Jerih payah saudara-mara di Sumatera dorong belia tanam semangat sukarela
Jerih payah saudara-mara di Sumatera dorong belia tanam semangat sukarela
Pelajar asal Batam yang kini warga S’pura cemerlang dalam GCE peringkat ‘A’, tanam cita-cita jadi doktor
Sewaktu kecil, kehidupan Muhammad Edel Mahbub Harahap, diselubungi jerih payah apabila berhijrah dari Batam ke Singapura bersama ibu bapanya.
Edel, 18 tahun, masih ingat bagaimana mereka sekeluarga mengalami kekangan kewangan untuk menyesuaikan diri di negara baru.
Pada awalnya, mereka berpindah untuk mengubah nasib mereka.
Ayahnya, Encik Azwarman, kini 45 tahun, mendapat tawaran bertugas sebagai jurutera pada 2007.
Beberapa tahun selepas itu, Edel – yang masih kecil – menyusul ke Kota Singa bersama ibunya, Cik Intan Daulay, seorang suri rumah.
Meski kini sudah menjadi warganegara Singapura, anak sulung dalam keluarga tiga beradik itu tetap terkenang kesempitan hidup yang dilalui oleh saudara-maranya di Sumatera, Indonesia, ketika menziarahi mereka setiap tahun.
Ia membuat Edel mahu menyumbang semula kepada masyarakat di Indonesia mahupun Singapura melalui apa jua cara agar mereka dapat rasai kehidupan yang lebih baik.
Pada masa yang sama, ia juga telah membakar semangatnya untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik demi menyebar manfaat kepada orang lain menerusi kerjaya idamannya sebagai doktor.
Pelajar Maktab Rendah Victoria (VJC) itu telah menerima keputusan Sijil Am Pelajaran (GCE) Peringkat ‘A’ pada 27 Februari dan bertekad memburu impian mengikuti pengajian dalam bidang perubatan, sama ada di Universiti Nasional Singapura (NUS) atau Universiti Teknologi Nanyang (NTU).
Edel merupakan salah seorang calon peperiksaan dalam kalangan 94.7 peratus pelajar yang meraih sekurang-kurangnya tiga kelulusan H2, dengan kelulusan dalam Kertas Am (GP).
“Kehidupan saudara-mara saya di Sumatera serba kekurangan. Ada yang sampai tidak mampu untuk membeli sepasang kasut.
“Maka, saya sentiasa ingin melakukan yang terbaik dalam apa saja yang saya ceburi bukan sahaja untuk meraih kehidupan yang senang, malah, saya ingin sentiasa membantu masyarakat yang memerlukan,” katanya.
Edel kerap menghulurkan bantuan dan memberi bimbingan pelajaran kepada rakan sedarjahnya.
Selain mencapai prestasi cemerlang dalam pelajarannya, beliau juga merupakan kapten pasukan bola lantai dan kerap melibatkan diri dalam kerja kemasyarakatan sebagai sukarelawan.
Berkongsi tentang impiannya untuk menjadi doktor, beliau menyingkap pengalamannya ketika menjadi sukarelawan di Hospital Besar Sengkang (SKH).
Edel berkata: “Sewaktu saya menjadi sukarelawan di SKH, saya terlihat seorang doktor yang bersungguh-sungguh mendampingi dan memberi sokongan kepada pesakit dengan sepenuh hati.
“Pesakit itu mempunyai lubang pada lehernya selepas menjalani pembedahan dan mengalami kesukaran untuk mengeluarkan lendirnya.
“Namun ketika itu, doktor tersebut dengan penuh prihatin tidak putus-putus membantu pesakit itu untuk mengeluarkan lendir.
“Sejak menyaksikan peristiwa sedemikian, saya memasang tekad untuk menjadi seorang doktor yang dapat membantu orang lain dengan penuh prihatin,” jelas beliau.
Dengan minat yang mendalam terhadap sukan dan bola lantai khususnya, Edel bukan sahaja bergiat aktif sebagai pemain sekolahnya, malah turut menganggotai pasukan bola lantai di luar sekolah.
Di sebalik minatnya terhadap sukan, tertanam cita-cita lebih murni untuk menyumbang kepada masyarakat.
Justeru, Edel telah mengasaskan satu inisiatif yang dipanggil ‘Project Elpida’ di VJC bersama empat lagi rakannya.
Project Elpida itu dijalankan dengan kerjasama Majlis Sukan Kurang Upaya Singapura (SDSC) untuk membangkitkan kesedaran tentang atlet kurang upaya sekali gus memahami cabaran yang mereka hadapi.
Beliau berkongsi: “Ramai yang masih kurang memahami atau mengenali tentang sukan para. Justeru, atas semangat kepedulian terhadap golongan atlet kurang upaya ini, saya ingin mendedahkan kepada khalayak ramai tentang rintangan yang golongan ini lalui dalam arena sukan.”
Walaupun projek itu dijalankan ketika menuntut di VJC, Edel tetap ingin melanjutkan usaha tersebut pada skala besar.
“Saya merancang membimbing pelajar VJC sebagai mentor untuk terus memperjuangkan usaha ini dan memperluaskannya,” ujarnya.
Sementara itu seramai 10 daripada 16 calon yang menduduki peperiksaan GCE Peringkat ‘A’ di Sekolah Penjara pada 2025 berjaya melayakkan diri untuk memohon ke politeknik, kursus ijazah sarjana muda privet atau kursus universiti setempat.
Ini dinyatakan Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) dalam satu kenyataan pada lewat 27 Februari.
Sekolah Penjara terletak di Institusi Tanah Merah – dahulu dikenali sebagai Penjara Tanah Merah.

