Dalam kelas Cik Syafiqah Md Anuar, sering kali kelihatan sekumpulan pelajar berkerumun, berebut-rebut memanggil “Cikgu, Cikgu!” untuk mendapatkan perhatiannya dan bertanyakan soalan.

Keriuhan ini melambangkan perubahan drastik para pelajar itu yang dahulunya begitu malu dan teragak-agak untuk bertanya.

Mengulas detik penuh bermakna itu, Cik Syafiqah, 30 tahun, berkongsi perspektifnya:

“Kadangkala terlalu ramai pelajar yang ingin dilayan hingga saya terpaksa meminta mereka bersabar sebentar.

“Namun, saya melihat ini sebagai petanda positif yang menunjukkan mereka kini selesa dan terbuka untuk menerima bimbingan saya.”

Suasana akrab ini jelas membuktikan kejayaan beliau dalam menyemai rasa selamat, selesa, dan penuh kepercayaan dalam sebuah ruang belajar.

Bagi Cik Syafiqah, mewujudkan ruang yang selamat dan selesa adalah kunci agar pelajar tidak berasa takut untuk bertanya atau mencari bimbingan.

Matlamat murni itu telah tertanam dalam jiwanya sejak beliau masih lagi seorang guru pelatih.

“Semasa mengikuti kursus sebelum menjadi guru kontrak di Institut Pendidikan Nasional (NIE), saya diminta menulis objektif kerjaya saya,” imbas beliau.

“Niat saya jelas, iaitu membina persekitaran yang selesa agar pelajar berani bertanya dan sentiasa ingin memperbaiki diri.

“Itu merupakan sesuatu yang saya benar-benar ingin terapkan dan lakukan.

“Memang benar saya seorang guru tapi pada masa yang sama, saya juga seorang dewasa yang membimbing mereka menempuh dunia luar,” ujar finalis Anugerah Guru Arif Budiman (Agab) 2026 itu.

Justeru, beliau komited memastikan setiap pelajarnya benar-benar memahami maklum balas yang diberikan terhadap tugasan mereka.

Cik Syafiqah, guru Bahasa Melayu di Sekolah Menengah Meridian sejak 2022, sentiasa mengambil langkah susulan bagi mendekati pelajarnya secara peribadi untuk merungkai segala kekeliruan mereka.

“Saya akan ‘paksa’ mereka untuk menyatakan secara jujur, apa yang mereka faham atau tidak faham,” ujar beliau.

“Saya kemudian meminta mereka duduk di hadapan saya untuk membincangkan bahagian yang memerlukan penjelasan lebih mendalam.”

“Apabila amalan ini menjadi rutin, mereka secara semula jadi akan berasa selesa untuk tampil mencari saya bagi mendapatkan penjelasan,” kata pendidik itu.

Sifat semula jadi sebagai seorang pendidik dalam diri Cik Syafiqah sebenarnya telah terserlah jauh sebelum beliau melangkah ke NIE.

Pada 2017, beliau telah mengusahakan sesi pembelajaran interaktif bersama penduduk kampung di Indonesia sebagai sebahagian daripada projek universiti.

Pengalaman berharga itulah yang menyemai benih minat mendalam beliau untuk menceburi bidang pendidikan.

Beliau yang ketika itu merupakan mahasiswa tahun dua dalam jurusan Pengajian Melayu di Universiti Nasional Singapura (NUS), telah mengelolakan program bacaan buku bagi kanak-kanak dalam lingkungan umur antara tiga dengan belasan tahun.

Sesi hari pertama bermula dengan kehadiran hanya 10 orang kanak-kanak.

Namun, menjelang hari keenam, suasana berubah apabila seramai 40 kanak-kanak hadir memeriahkan sesi tersebut.

Pengalaman manis itulah yang menyalakan tekad beliau untuk berbakti dalam dunia pendidikan.

Selain mengajar Bahasa Melayu, Cik Syafiqah turut memikul amanah sebagai guru disiplin.

Bagi beliau, nilai saling menghormati adalah jambatan utama dalam membina ukhuwah bersama pelajar.

Keharmonian ini membolehkan para pelajar bersuara dengan lebih jujur dan tanpa ragu.

Pesan beliau penuh bermakna:

“Rasa hormat itu merupakan asas kepada hubungan yang baik antara guru dengan pelajar.

“Itulah pesanan yang saya sampaikan kepada pelajar, dan saya sendiri mengamalkannya dengan menghargai setiap pelajar saya.”

Tugas sebagai guru disiplin sering mempertemukan beliau dengan pelajar yang sedang bergelut dengan pelbagai cabaran.

Namun, beliau memilih untuk tidak menghakimi, sebaliknya membuka ruang bicara dengan hati yang tenang.

Sikap meraikan perbezaan inilah yang membenihkan kepercayaan dan melahirkan rasa sayang.

Akhirnya, ia bukan sekadar memudahkan pengajaran bahasa, malah menjadi saluran murni dalam menyampaikan nilai-nilai kehidupan.

CALON ANUGERAH GURU ARIF BUDIMAN 2026

Kategori Perangsang (kurang 10 tahun dalam perkhidmatan)

– Cik Diana Mohamed Mazlan (Sekolah Rendah First Toa Payoh)

– Cik Nur Azirah Mohd Nor (Sekolah Rendah Cantonment)

– Cik Nasuha Rahmat (Sekolah Menengah Outram)

– Cik Syafiqah Md Anuar (Sekolah Menengah Meridian)

Kategori Teladan (10 tahun atau lebih dalam perkhidmatan)

– Cik Aidah Hosni (Sekolah Rendah Fern Green)

– Encik Azhar Abdul Rashid (Sekolah Rendah Horizon)

– Cik Julaiha Haron (Sekolah Menengah Punggol)

– Cik Nur Maizurah Rosle (Sekolah Tinggi Nan Chiau)