menampilkan sebuah muzikal dengan persembahan nyanyian dan tarian daripada kumpulan tarian Melayu, India dan Cina sekolah itu.
Sambutan ulang tahun ke-100 Sekolah Rendah Telok Kurau turut menampilkan sebuah muzikal dengan persembahan nyanyian dan tarian daripada kumpulan tarian Melayu, India dan Cina sekolah itu. - Foto BH oleh ADAM MIFZAL FAIZAL

Mengimbau kembali perjalanan 100 tahun TKPS ketika ditemui Berita Harian (BH), Encik Shaharzad berkata:

Daripada seorang pengetua kepada pengetua yang lain, Telok Kurau mungkin sudah berubah dan berkembang, tetapi pada pandangan saya, satu perkara tetap kekal, iaitu visi dan moto sekolah ini – sebagai sebuah sekolah penyayang yang sentiasa berusaha mencapai kecemerlangan.”

“Saya pernah berbual dengan guru-guru daripada sekolah lain.

“Di sini, kami seperti mengambil ringan perkataan ‘penyayang’ kerana ia sudah sebati.

“Apabila guru-guru luar datang untuk tugasan singkat di sini, mereka sendiri berkongsi bagaimana kuatnya budaya penyayang di sekolah ini.

“Daripada guru kepada murid, murid kepada guru, dan tentunya sesama murid, kami berusaha membina budaya saling mengambil berat ini.”

Antara budaya prihatin yang diterapkan termasuk menggalakkan sikap keterangkuman dalam kalangan murid.

Misalnya, jika terdapat murid berkerusi roda, guru kelas akan mewujudkan sistem giliran untuk murid lain membantu mengambil murid tersebut dari pejabat am setiap pagi, katanya.

Kemeriahan jelas terasa di Sekolah Rendah Telok Kurau apabila Presiden Tharman Shanmugaratnam, hadir selaku tetamu terhormat bagi menyempurnakan sambutan ulang tahun ke-100 sekolah itu.
Kemeriahan jelas terasa di Sekolah Rendah Telok Kurau apabila Presiden Tharman Shanmugaratnam, hadir selaku tetamu terhormat bagi menyempurnakan sambutan ulang tahun ke-100 sekolah itu. - Foto BH oleh ADAM MIFZAL FAIZAL

Encik Shaharzad sendiri pernah menuntut di TKPS dan masih menyimpan memori indah bersama dua guru kegemarannya yang dipanggil Cik Nathan dan Cikgu Siti Aminah.

“Saya masih ingat pendekatan lembut Cik Nathan.

“Saya seorang yang suka bercerita dalam kelas dan beliau sentiasa melihat potensi saya untuk membuat persembahan.

“Apabila saya bercerita dengan kawan-kawan, beliau akan menegur dengan baik, ‘Siapkan kerja dahulu, nanti habis baru boleh sambung’.

“Beliau persis ibu yang lembut buat saya.

“Saya pula masih mengingati tunjuk ajar Cikgu Siti Aminah bagi kelas peribahasa.

“Saya ingat juga tulisan sambungnya di papan hitam – dulu guru guna papan kapur – benar-benar menghidupkan peribahasa.

“Sampai hari ini, saya masih ingat apa yang diajar,” katanya, mengimbau kembali kenangan lama.

TKPS pada asalnya dikenali sebagai Sekolah Inggeris Telok Kurau.

Antara pelajarnya termasuk mantan Perdana Menteri Singapura, mendiang Encik Lee Kuan Yew; serta mantan Perdana Menteri Malaysia, Allahyarham Tun Hussein Onn; sekitar 1930 dan 1931.

Sejak era 1930-an itu, Sekolah Inggeris Telok Kurau telah bergabung dengan beberapa sekolah lain sehingga menjadi TKPS yang dikenali hari ini.

Walaupun personaliti Encik Shaharzad yang mesra dan ceria agak berbeza daripada tanggapan umum terhadap seorang guru disiplin, beliau menekankan, seorang murid sentiasa memerlukan seseorang yang mudah didekati dan memberi galakan, namun, tetap tegas membimbing mereka apabila melakukan kesilapan.

“Kami memakai pelbagai ‘topi’ (bawa bermacam peranan).

“Saya adalah guru disiplin apabila perlu memberi arahan kepada kohort yang besar.

“Tetapi dalam bilik darjah, saya perlu ingat kanak-kanak juga perlukan seseorang yang mudah didekati.

“Apabila mereka berkelakuan tidak baik, mungkin saya akan ubah nada suara atau riak wajah.

“Tetapi pada masa yang sama, saya akan menjadikan pelajaran saya lebih dekat dengan kehidupan mereka dan diselitkan unsur humor,” katanya.

Kadangkala sisi ‘kelakar’ itu muncul secara spontan tanpa dirancang.

“Saya memang tak pernah rancang nak jadi lucu.

“Guru memang sentiasa merancang pelajaran mereka, tetapi mereka tak boleh merancang untuk jadi lucu,” selorohnya.

Dalam satu peristiwa, beliau berkongsi bagaimana ketika mengajar tentang jenis burung dalam kelas Sains, beliau mengaitkannya dengan dinamik sosial dunia sebenar untuk murid-muridnya.

“Saya jadikannya sebagai pelajaran pembinaan perwatakan.

“Dalam pelajaran itu, saya mahu mereka pilih jenis manusia yang mereka ingin jadi.

“Jenis burung jantan pertama menarik pasangan melalui nyanyian mereka, seperti sesetengah lelaki yang memikat dengan kata-kata manis.

“Jenis kedua pula menggunakan kekuatan mereka, seperti lelaki yang menggunakan otot sasa.

“Tetapi ada juga jenis ketiga yang keluar mencari ranting untuk membina sarang bagi burung betina, dan burung betina itu akan melompat atas sarang tersebut untuk menguji kekuatannya.

“Jadi saya tanya murid-murid saya: ‘Kamu mahu jadi burung yang mana satu?’” katanya sambil ketawa kecil.

Pelbagai ‘topi’ yang dipakainya itu berkait rapat dengan budaya penyayang di TKPS yang sentiasa cuba dikekalkan beliau bersama guru lain demi kesejahteraan murid.

Cik Arafah Tajudin, 38 tahun, seorang guru kanan di TKPS, turut menerapkan unsur keprihatinan dalam setiap perancangan kurikulum kerana percaya ia membantu meningkatkan keterangkuman dalam bilik darjah.

Peranan Cik Arafah adalah menyumbang kepada inovasi kurikulum bagi pelajar High Ability – iaitu murid yang menunjukkan prestasi lebih baik berbanding rakan sebaya.

“Bagi memenuhi keperluan pelajar dengan kebolehan berbeza, kurikulum menyediakan pendekatan pengajaran yang pelbagai dalam satu kelas.

“Murid yang kurang bersedia akan diberikan lebih banyak sokongan.

“Pelajar berkeupayaan tinggi pula mempunyai akses kepada bahan pembelajaran yang boleh mencabar pemikiran mereka dengan lebih mendalam.

“Ia soal keterangkuman, memberi mereka lebih kebebasan untuk belajar secara berdikari,” katanya.

Dengan pelbagai cara TKPS mengekalkan budaya penyayang, Cik Arafah berkata sambutan 100 tahun itu mengingatkannya kepada semangat kampung yang masih kuat dalam sekolah tersebut.

“Lebih daripada segalanya ialah budaya penyayang di sekolah ini.

“(Ini seperti) Rakan sekerja yang sentiasa menghulurkan bantuan. Melalui semangat kampung, kami bukan sahaja membentuk kecemerlangan akademik, malah membina sahsiah murid kami,” katanya.