Insentif Diploma Bekerja dan Belajar akan dinaikkan kepada $20,000 mulai Apr
Insentif Diploma Bekerja dan Belajar akan dinaikkan kepada $20,000 mulai Apr
Bagi menggalakkan lebih ramai majikan melibatkan diri dan menyediakan peluang latihan kepada pekerja lulusan Institut Pendidikan Teknikal (ITE), pemerintah akan meningkatkan insentif Diploma Bekerja dan Belajar (WSDip) kepada $20,000 mulai April 2026.
Ini adalah lebih tinggi daripada insentif semasa bernilai $15,000, kata Menteri Kanan Negara (Pendidikan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Dr Janil Puthucheary.
Dilancarkan pada 2018, WSDip membolehkan pelajar ITE belajar sambil bekerja, dan pada masa yang sama mendapatkan diploma dalam bidang yang diceburi.
Insentif baru itu akan dibayar kepada majikan sepenuhnya pada beberapa detik penting sepanjang tempoh kursus tersebut, katanya.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan yang diajukan Dr Hamid Razak (GRC West Coast-Jurong West) semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) Kementerian Pendidikan (MOE) di Parlimen pada 3 Mac.
Dr Hamid bertanya jika wujudnya perancangan bagi memperkukuhkan lagi kursus WSDip.
Dr Janil berkata: “Buat masa ini, insentif $15,000 dibayar kepada syarikat sebagai pembayaran balik setelah aktiviti kelayakan tertentu selesai.
“Bergantung pada jumlah yang dituntut dan aktiviti yang diselesaikan, tidak semua majikan meraih akses kepada $15,000 sepenuhnya.
“Insentif $20,000 yang baru akan dibayar sepenuhnya pada beberapa peristiwa penting sepanjang tempoh kursus.
“Ini bermakna majikan yang menaja pelatih yang layak… akan menerima jumlah penuh.”
Dengan ini, beliau berkata ia akan memudahkan majikan menuntut insentif tersebut dengan mengurangkan proses pentadbiran yang diperlukan bagi mengakses dana itu.
Di samping itu, Dr Janil menambah bahawa lebih banyak kursus akan ditambah kepada katalog kursus Kredit SkillsFuture (Pertengahan Kerjaya) di bawah Program Peningkatan SkillsFuture (SFLP) bagi menyediakan lebih banyak pilihan untuk golongan pertengahan kerjaya.
Ini termasuk kursus kelayakan penuh di bawah Kelayakan Kemahiran Tenaga Kerja (WSQ), yang direka untuk menerapkan kemahiran yang diperlukan bagi melaksanakan pelbagai tugasan yang selaras dengan keperluan tenaga kerja, ujarnya.
Dilancarkan pada 2024, SFLP tersebut memberi sokongan kepada rakyat Singapura pertengahan kerjaya berusia 40 tahun dan ke atas.
Menurutnya, sekitar 200 kursus kelayakan penuh WSQ dijangka layak untuk SLFP mulai suku keempat 2026 – merangkumi sektor seperti penjagaan kesihatan, komunikasi dan maklumat, kejuruteraan, media dan penjagaan awal kanak-kanak.
“Sebagai sebahagian sistem pentauliahan kemahiran kebangsaan, kursus yang diiktiraf oleh WSQ memberikan kemahiran yang diperlukan untuk melaksanakan pelbagai tugasan kerja, selaras dengan keperluan tenaga kerja bagi industri.
“Penyertaan kursus sedemikian memastikan pelajar di bawah SFLP boleh memilih daripada pelbagai kursus yang berkaitan dengan industri,” kata beliau sambil menambah, maklumat lanjut akan diumumkan dalam masa terdekat.
Memberikan maklumat terkini, Dr Janil berkata sejak dilancarkan pada Mei 2024, lebih 60,000 individu telah memanfaatkan Kredit SkillsFuture, iaitu salah satu komponen SFLP.
Selain itu, elaun Latihan Pertengahan Kerjaya SkillsFuture (TA) sehingga $3,000 setiap bulan – juga salah satu komponen SFLP – bagi mereka yang mengambil latihan sepenuh masa telah memanfaatkan lebih 5,000 individu sejak diperkenalkan pada Mac 2025, ujarnya.
Mulai Mac, TA telah diperluaskan kepada individu yang mengambil latihan sambilan di bawah SFLP, sepertimana yang diumumkan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dalam Belanjawan 2026 pada Februari.

