Gaji Kelayakan Pekerja tempatan naik kepada $1,800 mulai 1 Jul
Gaji Kelayakan Pekerja tempatan naik kepada $1,800 mulai 1 Jul
Peningkatan seiring kenaikan gaji kelayakan minimum pemegang Pas Pekerjaan, Pas S baru; masing-masing naik kepada $6,000 dan $3,600
Syarikat yang menggajikan pekerja asing harus membayar pekerja sepenuh masa tempatan sekurang-kurangnya $1,800, naik daripada $1,600, mulai 1 Julai, apabila Gaji Kelayakan Pekerja Tempatan (LQS) yang dikemas kini berkuat kuasa, kata Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong.
Menurut Encik Wong, langkah itu dilakukan seiring dengan semakan gaji kelayakan minimum pemegang Pas Pekerjaan (EP) dan Pas S yang baru – masing-masing akan dinaikkan kepada $6,000 dan $3,600 mulai Januari 2027.
Menukil laman rasmi Kementerian Tenaga Manusia (MOM), LQS menentukan bilangan pekerja tempatan yang boleh digunakan untuk mengira kelayakan kuota EP dan Pas S sesebuah syarikat.
Ia memastikan pekerja tempatan diambil bekerja secara bermakna dan bukan bagi mendapatkan pekerja asing semata-mata.
Buat masa ini, gaji kelayakan minimum bagi pemegang EP dan Pas S masing-masing adalah sekurang-kurangnya $5,600 dan $3,300.
Berucap semasa membentangkan Belanjawan 2026 pada 12 Februari, Encik Wong berkata dalam usaha Singapura mencipta pekerjaan lebih baik dan meningkatkan kemahiran tenaga kerja tempatan, negara ini harus kekal terbuka kepada bakat asing.
“Karyawan dan pekerja asing memperkukuhkan pekerja kita, berkongsi ilmu dan membolehkan syarikat berkembang.
“Ini seterusnya mewujudkan lebih banyak peluang yang lebih baik bagi warga Singapura,” ujarnya.
Beliau berkata permohonan pembaharuan bagi EP dan Pas S akan dilaksanakan pada 2028 untuk memberi ruang kepada perniagaan membuat penyesuaian.
Sehubungan itu, levi Permit Kerja akan menyaksikan kenaikan, khususnya untuk pekerja kemahiran asas dalam sektor marin dan pemprosesan – sektor tersebut masing-masing melihat kenaikan sebanyak $100 dan $150, kata beliau.
Ini bermakna levi pekerja kemahiran asas bagi sektor marin akan naik daripada $500 kepada $600, manakala bagi sektor pemprosesan pula, levi akan naik kepada $600 atau $800, bergantung pada kewarganegaraan pekerja.
Beliau turut mengumumkan struktur levi berperingkat semasa yang diguna pakai bagi sektor perkilangan dan perkhidmatan akan turut diperkemas, dengan semua semakan terhadap levi Permit Kerja ini bakal berkuat kuasa mulai 2028.
Selain itu, beliau menambah sokongan pembiayaan bersama bagi Skim Kredit Gaji Progresif (PWCS) untuk 2026 akan dinaikkan daripada 20 peratus kepada 30 peratus, dengan skim itu dilanjutkan dua tahun hingga 2028.
Sokongan pembiayaan bersama PWCS pernah dikemas kini dalam Belanjawan 2025, dengan peratusan bagi 2025 dinaikkan daripada 30 peratus kepada 40 peratus, manakala bagi 2026, ia dinaikkan daripada 15 peratus kepada 20 peratus.
Di samping itu, beliau berkata mulai 2027, kenaikan gaji minimum bagi syarikat yang layak mendapatkan sokongan PWCS akan dinaikkan daripada $100 kepada $200.
Encik Wong berkata langkah itu “memberi galakan dan ganjaran kepada syarikat yang melabur dalam pekerja”.
Sehubungan itu, sokongan bagi latihan di bawah Model Gaji Progresif (PWM) akan turut diperkukuh – khususnya bagi Skim Bantuan Kemahiran Daya Kerja (WSS) Asas.
Skim tersebut akan menyaksikan elaun setiap jam pekerja meningkat, sekiranya mereka meningkatkan kemahiran, katanya.
Berhubung pemerkasaan golongan pertengahan kerjaya dan pekerja lanjut usia, beliau akur ia merupakan salah satu teras yang menjadi tumpuan.
Beliau menukil Program Peningkatan SkillsFuture, dengan salah satu komponen program itu melibatkan elaun latihan di bawah Elaun Latihan Pertengahan Kerjaya SkillsFuture (TA).
Dilancarkan pada 2024, program tersebut memberi sokongan kepada rakyat Singapura pertengahan kerjaya berusia 40 tahun dan ke atas.
Menurut Encik Wong, program tersebut akan dipertingkatkan lagi, dengan individu yang mengambil latihan sambilan di bawah program itu boleh menerima TA mulai Mac, di samping memperluaskan program itu untuk melibatkan lebih banyak kursus yang relevan.
Bagi pekerja lanjut usia pula, Kredit Pekerjaan Warga Emas akan dilanjutkan kepada hujung 2027 bagi menyokong majikan yang terus menggajikan pekerja lanjut usia.
Langkah sedemikian, kata Encik Wong, memastikan warga Singapura terus menjadi tonggak tenaga kerja di sini.
Namun pada masa yang sama, negara ini harus kekal terbuka dengan kemahiran dan kepakaran asing yang dapat memperkukuhkan ekonomi.
“Kami akan bantu warga Singapura menyesuaikan diri untuk (mengorak langkah) perubahan, mengemudi peralihan kerjaya dengan penuh keyakinan dan membina kerjaya yang bermakna,” kata Encik Wong.

