Topik diikuti
Pergi ke BHkuJumlah calon Agab 2026 catat rekod, cermin peningkatan mutu guru Bahasa Melayu
Jumlah calon Agab 2026 catat rekod, cermin peningkatan mutu guru Bahasa Melayu
Lapan finalis disenarai pendek daripada 422 pencalonan; anugerah hargai sumbangan besar guru
Jumlah calon Agab 2026 catat rekod, cermin peningkatan mutu guru Bahasa Melayu
Anugerah Guru Arif Budiman (Agab) Edisi ke-19 (2026) menerima 422 pencalonan, sekali gus mencatat jumlah pencalonan tertinggi dalam sejarah hampir dua dekad.
Pada 2025, terdapat 396 pencalonan dikirimkan.
Peningkatan dalam jumlah pencalonan itu menandakan peningkatan bagi mutu guru Bahasa Melayu di Singapura yang diharapkan, jelas Pengerusi Bersama, Jawatankuasa Penganjur Agab 2026, Encik Abdul Harris Sumardi, ketika ditemui Berita Harian (BH) dalam sesi taklimat finalis di ibu pejabat Kementerian Pendidikan (MOE), pada 4 Jun.
Daripada pencalonan itu, seramai lapan guru Bahasa Melayu tersenarai sebagai finalis Agab.
Terdapat empat pencalonan bagi dua kategori yang berbeza, kategori Perangsang (bagi guru yang berkhidmat dalam tempoh kurang 10 tahun); dan Teladan (bagi guru yang telah berkhidmat selama 10 tahun atau lebih).
Selain kearifan dalam pengajaran Bahasa Melayu, guru yang mempunyai sifat ‘budiman’ itu merupakan guru yang sedia berbakti kepada masyarakat yang lebih luas.
Encik Abdul Harris, yang juga Pengarah Pusat bagi Pusat Bahasa Melayu Singapura (MLCS), berkata:
“Kebolehan guru-guru ini dalam mengajar dengan baik di sekolah sudah tidak dapat dipersoalkan lagi.
“Jadi apa yang kita nak lihat adalah bagaimana guru-guru ni mempunyai ciri kebudimanan itu dalam menabur bakti dan menyumbang kepada masyarakat.”
Justeru, kalangan guru yang dicalonkan dan tersenarai kali ini menonjolkan penglibatan aktif dalam kegiatan kemasyarakatan di luar bilik darjah.
Seorang lagi Pengerusi Bersama, Jawatankuasa Penganjur Agab 2026 yang juga Timbalan Pengarah, Cawangan Bahasa Ibunda (Perancangan dan Pembangunan Kurikulum), MOE, Encik Zafilin Abdul Hamid, berkata:
“Dalam kalangan calon finalis, kita perhatikan ramai yang bersedia menyumbang kepada masyarakat dalam apa saja kesempatan yang ada.
“Ada yang bertindak sebagai narasumber (sumber maklumat) dalam kelab masyarakat, ada yang merupakan ahli Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC).
“Ada yang duduk dalam mana-mana Persatuan Bahasa dan Budaya di Singapura. Malah, ada juga yang memegang jawatan kepimpinan dalam persatuan sebegini.”
Menurut Encik Abdul Harris, penglibatan aktif guru Bahasa Melayu dalam kegiatan kemasyarakatan secara tidak langsung akan membawa impak yang dapat membangun pembelajaran pelajar dengan memudahcarakan minat dan pemikiran mereka.
Justeru, Pengerusi Bersama, Jawatankuasa Penganjur Agab, berpendapat Bahasa Melayu juga bukan hanya tentang unsur teknikal bahasa.
Ia turut merangkumi kepentingan komunikasi dan juga pandangan dunia bertunjangkan budaya.
Pengerusi Bersama, Jawatankuasa Penganjur Agab, yang juga Editor Malam, Berita Harian (BH), Encik Puad Ibrahim, pula berkata:
“(Pengajaran) Bahasa Melayu itu juga perlu diberi nilai perhubungan. Sebagai bahasa yang dikongsi, dituturkan bersama sesama rakyat.”
Mengulas lanjut tentang ciri-ciri guru yang arif lagi budiman, pengertian tentang ‘arif budiman’ itu telah diperjelas dengan lebih luas oleh seorang lagi Pengerusi Bersama, yang juga Pensyarah Jabatan Bahasa dan Kebudayaan Melayu, Institut Pendidikan Nasional (NIE)-Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Dr Roszalina Rawi.
Menyifatkan guru yang budiman sebagai seseorang yang mempunyai pemahaman jelas tentang budaya Melayu, beliau berkata:
“Guru arif budiman harus ada timbalan dari segi aspek kebudayaan.
“Bukan sahaja menjadi seorang guru yang arif atau bijak, tapi budiman itu ertinya, dari segi pengetahuannya tentang aspek budaya Melayu.
“Justeru, penguasaan dalam aspek atau ilmu kebudayaan itu dianggap penting untuk disemai dalam jiwa anak-anak bangsa.”
Mengakui tugas guru Bahasa Melayu merupakan amanah yang berat, keempat-empat Pengerusi Bersama, Jawatankuasa Penganjur Agab, menyifatkan Agab sebagai satu pengiktirafan yang wajar bagi menghargai titik peluh guru Melayu.
Encik Zafilin berkongsi: “Untuk menjadi seorang guru itu tidak mudah. Tanggungjawab yang perlu digalas itu sangat berat.
“Menjadi seorang guru Bahasa Melayu pula tanggungjawab dan amanah yang perlu dipegang lebih berat lagi.”
Dr Roszalina pula menambah: “Saya rasa setiap guru melaksanakan amanah dengan ikhlas tanpa mengharapkan anugerah. Cuma ini pengiktirafan kita.
“Penting untuk kita lakukan setiap tahun sebagai satu mercu tanda yang kita benar-benar menghargai guru-guru kita.”
CALON ANUGERAH GURU ARIF BUDIMAN 2026
Kategori Perangsang (kurang 10 tahun dalam perkhidmatan)
– Cik Diana Mohamed Mazlan (Sekolah Rendah First Toa Payoh)
– Cik Nur Azirah Mohd Nor (Sekolah Rendah Cantonment)
– Cik Nasuha Rahmat (Sekolah Menengah Outram)
– Cik Syafiqah Md Anuar (Sekolah Menengah Meridian)
Kategori Teladan (10 tahun atau lebih dalam perkhidmatan)
– Cik Aidah Hosni (Sekolah Rendah Fern Green)
– Encik Azhar Abdul Rashid (Sekolah Rendah Horizon)
– Cik Julaiha Haron (Sekolah Menengah Punggol)
– Cik Nur Maizurah Rosle (Sekolah Tinggi Nan Chiau)
