Kekecewaan keputusan PSLE bawa titik perubahan pelajar bangkit hingga raih 5A bagi GCE ‘O’
Kekecewaan keputusan PSLE bawa titik perubahan pelajar bangkit hingga raih 5A bagi GCE ‘O’
Tekad Muhammad Rayyan Jefri untuk membuat perubahan dan selanjutnya berjaya dalam pelajaran bermula seawal hari dia menerima keputusan Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE).
Remaja yang kini berusia 16 tahun itu akur sikap sambil lewa ketika di Sekolah Rendah Boon Lay Garden telah menyebabkan keputusan yang diraihnya tidak seperti yang diharapkan.
Pada ketika itu, dia memperolehi Gred Pencapaian atau AL6 bagi subjek Bahasa Inggeris dan Sains, Gred AL7 untuk Matematik, serta Gred AL2 bagi Bahasa Melayu. Secara keseluruhan, agregat yang diraihnya adalah 21 mata.
Pengalaman tersebut menjadi titik perubahan buat Rayyan, yang kemudian bertekad untuk tidak mengulangi kesilapan sama apabila melangkah ke Sekolah Menengah Jurong.
“Keputusan PSLE itu buat saya sedar saya tidak boleh bergantung pada kebolehan semata-mata. Kalau saya mahu lakukan lebih baik, saya perlu mula berusaha gigih dan berdisiplin sejak awal lagi,” kata Rayyan.
Ditempatkan dalam aliran Normal Akademik (NA) di Menengah 1, Rayyan mengambil inisiatif sendiri untuk mengubah pendekatannya terhadap pembelajaran.
Ini termasuk dengan mendapatkan kertas latihan tambahan serta hadir ke sesi konsultasi bersama guru-gurunya selepas waktu sekolah.
Berdasarkan kebolehan dan sikapnya yang baik, Rayyan akhirnya ditawarkan untuk berpindah sepenuhnya ke aliran Ekspres pada Menengah 3.
Jerih payah yang diharungi itu membawa pada satu detik kemanisan apabila Rayyan yang merupakan antara 22,468 calon peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) Peringkat ‘O’ menerima keputusan peperiksaannya pada 14 Januari.
Dia berjaya meraih sebanyak lima Gred A dalam Bahasa Melayu, Sains, Prinsip Perakaunan (POA), Gabungan Kemanusiaan dan Ilmu Alam.
Keputusan itu cukup penting baginya, memandangkan dia berhasrat menceburi sektor pendidikan suatu hari nanti untuk meneruskan jasa dan komitmen guru-gurunya yang banyak membentuk perkembangan dirinya secara menyeluruh.
“Kalau bukan kerana guru-guru yang percaya dan sanggup meluangkan masa, mungkin perjalanan saya berbeza,” katanya.
Mengimbas kembali perjalanannya, Rayyan, yang mempunyai tiga lagi adik-beradik, menghargai kepercayaan serta masa yang diluangkan oleh guru-gurunya dalam membimbingnya.
Ini lebih-lebih lagi ketika dia masih menyesuaikan diri dengan tuntutan akademik yang lebih mencabar.
Menurut Rayyan, sokongan berterusan memberinya keyakinan untuk terus berusaha dan tidak berputus asa ketika berdepan cabaran.
Selain dalam bidang akademik, sokongan seperti itu juga dapat dilihat ketika Rayyan menyertai pertandingan seperti penulisan esei dalam Bahasa Melayu, Pena Emasku, di mana dia meraih pingat emas pada 2024.
Peranannya sebagai Naib Pengerusi Kegiatan Kokurikulum (CCA), pasukan pancaragam sekolah, juga menjadi peluang dirinya mengimbangi usaha mencapai kecemerlangan seni dengan tanggungjawab memimpin rakan sepasukan.
“Ketika membuat persiapan bagi persembahan Festival Belia Singapura (SYF), saya bersama anggota pasukan lain terus menggalakkan anggota lain untuk saling membantu dalam menguasai karya muzik yang mencabar.
“Pengalaman sebegini memaksa saya membina kemahiran berfikir, pengurusan masa serta ketahanan diri, yang banyak membantu ketika menghadapi peperiksaan GCE Peringkat ‘O’,” tambahnya.
Berkongsi kepada Berita Harian (BH), guru darjah Rayyan sewaktu di Menengah 2, Cik Lee Hui Cheng, berkata:
“Sepanjang tempoh persekolahan menengahnya, Rayyan telah menunjukkan perkembangan yang ketara dari segi daya tahan dan dorongan diri.
“Dia sentiasa menyambut cabaran baru dengan penuh semangat dan mencerminkan pemahaman yang matang terhadap proses pembelajaran.
“Apa yang paling menonjol ialah keupayaannya untuk terus berusaha ketika berdepan dengan tugasan mencabar sambil mengekalkan sikap positif, sekali gus memperlihatkan perkembangan yang ketara dari segi keyakinan akademik dan pembentukan perwatakan diri.”

